Select your language

Panduan Pembajaan Secara Efektif

Penulis
Novizan

Adaptasi
Nor Faridah Sharuddin

Terbitan
Kuala Lumpur: Synergy Media books.  153 Muka Surat.

Ulasan oleh Neldra Vijay S. Panikar, Perpustakaan Negeri Sabah, Cawangan Tuaran

Baja diperlukan untuk menambah dan melengkapkan unsur nutrien yang sedia ada di dalam tanah.  Sebelum pembajaan dilakukan, perlu diketahui terlebih dahulu gambaran tentang struktur tanah supaya baja yang diberikan bersesuaian serta memberikan hasil yang baik. Buku yang berjudul Panduan Pembajaan Secara Efektif ini memaparkan tentang teknik pemberian baja yang sesuai dengan memerhatikan sifat fizik dan kimia tanah, jenis dan ciri-ciri baja, waktu dan sukatan pembajaan, serta sifat-sifat tanaman. Pengelolaan tanah yang bermasalah dan cara menganalisis kesuburan tanah juga dibincangkan dalam buku ini.

Menurut penulis, pembajaan secara efektif ialah pembajaan yang berfungsi menambahkan unsur nutrien yang tersedia dalam jumlah yang sedikit didalam tanah.  Kesan pembajaan secara efektif jelas kelihatan pada pertumbuhan tanaman yang optimum dan keuntungan usaha tani yang meningkat maju. Berdasarkan pemikiran dan pandangan tersebut, penulis cuba menyelesaikan sebarang masalah yang sering dihadapi oleh para petani, khususnya dalam aspek pembajaan tanaman.

Pada bahagian awal, penulis berusaha menjelaskan sifat-sifat fizik dan kimia tanah dalam bahasa yang mudah difahami.  Selama ini, ilmu tanah dikuasai oleh para akademik dengan pelbagai teori yang sukar. Penulis juga telah dibekalkan  dengan ilmu tersebut semasa menuntut di universiti.  Namun, tidak semua ilmu yang dipelajari tersebut dapat dimanfaatkan dalam industri yang diceburinya. Penulis tertarik ketika membaca beberapa risalah asing yang memaparkan tentang sifat-sifat fizik dan kimia tanah secara sederhana dan praktikal. Ternyata pemahaman dalam bidang ilmu tanah sangat berguna bagi petani dalam merangka program pembajaan secara efektif dan efisien.

Seterusnya, fungsi dan gejala kekurangan unsur nutrien turut dibincangkan didalam buku ini. Persoalan tentang bagaimana setiap unsur nutrien boleh berkurang dari dalam tanah turut dinyatakan. Penulis turut menjelaskan secara terperinci tentang punca dan gejala tumbuhan yang mengalami gejala kekurangan (defisiensi) unsur nutrien. Gambar-gambar tumbuhan yang kekurangan nutrien turut disertakan agar memberi penjelasan yang lebih tepat.

Dalam bab yang menerangkan jenis-jenis baja, penulis tidak terlalu banyak menyentuh tentang pelbagai jenama baja yang terdapat di pasaran. Ini kerana, perbincangan tentang perkara ini telah menjadi satu topik yang sering diperkatakan. Penulis lebih memberi penekanan kepada kemampuan menjalankan analisis sebelum memutuskan untuk menggunakan sesuatu jenama baja dengan berpandukan kepada penelitian sifat-sifat dan jenis-jenis, sama ada baja kimia atau baja organik sehingga dapat memilih baja yang sesuai mengikut keperluan tanah dan juga tanaman.

Penulis juga tidak menyatakan sukatan pembajaan untuk tanaman tertentu. Buku-buku agropertanian seperti kaedah penanaman cili, tomato dan sebagainya telah menggabungkan saranan sukatan yang sesuai mengikut jenis tanaman. Penulis turut merangsang sikap kritis pembaca dalam menerapkan kaedah penyediaan baja yang terdiri daripada pelbagai unsur dengan mempertimbangkan aspek-aspek yang dibincangkan di dalam buku ini. Penggunaan baja bergantung kepada penelitian yang tepat mengenai keadaan tanah dan keperluan tanaman. Justeru, diharapkan setiap petani dapat memperluaskan dengan cara tersendiri dalam menentukan sukatan dan jenis baja yang sesuai dengan jenis tanah, iklim, dan keperluan tanaman.

Buku ini juga membincangkan beberapa masalah tanah yang mempengaruhi tahap kecekapan pembajaan. Dengan mengetahui masalah yang ada pada tanah dan cara mengatasinya, maka akan dapat memastikan penggunaan pembajaan akan lebih efektif.  Selain itu, penulis turut memperkenalkan beberapa cara menganalisis tahap kesuburan tanah.  Melalui buku ini, penulis berharap agar pembaca mendapat manfaat melalui pembacaan buku ini kerana banyak informasi berguna yang telah kongsikan. Buku ini sangat sesuai dibaca oleh semua lapisan masyarakat khususnya yang berminat dalam bidang pertanian sebagai panduan  yang berguna.

Untuk mengetahui lebih lanjut lagi tentang buku dan isi kandungannya,  sila berkunjung ke Perpustakaan Negeri Sabah yang terdekat dengan melawati laman sesawang www.library.sabah.gov.my atau hubungi 088-231623, 214828, 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut.

 

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Membaca adalah alat paling dasar untuk meraih hidup yang baik." - Joseph Addison

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.