Select your language

Proses Kreatif Sensitiviti dan Kreativiti Pengarang

Penulis
Rahimah A. Hamid

Terbitan
Kuala Lumpur:  Dewan Bahasa dan Pustaka,  2017.  294 muka surat.

Ulasan oleh Marja Azlima Omar, Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan, Universiti Malaysia Sabah

Buku bertajuk ‘Proses Kreatif Sensitiviti dan Kreativiti Pengarang ‘ ini adalah sebuah buku ilmiah dalam yang menggabungkan dua disiplin ilmu iaitu psikologi dan estetik. Secara umumnya, buku ini mengupas aspek psikologi-estetik sebagai satu faktor penting yang mempengaruhi sensitiviti dan kreativiti seseorang pengarang.  Perbincangan dalam buku ini merangkumi proses untuk memahami karya kreatif, ciri–ciri psikologi-estetik serta keberkaitannya  dengan sensitiviti pengarang,. Buku ini turut mengupas faktor sensitiviti dan kreativiti sebagai asas penting dalam proses penciptaan seseorang pengarang. Di samping menjadi panduan berguna kepada mereka yang ingin berkecimpung dalam bidang penulisan, makalah ini juga sesuai untuk dijadikan rujukan utama kepada ahli akademik, penyelidik dan juga para pelajar bidang sastera di institusi-institusi pengajian tinggi.

Secara keseluruhannya, penulis telah membahagikan buku ini kepada empat bab. Kesemua bab telah digalurkan dengan kemas sehingga menghasilkan kesinambungan yang menarik bermula dari Bab Pertama sehinggalah ke bab yang terakhir iaitu Bab Keempat.

Sebagai permulaan, bab pertama memberi pengenalan terperinci mengenai tatacara untuk memahami sesebuah karya kreatif.  Bab ini dimulakan dengan perbincangan untuk memahami makna karya kreatif.  Bab ini seterusnya memperincikan punca seseorang pengarang berkarya. Sebagai lanjutan kepada perbincangan, bab ini turut memuatkan perbandingan antara proses penciptaan karya kreatif kelompok pengarang di Barat dengan di Timur dan tradisi Islam. Secara dasarnya, bab pertama ini telah memberikan latar-belakang yang mantap bagi membolehkan pembaca memahami tentang kerencaman yang wujud dalam penghasilan karya kreatif dari pelbagai sudut. Walau bagaimana pun, perlu ditekankan bahawa penulis cuma memberi tumpuan terhadap proses penciptaan karya kreatif beberapa orang pengarang dari Malaysia dan Indonesia sahaja.

Bab kedua membincangkan secara mendalam mengenai pertalian di antara psikologi-estetik dengan sensitiviti dan kreativiti pengarang. Sebelum membincangkan keberkaitan kedua faktor tersebut, penulis terlebih dahulu memperincikan aspek psikologi dan estetik sebagai satu wadah untuk memantapkan kefahaman pembaca berhubung keberkaitan faktor psikologi-estetik dengan sensitiviti dan kreativiti pengarang.

Sebagai rentetan kepada Bab Dua, Bab Tiga memperincikan karakteristik psikologi-estetik seseorang pengarang sebagai satu elemen penting dalam mencetuskan sensitiviti dan kreativiti. Selain daripada membincangkan karakteristik dari segi citra luaran dan citra dalaman pengarang, bab ini turut menghuraikan ciri-ciri pengarang sebagai makhluk individu, makhluk berketuhanan, makhluk berlingkungan fizikal dan makhluk berlingkungan sosial.  Secara tuntasnya, bab ini mengupas aspek citra dalaman yang menyentuh sisi dalaman diri seseorang pengarang sebagai makhluk individu dan berketuhanan, dan citra luaran pengarang sebagai makhluk yang berlingkungan sosial dan fizikal.  Apa yang menarik mengenai  bab ini ialah bagaimana penulis mengilustrasikan isi-isi penting perbincangan dengan memetik hasil karya pengarang tersohor dari Malaysia seperti Shahnon Ahmad dan A. Samad Said dan dari Indonesia seperti Pramoedya Anantha Teor.

Bab keempat yang juga merupakan bab terakhir memberi penekanan yang khusus ke atas signifikasi faktor psikologi-estetek dalam keseluruhan proses penciptaan karya kreatif. Setiap fasa dalam proses penciptaan iaitu fasa sensitiviti dan cerapan, fasa perencanaan dan persediaan, fasa pemendapan, fasa penulisan dan fasa penyemakan & pengeditan dibincangkan dengan teliti bagi menonjolkan kepentingan faktor psikologi-estetik dalam keseluruhan proses penghasilan karya seni. Perbincangan dalam bab kesimpulan ini dimantapkan dengan penulis mengemukakan beberapa contoh yang bersesuaian bagi menjelaskan lagi setiap fasa dalam proses penciptaan karya kreatif.

Sebagai kesimpulan, buku ini merupakan satu sumbangan ilmu yang baharu dalam memahami aspek psikologi-estetik sebagai satu faktor yang menyebabkan, membangkitkan, mencetuskan serta mempengaruhi sensitiviti dan kreativiti pengarang dalam menghasilkan sesebuah karya kreatif. Sesungguhnya sumbangan ini amat berguna kepada semua yang menghargai karya seni yang berkualiti, bukan sahaja mereka yang berada di institusi pengajian tinggi tetapi sesiapa sahaja yang mempunyai kecenderungan untuk menambah baik karya seni mereka.

Oleh yang demikian,  untuk mengetahui lebih lanjut lagi tentang buku dan isi kandungannya,  sila lawati laman sesawang Perpustakaan Negeri Sabah di www.ssl.sabah.gov.my atau hubungi 088-231623, 214828 atau 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut.

Bagaimanapun, buku-buku ini mungkin mengambil masa untuk dihantar ke perpustakaan di luar Kota Kinabalu, sila berhubung dengan Perpustakaan terdekat untuk tempahan pinjaman.

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Kalau kamu hanya membaca buku yang dibaca semua orang, kamu hanya boleh berfikir sama seperti semua orang." (Haruki Murakami).

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.