Select your language

Kemahiran Belajar Berkesan

Penulis
Sabri Ahmad

Terbitan
Kuala Lumpur:  Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd., 2003.  168 Muka Surat.

Ulasan oleh Jokiah Gandili, Perpustakaan Desa Pekan Nabalu

Kebolehan setiap manusia itu berbeza antara satu dengan yang lain tetapi kejayaan pembelajaran sebenarnya lebih bergantung kepada usaha dan kaedah pembelajaran yang berkesan. Sebab itu, kita sering melihat pelajar yang berkebolehan sederhana boleh meningkatkan pencapaiannya dalam pelajaran melalui usaha dan cara belajar yang berkesan. Pada masa kini, ramai pelajar yang tidak diajar dan didedahkan dengan kemahiran belajar.

Apakah makna berkesan?  Apakah kemahiran belajar?  Berkesan bermaksud meninggalkan kesan atau bekas.  Menurut penulis, keberkesanan merupakan pencapaian matlamat dengan usaha yang minimum. Pembelajaran yang berkesan bermaksud satu usaha yang teratur, bersistem, bertatatertib serta optimum yang menyepadukan dan memanfaatkan kesemua komponen  pembelajaran untuk mencapai kejayaan yang paling maksimum. Kemahiran belajar pula adalah prinsip, teori umum dan kaedah tertentu yang dapat melipatgandakan keberkesanan belajar.

Apakah rahsia kejayaan pembelajaran? Buku yang bertajuk Kemahiran Belajar Berkesan ini mengupas kemahiran tertentu yang perlu dikuasai dan dilakukan oleh pelajar.

Melalui kajian penulis, faktor yang membantu kejayaan pelajar antara lainnya adalah menghadiri kelas, membaca semua bahan rujukan, menyiapkan kerja rumah atau tugasan, meluangkan masa untuk belajar, kesihatan mental yang baik, bilangan kawan yang kecil untuk mengurangkan aktiviti sosial, mencatat nota, mendengar dengan teliti guru atau pensyarah semasa belajar dalam kelas, tidak suka berkhayal dan membuat persiapan dengan bersungguh-sungguh semasa menghadapi peperiksaan. Kebolehan, suka bekerja kuat, cara belajar yang berkesan, minat, peluang-peluang dan persekitaran yang baik juga boleh membantu keberkesanan pembelajaran pelajar.

Untuk menjadi pelajar yang cemerlang, pelajar mestilah mampu mengendalikan setiap aspek kehidupan dan sentiasa siap untuk memperbaiki diri.  Antaranya, pelajar perlu sentiasa meningkatkan tenaga mental dengan memperbaiki kesihatan diri, memperbaiki arah dan kaedah kerja melalui perancangan dan pengagihan pembelajaran yang cekap, kurangkan tekanan yang menghalang kerja melalui pembentukkan minat dan motivasi, dan kurangkan kerisauan dan kegembiraan dengan penetapan konflik diri. Sekiranya pelajar mempunyai matlamat dan minat yang kuat dalam matapelajaran, pelajar akan mudah membuat kerja dengan sistematik. Jadi, sangat perlu pelajar tahu bagaimana untuk menimbulkan minat dalam matapelajaran yang tidak menarik bagi mereka.

Buku  Kemahiran Belajar Berkesan ini turut memaparkan banyak nasihat dan panduan untuk belajar dengan berkesan. Kata kunci dalam buku ini adalah kecekapan dan keberkesanan pembelajaran. Keberkesanan pembelajaran adalah dimaksudkan, memperoleh pembelajaran yang maksimum dengan usaha dan tenaga yang kurang. Pelajar perlu membuat perancangan dan jadual waktu untuk menghasilkan pembelajaran berkesan. Tidak semua pelajar boleh membahagikan masa mereka dengan baik. Ramai pelajar yang belajar hanya ikut “mood” mereka. Disini, disiplin diri perlu bagi sebarang pembelajaran. Suatu hari nanti pelajar akan mendapat faedah dengan menoleh kembali ke belakang untuk menilai diri dan usaha mereka. Penulis juga mengulas teknik-teknik kemahiran belajar dalam buku ini seperti teknik membaca, mengambil nota, persediaan menghadapi peperiksaan, teknik berfikir dan kerja berkumpulan. Penulis juga menerangkan skil asas dalam Bahasa Inggeris dan berkaitan kesihatan badan yang merangkumi kesihatan mental dan fizikal.

Buku ini sangat sesuai sebagai panduan kepada pelajar, pendidik dan ibubapa. Setiap manusia itu unik tetapi terdapat juga persamaan antara manusia yang dididik dan dibentuk dengan latihan sosial dan pendidikan yang serupa kerana peraturan umum pembelajaran adalah sesuai untuk semua manusia.

Untuk mengetahui lebih lanjut lagi tentang buku dan isi kandungannya,  sila kunjungi Perpustakaan Negeri Sabah yang terdekat dengan melayari laman sesawang sesawang www.library.sabah.gov.my atau hubungi 088-231623, 214828 atau 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut.

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Banyak orang, di antaranya saya, merasa lebih baik hanya dengan melihat sebuah buku."

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.