Select your language

Kuasai Perniagaan Internet

Penulis
Wan Nong Muzafar

Terbitan
Selangor: Grup Buku Karangkraf SDN. BHD. 2016. 207 Muka Surat.

Ulasan oleh Elizabeth Zaitol, Latihan Industri, UiTM Kampus Rembau, Cawangan Negeri Sembilan

Dalam era globalisasi ini, perniagaan merupakan salah satu aktiviti terkenal yang dijalankan oleh ramai orang untuk mendapatkan sumber ekonomi. Perniagaan yang dahulunya hanya dilakukan dengan perkhidmatan melalui televisyen, radio atau bahan bercetak kini tidak lagi kerap dilakukan kerana wujudnya alternatif lain yang hanya menggunakan internet dalam perniagaan. Perniagaan ini dikenali sebagai perniagaan digital.

Buku ‘Kuasai Perniagaan Internet’ ini bertujuan untuk memberikan maklumat-maklumat penting serta pendedahan khususnya kepada para peniaga untuk mengenali alternatif perniagaan digital yang sudah menjadi trend pada masa kini. Buku ini telah ditulis oleh penulis buku terkenal iaitu Wan Nong Muzafar.

Dalam dunia digital, hubungan yang nyata namun berlaku dalam dunia alam maya berlaku secara cepat dan berterusan. Dunia digital berkait rapat dengan dunia media sosial. Media sosial merupakan suatu aplikasi perhubungan digital yang dapat menghubungkan masyarakat dengan cara mudah walaupun mempunyai jarak tempat yang jauh antara satu sama lain. Antara media sosial yang seringkali digunakan pada masa kini ialah aplikasi WhatsApp, Wechat, Line, Instagram, Youtube dan banyak lagi.

Buku ini telah ditulis dengan tujuh tema utama dan beberapa topik yang akan dibincangkan melalui tema tersebut. Tema yang pertama ialah Asas Pengenalan Dunia Digital di mana tema ini membincangkan tentang perniagaan digital yang menjadi pilihan ramai pada masa kini. Terdapat banyak topik yang dikupas seperti konsep, struktur dan potensi pasaran digital di Malaysia. Manakala, tema kedua ialah Kaedah Meningkatkan Jualan dengan Facebook. Media sosial Facebook merupakan pilihan pertama para peniaga untuk menjalankan perniagaan digital. Oleh itu, penulis telah mengupas pelbagai maklumat berguna mengenai Facebook khusus untuk perniagaan.

Tema seterusnya ialah Kaedah Meningkatkan Jualan dengan Instagram. Instagram merupakan salah satu media sosial yang sangat menarik dimana perkongsian gambar dan video adalah tidak terhad kepada pengguna. Penulis menyatakan rasional Instagram untuk usahawan sebagai topik menarik dalam tema ini. Selain itu, tema yang sama dibincangkan dalam buku ini iaitu tentang kaedah untuk meningkatkan jualan dalam perniagaan melalui aplikasi media sosial seperti WhatsApp.

Tema yang menarik minat pembaca iaitu Pemasaran Efektif Menerusi E-mel dan Mengenali Asas Website dan Search Engine Optimization (SEO) juga dikupas dengan mendalam dalam buku ini. Format pengisian dan huraian yang dibuat atau ditulis oleh penulis buku ini sangat mudah difahami. Terdapat banyak contoh-contoh dan maklumat seperti langkah-langkah untuk membuat perniagaan digital telah dikongsikan. Penyampaian maklumat juga sangat menarik kerana banyak gambar yang dilampirkan bersama dengan maklumat lengkap turut dikongsikan.

Pendedahan asas-asas utama dalam menjalankan perniagaan ini amat sesuai kepada para pembaca yang ingin memulakan perniagaan digital atau baru memulakan perniagaan digital. Para peniaga yang sedang berusaha keras untuk meningkatkan jualan perniagaan patut mendalami buku ini bagi memahami kaedah penjualan produk atau perkhidmatan. Tambahan pula, peniaga mampu belajar untuk meluaskan potensi sasaran pelanggan digital di Malaysia dan di luar negara.

Oleh yang demikian, pembaca boleh lawati laman sesawang Perpustakaan Negeri Sabah di www.library.sabah.gov.my atau hubungi 088-213623, 214828 atau 256192 untuk mengetahui lebih lanjut tentang buku ini dan isi kandungannya.

Bagaimanapun, buku-buku ini mungkin mengambil masa untuk dihantar ke perpustakaan di luar Kota Kinabalu, sila berhubung dengan perpustakaan terdekat untuk tempahan pinjaman.

 

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Membaca adalah alat paling dasar untuk meraih hidup yang baik." (Joseph Addison).

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.