Select your language

KEPELBAGAIAN SPESIES IKAN EMAS

Penulis
BAMBANG EKA

Terbitan
PERKASA DAN SAID ABDULLAH. SYNERGY MEDIA BOOKS.  77 MUKA SURAT.

Ulasan oleh Rosimah Binti Pimpin, Perpustakaan Desa, Kg. Kuala Sapi, Beluran

Ikan emas merupakan sejenis ikan perhiasan yang sangat popular terutamanya di kalangan peminatnya. Ia amat diminati kerana ia mempunyai kecantikan, keunikan dan daya tarikan yang tersendiri. Selain dari bentuk dan ukuran badannya, ikan emas juga memiliki kepelbagaian dalam warna dan corak.

Sejak beribu-ribu tahun yang lalu, negara China mula menjadikan ikan emas sebagai haiwan peliharaan untuk diletakkan di kolam rumah mereka. Kira-kira pada kurun ke-15, ikan emas diperkenalkan di negara Jepun. Sejak itu ikan emas terus berkembang dengan penemuan baka-baka baru hasil daripada penggabungan di antara ikan-ikan emas yang berlainan jenis. Negara kita turut menyumbang sejenis baka ikan emas yang baru iaitu flowerhorn atau dikenali juga dengan nama lou han. Ikan emas mempunyai beberapa nama saintifik iaitu Carassius carassius var. auratus, Cyprianus carpio, Cyprianus auratus dan Carassu auratus. Penamaan ikan ini berdasarkan sejarahnya sendiri. Ini menimbulkan pelbagai pertanyaan bagaimana dan mengapa ikan emas mempunyai begitu banyak nama.

Industri ikan emas telah berkembang dengan pesat bukan hanya di negara asalnya malahan juga di seluruh pelusuk dunia termasuklah negara kita. Sejak zaman Dinasti Sung (960-1279), ikan emas diberi nama Crucian carp dibela sebagai haiwan peliharaan di dalam kolam taman. Namun begitu, bentuknya lebih menyerupai ikan emas Cyprianus carpio yang dipelihara sebagai ikan domestik. Perbezaannya adalah mulut ikan emas terdapat sepasang misai yang berjuntai berbeza dengan ikan emas Crucian carp yang tidak mempunyai misai. Ikan emas ini hampir sama dengan ikan koi di Jepun. Dalam era pemerintahan Dinasti Ming (1368-1644), teknik penternakan ikan air tawar sudah diperkenalkan. Oleh itu, Crucian carp atau Carrasius carasius ini mula diselidiki dan hasil daripada penyelidikan yang dijalankan, maka wujudlah beberapa spesies ikan emas yang baru dengan bentuk muka, badan dan ekor yang lebih menarik dan unik.

Para penyelidik ikan emas menamakan ikan emas ini sebagai Cyprianus auratus yang bermaksud ‘ikan berwarna emas dengan ekor berlapis tiga’. Namun begitu, industri ikan emas terus berkembang dan warna tubuhnya tidak terhad kepada warna keemasan saja. Ini menyebabkan namanya berubah menjadi Carrasius auratus yang mana telah mengundang kontroversi di antara para penyelidik yang terlibat dengan penamaan dalam bidang zoologi. Menurut mereka, walaupun bentuk tubuh, warna dan bentuk ekor ikan emas adalah berbeza dengan ikan emas Crucian carp tetapi ikan emas yang baru tersebut adalah hasil pembiakan baka yang sama. Oleh itu, nama saintifik yang rasmi bagi ikan emas adalah Carrasius carrasius Var. auratus.

Buku Kepelbagaian Spesies Ikan Emas ini mempunyai koleksi gambar pelbagai jenis ikan emas dari dalam dan luar negara. Bagi memudahkan pembacaan, buku ini dibahagikan kepada lapan bahagian mengikut jenis ikan emas iaitu buble eye, lionhead, oranda, pearlscale, pompom, ranchu, telescope eye dan tossa. Setiap gambar yang dipaparkan dilengkapi dengan serba sedikit penerangan mengenai spesies ikan emas tersebut. Buku ini sangat sesuai dibaca untuk menambah informasi tentang ikan emas, khususnya bagi pencinta ikan emas yang sangat unik ini.

Buku ini ada di dalam koleksi Perpustakaan Desa Kampung Kuala Sapi, Beluran. Sila berhubung dengan perpustakaan terdekat untuk tempahan pinjaman atau sila lawati laman web Perpustakaan Negeri Sabah di www.ssl.sabah.gov.my atau hubungi talian 088-231623, 214828, 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut.

 

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Banyak orang, di antaranya saya, merasa lebih baik hanya dengan melihat sebuah buku."

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.