Select your language

KRISIS DAN KONFLIK INSTITUSI KELUARGA

Penulis
ABD. RAHIM ABD. RASHID, SUFEAN HUSSIN DAN CHE HASHIM HASSAN

Terbitan
UTUSAN PUBLICATION & DISTRIBUTORS SDN BHD. 299 MUKA SURAT.

Ulasan oleh Dr. Mahat Jamal, Thinker Vault Media, Kota Kinabalu

Buku bertajuk Krisis dan Konflik Institusi Keluarga yang disunting oleh Abd. Rahim Abd. Rashid, Sufean Hussin dan Che Hashim Hassan membincangkan krisis dan fungsi institusi keluarga yang berhadapan dengan pengaruh dan cabaran baru yang memerlukan peningkatan kemahiran  dan pendidikan keibubapaan.

Penulisan dalam buku ini berasaskan research-based hasil kajian beberapa pensyarah universiti tempatan yang dibentangkan dalam Seminar Keluarga Kebangsaan 2004 bertemakan “Cabaran Institusi Keluarga Mengharungi Alaf Baru” yang telah diadakan di Universiti Malaya (UM) pada 29 hingga 30 Mei 2004. Seminar tersebut dianjurkan oleh Pusat Pembangunan Keluarga Universiti Malaya (UMCFD) dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Buku ini mengandungi 17 bab, antara lainnya membincangkan isu perkahwinan dan perceraian di Negeri Kelantan dan di Johor. Permasalahan ibu tunggal, komunikasi perkahwinan, pengabaian tanggungjawab suami terhadap isteri, masalah sosial remaja, persepsi terhadap hubungan seks sebelum berkahwin di kalangan pelajar universiti, perkhidmatan pembantu rumah asing dan banyak lagi yang menarik telah dibincangkan di dalam buku ini.

Bab pertama membincangkan masalah perkahwinan dan perceraian di Negeri Kelantan. Kajian Che Hashim Hassan (UM), menunjukkan analisis kadar perceraian di Kelantan yang dibuat oleh Gordan dan Tsubouchi dari tahun 1948 hingga 1970. Peratusan bagi seratus perkahwinan bagi tahun 1948 ialah 93.1%, menurun kepada 79.6% pada tahun 1958 dan terus turun kepada 53.3% pada tahun 1970. Faktor umur yang rendah pada perkahwinan pertama,  diikuti kemandulan remaja (adolescent sterility) dan juga faktor ekonomi merupakan penyebab utama perceraian di Kelantan. 

Kajian Hamidah Abd. Rahman, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), penyumbang masalah keluarga dan perceraian di Johor pula antara lain ialah faktor ekonomi, komunikasi, perubahan nilai, tanggungjawab, tekanan emosi dan urbanisasi,. Data diperolehi dari Jabatan Agama Johor, iaitu 63% wanita dan lelaki 37%. 

Seterusnya di Bab 4 iaitu kajian komunikasi perkahwinan oleh Mohd. Taib Arifin, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terhadap penduduk Jitra, Kedah menunjukkan bahawa faktor komunikasi menyumbang peratusan terbesar berlakunya perceraian iaitu 32.8% diikuti oleh faktor sosial, 27.9% dan anak-anak, 18%. Faktor komunikasi meliputi perselisihan faham, pertengkaran, salah tanggapan, mengeluarkan kata-kata kesat, ketidakjelasan makna, cemburu,  memarahi pasangan tanpa sebab, memaki hamun, cabar-mencabar dan kesukaran dalam mendapatkan persetujuan dan persefahaman.

Pengabaian tanggungjawab suami terhadap hak isteri di kalangan orang-orang Melayu dibincangkan dalam Bab 5. Kajian dibuat oleh Azhar Muhammad dan Kamarul Azmi Jasmi dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) menggunakan tinjauan statistik sesi kaunseling yang dijalankan oleh Jabatan Agama Negeri Johor dari bulan Januari hingga Disember tahun 2003. Aduan daripada suami atau isteri yang diterima dalam tempoh berkenaan berjumlah 3,590.

Faktor suami tidak bertanggungjawab menyumbang peratusan tertinggi, 27.7% berbanding penyebab lain. Ini termasuklah suami meninggalkan rumah, tidak memberi pendidikan kepada isteri dan anak-anak, memberi tumpuan lebih kepada kerja sehingga balik lewat ke rumah dan ada yang bekerja hujung minggu. Penyebab lain ialah tidak memberi nafkah yang sepatutnya, mengamalkan poligami, melakukan penderaan ke atas isteri, pengabaian dalam penjagaan anak dan  terlibat dengan dadah.

Kajian kes terhadap permasalahan ibu tunggal dalam melaksanakan tanggungjawab pendidikan anak-anak telah dijalankan di kawasan Sura, Dungun Terengganu oleh pensyarah-pensyarah dari UTM.  Responden adalah ibu tunggal yang telah kematian suami (72%) dan yang bercerai (38%). Hasil kajian menunjukkan bahawa pendapatan yang diperolehi tidak dapat menampung keperluan asas dan tidak mempunyai pengetahuan dan pengalaman berurusan dengan insurans perlindungan. Bagaimanapun, majoriti ibu tunggal sebagai ketua keluarga mampu menangani masalah dari segi emosi dan pandangan masyarakat. Ibu tunggal dapat mengimbangi pendidikan anak-anak untuk menjadikan mereka insan yang baik dan berguna.

Bab 7 pula adalah kajian persepsi terhadap hubungan seks sebelum berkahwin yang dijalankan di UUM dan di Universiti Pertanian Malaysia (UPM) oleh Chan Cheong Chong dan Annie Looi dari UUM.  Dapatan menunjukkan bahawa kedua-dua universiti tersebut masih berfikiran rigid dan menolak hubungan seks sebelum berkahwin. Melalui perbandingan ringkas, didapati 72.92% responden UUM menolak hubungan seks sebelum berkahwin berbanding dengan 66.31% responden dari UPM. Peratusan persepsi responden yang menerima hubungan seks sebelum berkahwin ialah 1.32% di UPM dan di UUM, 0.71%. Secara keseluruhan, majoriti 69.8% daripada semua responden menolak hubungan seks sebelum berkahwin.

Dalam Bab 13 mengenai peranan keluarga dan masyarakat dalam menangani penglibatan remaja dalam perlumbaan motorsikal haram. Kajian dibuat oleh Romzi Ismail, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke atas 96 pelumba lelaki yang terdiri daripada 48% Melayu, 11% Cina, 9% India dan lain-lain 32%. Lokasi kajian dibuat di sekitar Kuala Lumpur seperti Lembah Kelang, khususnya di Jalan Sultan Ismail, Jalan Ipoh, Jalan Chow Kit, Kajang, Balakong, Lebuh raya Sungai Besi, Lebuh raya Mahameru dan Lebuh raya Kuala Lumpur.

Dapatan menunjukkan mereka yang pertama kali terlibat dalam perlumbaan haram adalah berumur di antara 15 hingga 17 tahun. Purata umur pelumba yang masih aktif sekitar 19 hingga 22 tahun.  Semakin meningkat umur mereka, semakin menurun penglibatan mereka dalam perlumbaan motorsikal haram.  Pemandu muda lebih suka melanggar undang-undang jalan raya seperti memandu laju dan cenderung berlumba bagi menunjukkan kehebatan mereka. Ibu bapa sewajarnya sentiasa memantau dan mengawal anak-anak mereka agar tidak terjebak dalam perlumbaan haram. Selain itu, penerapan nilai-nilai murni dan agama dari peringkat awal amat perlu supaya anak-anak dapat membuat keputusan yang rasional dan betul. 

Kajian terhadap penggunaan dan kepuasan telefon selular dan hubungan kekeluargaan di kalangan pelajar universiti dibincangkan dalam Bab 16. Pengkaji ialah Siti Zanariah Ahmad Ishak dan Siti Haslina Hussin dari UNIMAS dengan mengambil responden seramai 369 dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan 371 dari UiTM. Dapatan peratusan panggilan dalam jangka masa 5 sehingga 10 minit kepada keluarga adalah sebanyak 35.3%, sementara untuk panggilan rakan-rakan, 34.6%. Ini menunjukkan hubungan pelajar dengan keluarga adalah lebih penting. Pemilikan telefon juga dianggap sebagai alat keperluan yang penting dan sangat berguna dalam kehidupan di kampus. Pada waktu yang sama dapat mewujudkan rasa dekat dengan keluarga dan memberikan perasaan selamat, bukan saja kepada pelajar tetapi juga ahli keluarga.       

Bab terakhir adalah kajian terhadap kontrak perkhidmatan pembantu rumah asing (PRA) oleh Asmah Laili Hj Yeon dan Khadijah Mohamed (UUM). Responden terdiri daripada kumpulan pengurusan dan perofesional Institusi Pengajian Tinggi Awam iaitu UUM, UiTM Arau dan Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia Malaysia (KUKUM) yang pernah atau sedang mengambil PRA sebagai pekerja domestik mereka. Hasil kajian menunjukkan terdapat majikan yang tidak mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan oleh Jabatan Imigresen dimana mereka mestilah berpendapatan RM3,000 ke atas sebulan. Pekerja PRA pula mestilah berumur di antara 18 hingga 45 tahun. Waktu bekerja PRA tidak melibihi 10 jam sehari dan perlu diberi cuti mingguan.

Dari segi perspektif kebajikan dan kepentingan majikan pula, terdapat agensi yang mengambil pekerja PRA dan mengenakan bayaran yuran yang tinggi. Namun majikan masih terdedah kepada kualiti perkhidmatan yang rendah daripada PRA kerana kebanyakan  yang diambil bekerja tidak berpengalaman dan tiada jaminan diberikan untuk menggantikan PRA yang bermasalah. Malahan kebanyakan agensi PRA tidak memberikan latihan kepada PRA sebelum mereka dihantar bekerja di rumah-rumah majikan.

Buku ini sangat bermanfaat bagi mereka yang ingin mengetahui lebih terperinci mengenai krisis dan konflik institusi keluarga secara ilmiah. Oleh yang demikian, untuk mengetahui lebih lanjut lagi tentang buku dan isi kandungannya, sila lawati laman web Perpustakaan Negeri Sabah di www.ssl.sabah.gov.my atau hubungi talian 088-231623, 214828, 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut.

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Buku adalah teman yang berharga. Namun, sulit untuk menjelaskan hal itu kepada yang tak suka membaca."

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.