Select your language

Menulis Mengatur Diri Berfikir



Penulis
Nisah Haron

Terbitan
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2017. 236 muka surat.

Ulasan oleh Dr. Ubong Imang dan Dr. Harifah Mohd Noor, Fakulti Kemanusiaan,  Seni dan Warisan, Universiti Malaysia Sabah

Buku bertajuk “Menulis Mengatur Diri Berfikir” ini menghimpunkan 20 esei sastera hasil tulisan penulis yang pernah diterbitkan dalam majalah Dewan Sastera dan Tunas Cipta antara tahun 2004 – 2012. Esei yang dimuatkan dalam buku ini dipilih dengan teliti oleh penulis. Esei yang dipilih mengangkat tumpuan pembaca kepada pengalaman penulis berkarya dan isu yang mewarnai perjalanan sastera dalam negara dari tahun 1980-an sehinggalah tahun 2000-an seperti, kedudukan wanita dalam karya sastera, sastera Islam, dilema penulis, fiksyen sains, promosi hasil karya, perkembangan bakat, penulis muda, penulis pascamerdeka dan pengiktirafan karya penulisan.  Selain itu, esei dalam buku ini juga menyentuh tentang kepentingan sastera dalam kehidupan, nilai dalam berkarya dan keperluan meluaskan genre penulisan.

Menarik sekali apabila esei di bahagian awal buku ini menyentuh tentang latar belakang penulis. Penulis meninggalkan profesion guamannya untuk menumpukan sepenuhnya kepada bidang penulisan.  Ini membuktikan disiplin pengajian di luar bidang sastera bukan penghalang konkrit untuk seseorang itu berkecimpung dalam bidang penulisan. Malah dalam satu esei yang bertajuk ‘Generasi Penulis Pascamerdeka’ penulis meyakinkan pembaca akan tren perkembangan ini dengan menyenaraikan nama penulis di luar bidang sastera yang berbakat besar dan sebahagian daripada mereka telah pun mendapatkan pengiktirafan dalam dunia sastera.  Sehubungan itu, kehadiran penulis daripada multi disiplin dikatakan menghangatkan perkembangan karya sastera negara khususnya dalam menyediakan pembacaan alternatif kepada golongan pembaca yang minat akan kepelbagaian genre.

Kedudukan wanita dalam karya sastera menjadi tumpuan dalam salah satu esei yang terdapat dalam buku ini. Melalui analisis ringkas yang dibentangkan oleh penulis, ternyata jumlah penulis dan karya sastera yang dihasilkan oleh penulis wanita banyak dalam karya bersifat popular, ringan, mudah difahami dan memenuhi permintaan umum. Karya dalam kategori ini menengahi hal-hal kekeluargaan, cinta dan rutin hidup. Fakta seperti ini memberi kesedaran kepada pembaca khususnya dalam kalangan penulis wanita untuk berani mencabar diri menghasilkan karya di luar dari kategori ini demi mengerakkan gelombang perubahan yang seterusnya menyumbang kepada pemantapan perkembangan karya sastera negara.

Beberapa esei dalam buku ini membincangkan tentang perkembangan dan keperluan semasa dalam dunia sastera.  Perkembangan dinamik dalam dunia sastera pada masa kini memberi banyak peluang kepada penulis khususnya penulis baharu tidak mengira jantina dan latar belakang disiplin untuk mengembangkan bakat dan hasil karya. Ini kerana rencam dalam masyarakat hari ini mengujudkan permintaan dan keperluan kepada kepelbagaian alternatif  bacaan seperti fiksyen Inggeris tempatan, fiksyen sains, sastera Islam, sastera tradisional dan juga genre yang masih belum mendapat perhatian seperti sastera gastronomi. Namun, tidak dinafikan wujud cabaran untuk memaksimumkan peluang yang wujud sepenuhnya.  Antara cabaran yang disentuh oleh penulis ialah latar belakang masyarakat, promosi dan pemasaran hasil karya dan kekurangan penulis yang berwibawa. Perbincangan yang diketengahkan penulis melalui beberapa esei ini memberi kesedaran kepada pembaca akan kepentingan kerjasama dan keprihatinan pelbagai pihak seperti penulis, penerbit dan pihak kerajaan dalam memastikan pembangunan karya sastera negara berkembang dengan pesat dan sihat.

Secara keseluruhannya, buku ini boleh dikatakan satu bahan sehenti bagi pihak yang ingin mengetahui dan mengkaji tentang isu-isu sastera negara dan mendapat gambaran tentang perkembangan sastera negara.  Oleh yang demikian, kumpulan esei dalam buku ini wajar dibaca dan diteliti oleh semua pihak untuk mendapat kefahaman tentang dunia sastera.  Selain itu, esei dalam buku ini juga boleh membantu dalam memberi gambaran tentang isu yang berbangkit pada masa esei tersebut ditulis.  Justeru itu, boleh dibandingkan dengan situasi dunia sastera semasa untuk mengetahui sejauh mana dunia sastera negara telah berubah dan, sekiranya telah berubah, ke arah mana perubahan tersebut berlaku. Buku ini disarankan untuk dibaca oleh masyarakat umum, penyelidik, pelajar, penggiat industri buku dan para pembuat dasar.

Untuk mengetahui lebih lanjut lagi tentang buku dan isi kandungannya, sila lawati laman sesawang Perpustakaan Negeri Sabah di www.ssl.sabah.gov.my atau hubungi 088-231623, 214828 atau 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut.

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Membaca adalah alat paling dasar untuk meraih hidup yang baik." (Joseph Addison).

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.