Select your language

Kuasai Bisnes Dengan Peta Minda

Penulis: Tony Windura

Penterjemah: Muhammad Firdaus bin Arif

Penerbit: Batu Caves, Selangor: PTS Professional Publications.  172 Muka Surat.

 

 

Ulasan oleh NELDRA VIJAY, PERPUSTAKAAN NEGERI SABAH, CAWANGAN TUARAN

Tema buku ini adalah cara-cara menggunakan peta minda bagi mencipta sesuatu bidang terutamanya bagi mengembangkan bisnes atau perniagaan dan lain-lain. Penggunaan peta minda dapat menyumbangkan kreativiti yang tidak terbatas bagi penyelesaian sesuatu bisnes. Tujuan penulis menulis buku ini adalah untuk membongkar rahsia bagaimana syarikat-syarikat gergasi dunia mencapai tahap cemerlang di dalam sesebuah bisnes mereka di tahap kualitatif dan kuantitatif yang tinggi. Jatuh dan bangun sesebuah bisnes adalah perkara klise yang sering mereka alami. Walau bagaimanapun, mereka telah menggunakan formula baru yang berkonsepkan peta minda bagi mencipta dan menjana idea-idea baru bagi mengembangkan empayar perniagaan masing-masing.

Buku ini mengandungi pelbagai topik yang membantu pembaca bagi memahami penggunaan peta minda dalam melakukan sesuatu kerja. Antara topik-topik yang dibincangkan adalah kehebatan peta minda, bagaimana otak kita bekerja, bagaimana otak kita berfikir, peta minda sebagai penyelesaian wajib dalam kreativiti berfikir, bagaimana membuat peta minda, prinsip grafik peta minda, teras perancangan perniagaan, cara pengambilan nota, penyampaian berkesan, membuat peta minda kumpulan dengan teknik percambahan fikiran dan pengurusan mesyuarat, messy mind map, kebebasan pengurusan masa dan membuat peta minda diri kita.

Penulis menggunakan beberapa contoh peta minda bagi membantu pembaca memahami cara penggunaan peta minda dalam mengembangkan sesuatu idea. Peta minda yang ditunjukkan adalah mengenai aspek kehidupan, kerjaya, dan yang paling utama di dalam tajuk ini adalah aspek perniagaan. Peta minda adalah berkait rapat dengan kreativiti dan sangat diperlukan dalam industri perniagaan dan karier. Kreativiti adalah aset yang penting di samping modal dalam membangunkan sesebuah perniagaan.

Prinsip asas peta minda adalah mudah iaitu dengan menggunakan sehelai kertas, pen berwarna-warni, tentukan topik utama yang difikirkan, buat pusat peta minda berupa gambar dan tajuk peta minda, bermula di tengah-tengah kertas, buat cabang-cabang utama terdiri daripada idea pokok pemikiran kita yang tergambar keluar dari pusat peta minda, mengembangkan setiap cabang utama dengan cabang-cabang yang berisi idea lain yang relevan. Selain itu, gunakan hanya kata kunci bagi menulis setiap idea di atas setiap cabang tersebut dan gunakan banyak gambar dan warna pada peta minda. Contoh bagi menghasilkan peta minda adalah dengan membuat perancangan seperti langkah-langkah yang diberikan. Langkah pertama ialah hendaklah membuat sebuah pusat peta minda dengan gambar dan tajuk.

Kaedah percambahan fikiran adalah sangat berkesan dalam penghasilan peta minda dan merupakan teknik diskusi yang efektif bagi mengeluarkan idea-idea baru dalam mencari penyelesaian perniagaan yang kreatif. Syarikat-syarikat kebiasaannya menggunakan kaedah brainstorming berkumpulan jauh lebih efektif apabila disertai oleh kakitangan daripada jabatan atau unit yang berbeza-beza. Menerapkan peta minda bagi diri sendiri boleh dilakukan dalam setiap aktiviti berfikir seperti perancangan perniagaan, mengambil nota, menyiapkan pembentangan, dan mengurus waktu. Kaedah membuat peta minda yang berkesan dengan penggunaan pelbagai pen dengan warna yang berbeza adalah prinsip yang perlu diteruskan.

Buku bertajuk Kuasai Bisnes Dengan Peta Minda ini sesuai untuk individu-individu yang memerlukan motivasi dalam perniagaan. Selain itu, pelajar-pelajar universiti dan para remaja yang ingin memulakan langkah pertama dalam perniagaan dan memajukan diri dalam bidang perniagaan turut digalakkan untuk membaca buku ini. Buku yang berteraskan perkembangan idea dalam perniagaan ini merupakan bacaan santai yang dapat memberikan impak positif dalam memulakan langkah perniagaan yang pertama.

Untuk mengetahui lebih lanjut lagi tentang buku ini, sila berkunjung ke Perpustakaan Negeri Sabah yang terdekat dengan melayari laman sesawang www.library.sabah.gov.my atau hubungi 088-231623, 214828 atau 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut.

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Kalau kamu hanya membaca buku yang dibaca semua orang, kamu hanya boleh berfikir sama seperti semua orang." (Haruki Murakami).

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.