KE ARAH GRADUAN YANG BERJAYA
|
Penulis Terbitan |
Ulasan oleh Zakky Afandi Bin Rasimin, Perpustakaan Negeri Sabah, Cawangan Ranau
Memiliki generasi cemerlang yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi adalah idaman semua negara untuk mentransformasikan ekonominya ke arah mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi. Menyedari keperluan tersebut, pelbagai negara dan kerajaan berusaha untuk meningkatkan bilangan generasi cemerlang di institusi pengajian tinggi di semua bidang dan peringkat pengajian. Walau bagaimanapun, pertambahan bilangan graduan sahaja tidak mencukupi tanpa melengkapkan mereka dengan kemahiran-kemahiran semasa yang diperlukan oleh pihak industri dan para majikan. Oleh itu, dalam menghadapi cabaran masa ini, ia bukan sahaja memerlukan satu model pembangunan yang mampan tetapi ia juga turut mencabar asas sistem pendidikan yang ada sekarang bagi menghasilkan insan yang bermoral, beradab, berakhlak dan mempunyai nilai etika yang terpuji, serta mempunyai keterampilan diri yang unggul.
Memetik kata-kata nasihat Profesor Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Tan Sri Dr. Nayan Ariffin mengingatkan graduan supaya bukan sahaja cemerlang dalam pencapaian akademik, malah cemerlang secara holistik dan seimbang dalam segenap aspek. Beliau berkata graduan yang mempunyai ilmu, akhlak, tingkah laku, set minda dan adab amat penting ke arah melahirkan warga Malaysia yang berjiwa mulia. “ Saya percaya, jika universiti dapat melahirkan graduan yang memiliki ciri sedemikian, inilah sumbangan terbesar universiti kepada pembangunan dan peradaban bangsa,” katanya.
Para graduan juga perlu bersedia dan melengkapkan diri dengan ciri keusahawanan serta berupaya mencipta pekerjaan, bukan lagi mencari pekerjaan kerana perkembangan ekonomi dunia yang tidak menentu mutakhir ini telah memberikan cabaran kepada graduan untuk mendapatkan pekerjaan. Beliau juga berkata proses pembelajaran tidak harus berhenti selepas memperoleh pekerjaan, sebaliknya pengetahuan dan kemahiran diri perlu terus ditingkatkan.
Dalam buku ini, penulis dengan jelas menawarkan beberapa pendekatan pengembangan diri mahasiswa semasa belajar agar dapat menyelesaikan pelajaran untuk menjadi seorang pemegang ijazah atau sarjana. Secara ringkasnya, penulis ingin memberi pendekatan untuk mencapai matlamat iaitu membantu mahasiswa berjaya menjadi pelajar yang memiliki tiga ciri kedewasaan iaitu kedewasaan fikiran atau intelektual, kedewasaan emosi ( psikologi ) dan kedewasaan dalam hal etika dan moral.
Penulis juga memperkenalkan pelbagai terminologi yang berkaitan dengan pusat pengajian tinggi, misalnya apa itu pengetahuan, ilmu pengetahuan, struktur ilmu pengetahuan dan metologi ilmiah. Selain itu, penulis turut memuatkan teori tentang bagaimana belajar secara efektif, efisen dan produktif serta konsep kedalaman penguasaan bahan pembelajaran. Menjadikan buku ini sebagai bahan rujukan boleh membantu seseorang pelajar atau mahasiswa itu merealisasikan impian mereka.
Justeru, graduan harus mempersiapkan diri dengan pelbagai kemahiran tambahan agar mereka boleh bersaing di pasaran pekerjaan yang sangat kompetitif. Mereka juga harus sedar bahawa pencapaian akademik semata-mata tidak lagi menjamin mereka untuk memperoleh jawatan yang setaraf dengan kelulusan mereka.
Buku ini adalah koleksi buku yang terdapat di Perpustakaan Negeri Sabah, Cawangan Ranau. Jika berminat untuk mendapatkan maklumat mengenai buku ini, sila lawati laman sesawang Perpustakaan Negeri Sabah di www.ssl.sabah.gov.my atau hubungi 088-231623, 214828, atau 256192 ( Ibu Pejabat, Perpustakaan Negeri Sabah ) untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut. Bagaimanapun, buku ini mungkin mengambil masa untuk dihantar ke perpustakaan di luar Kota Kinabalu, sila berhubung dengan perpustakaan terdekat untuk tempahan pinjaman.