Select your language

Pemasaran Satu Huraian Mudah

Penulis
Mohd Said Othman

Terbitan
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2007.  181  mukasurat.

Ulasan oleh Jokiah Gandili, Perpustakaan Desa Pekan Nabalu

Pemasaran ditakrifkan sebagai satu proses, aktiviti atau kemahiran sosial oleh individu atau kumpulan untuk mencapai matlamat melalui rekaan, ciptaan, pembentukkan dan pertukaran barangan, perkhidmatan, idea atau sesuatu yang bernilai dalam sesebuah masyarakat. Takrif ini dibahagi kepada tiga aspek utama iaitu permasaran terlaksana menerusi proses pertukaran yang melibatkan dua pihak, pemasaran tidak terhad pada barangan dan perkhidmatan yang merangkumi idea, pendidikan dan sebarang perkara yang bernilai, seperti proses aktiviti dan kemahiran kemasyarakatan.

Menurut buku ini, pemasaran harus diguna pakai oleh setiap lapisan masyarakat termasuk individu dan organisasi bukan niaga kerana pemasaran tidak terhad kepada alam perniagaan sahaja kerana prinsip dan perlaksanaan pemasaran adalah lebih luas dari itu.

Campuran pemasaran dan konsep kitaran hayat keluaran merupakan konsep paling penting dalam ilmu pemasaran.  Produk mempunyai tiga kategori asas iaitu barangan, perkhidmatan dan wang. Kitaran hayat keluaran pula mempunyai empat peringkat iaitu pengenalan, pertumbuhan, kematangan dan kemunduran.  Pemetakan pasaran merujuk kepada usaha membahagikan pasaran yang telah ditentukan kepada beberapa kelompok pengguna yang bermakna. Pemetakan pasaran dilakukan disebabkan oleh persaingan dalam pasaran terbuka terlalu sengit dan syarikat ingin mengelakkan pertembungan secara langsung dengan pesaing, ciri-ciri pengguna yang sudah menjadi pelbagai dan syarikat tidak mempunyai kekuatan untuk menerokai keseluruhan pasaran. Gelagat pengguna juga sangat penting kerana ia akan mempengaruhi pemasaran. Oleh sebab itu, gelagat pengguna perlu dikaji untuk memastikan proses pertukaran dalam pasaran berlaku dengan licin, kemas dan lancar.  Terdapat dua teori yang menerangkan sebab- sebab pengguna membeli iaitu teori emosi atau rasional dan teori utiliti.

Menurut penulis, terdapat 10 faktor penentu budaya pemasaran yang cemerlang iaitu persaingan, campur tangan kerajaan, inovasi dan kesediaan menerima perubahan, sikap saling menghormati dan mempercayai antara pihak yang terlibat dalam pertukaran, keterbukaan kepada pengaruh luar, pendidikan, peraturan tersurat dan tersirat, tahap keegoan dalam masyarakat, ketelusan dalam pertukaran dan kemajuan ekonomi. Budaya pemasaran cemerlang memastikan taraf hidup masyarakat lebih tinggi, syarikat-syarikat tempatan mampu bersaing dalam pasaran antarabangsa dan masyarakat tidak terdedah kepada eksploitasi oleh syarikat luar. Perkhidmatan dikategorikan kepada tiga jenis iaitu perkhidmatan para urus niaga, perkhidmatan urus niaga dan perkhidmatan pasca urus niaga.  Perkhidmatan berbeza daripada keluaran kerana tidak boleh dimiliki, tiada sifat fizikal, tidak dapat dipisahkan penghasilan daripada penggunaannya, tidak dapat digudangkan, penawaran tidak seragam, lebih sukar untuk diukur mutunya, lebih sukar untuk dikomunikasikan dan dipromosikan serta mempunyai ciri carian, pengalaman dan kepercayaan yang berbeza dari keluaran.

Penulis buku Pemasaran Satu Huraian Mudah ini menjelaskan tentang pemasaran dalam huraian dalam bentuk sederhana dan tidak terlalu ilmiah. Cara penyampaian menggunakan bahasa mudah difahami dan sangat menarik untuk dibaca dan boleh dijadikan panduan kepada pembaca yang berminat dalam bidang perniagaan dan pemasaran.

Untuk mengetahui lebih lanjut lagi tentang buku ini, sila lawati laman sesawang Perpustakaan Negeri Sabah di www.library.sabah.gov.my atau hubungi talian 088-231623, 214828  atau 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut.

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Buku adalah teman yang berharga. Namun, sulit untuk menjelaskan hal itu kepada yang tak suka membaca."

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.