Select your language

Jom Cari Kerja!

Penulis
Hj. Azmi Hj. Abu Bakar

Terbitan
Kuala Lumpur: Telaga Biru Sdn. Bhd.,  2013.  132 Muka Surat.

Ulasan oleh Ady Aldrick Yus Alisus, Latihan Industri, UiTM Kampus Rembau, Cawangan Negeri Sembilan

Kerjaya boleh didefinisikan sebagai suatu kerja atau pekerjaan individu secara berterusan. Tambahan pula, kerjaya ialah aktiviti-aktiviti yang dilakukan bagi memenuhi keperluan-keperluan psikologikal, ekonomikal, dan sosiologikal individu. Kehendak atau matlamat individu dalam hal ini direalisasikan dengan bekerja sehingga berjaya. Oleh yang demikian, bagi memperoleh kerjaya yang diimpikan terdapat kaedah dan langkah-langkah yang perlu dipraktikkan serta dilakukan untuk menjadi seorang individu yang bekerjaya.

Buku bertajuk ‘Jom Cari Kerja!’ ini sesuai dirujuk dan dibaca oleh individu yang sedang mencari pekerjaan. Buku ini juga merupakan siri buku kerja dari perspektif pengamal pengurusan sumber manusia yang menyediakan kit lengkap tentang penyediaan resume, surat permohonan pekerjaan dan tips-tips menarik serta bermanfaat kepada individu semasa menghadiri temu duga. Tujuan utama penulis telah menulis buku ini adalah untuk menjadikan buku ini sebagai perkongsian maklumat dalam teknik dan pendekatan berkesan yang akan menghasilkan kejayaan cemerlang dalam pekerjaan.

Serba sedikit tentang penulis, beliau merupakan Pengarah Eksekutif dan Fasilitator Profesional Smart Knowledge Consultant, Fasilitator EQ yang diiktiraf oleh ITSP Asia dan Stamford College, Pengamal NLP Bersijil oleh NFNLP USA serta Ahli Persatuan NLP Trainer Malaysia. Beliau telah mempunyai pengalaman lebih daripada 16 tahun dalam pengurusan sumber manusia dan juga latihan. Ini lebih meyakinkan bahawa maklumat-maklumat yang dikongsikan dalam buku ‘Jom Cari Kerja’ adalah berkesan bagi para pembaca. Selain itu, beliau juga memperoleh diploma dalam Pentadbiran Awam dari UiTM Shah Alam dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana Pengurusan Sumber Manusia di Universiti St. Clement United Kingdom.

Dalam pengisisan buku ini, terdapat lapan bab yang mempunyai tema berbeza antara satu sama lain. Dalam bab satu, bertemakan sebagai Proses Memohon Pekerjaan. Bab ini adalah sangat ringkas dan mudah difahami kerana penulis telah menyediakan gambar rajah carta aliran tentang proses memohon pekerjaan. Manakala, bab dua adalah berkisar tentang penyediaan resume. Dalam bab ini, banyak maklumat penting yang dikongsikan termasuklah definisi, tujuan, kepentingan, dan elemen-elemen penting yang perlu ada dalam resume. Dalam bab ini juga disertakan gambar contoh resume yang tidak sempurna dan sempurna.

Seterusnya dalam bab tiga, penulis menegaskan kepada pembaca untuk menilai keinginan dari segi jenis pekerjaan yang dicari, kelayakan dan juga kebolehan individu dalam aspek pekerjaan yang diingini. Ia merupakan bab yang ringkas dan padat. Melalui bab empat pula, penulis menerangkan tentang pencarian peluang pekerjaan yang boleh dilakukan oleh para pembaca. Terdapat banyak contoh kaedah yang diberikan dalam bab empat seperti iklan-iklan pekerjaan melalui akhbar dan internet. Langkah seterusnya dalam mencari peluang pekerjaan telah dikupas dalam bab lima iaitu tema memohon pekerjaan secara rasmi. Dalam bab ini, langkah-langkah penulisan surat permohonan rasmi disenaraikan dengan huraian yang bernas dan contoh-contoh surat rasmi yang jelas.

Bab enam dan bab tujuh mempunyai kesinambungan pengisian di mana bab enam bertemakan membuat persediaan menghadiri temu duga dan bab tujuh bertemakan menghadiri sesi temuduga. Dalam bab enam, senarai persediaan yang patut di praktikkan oleh individu yang akan menghadiri temu duga telah di tulis. Sebagai contoh, penampilan yang tepat semasa temu duga, contoh-contoh soalan temu duga, perkara yang patut dan tidak patut dilakukan semasa temuduga. Bab ini sangat menarik kerana situasi semasa temu duga digambarkan dengan contoh soalan yang kerap ditanya semasa temu duga.

Kesinambungan topik temu duga terdapat pada bab tujuh iaitu pengisian tentang perkara yang harus dilakukan semasa temu duga berlangsung. Penulis telah memberikan tips-tips penting semasa temu duga seperti tindakan yang harus dilakukan serta etika penting semasa temu duga. Bab lapan merupakan bab terakhir dalam buku ini di mana ia mengupas tentang Akta Kerja 1955. Penulis menerangkan tentang perkara penting di bawah Akta Kerja 1955 yang wajib diketahui oleh individu yang akan beralih ke alam pekerjaan.

Segala perkongsian dalam buku ini sangat berguna kepada individu yang sedang mencari pekerjaan khususnya individu lepasan IPT dan lepasan sekolah. Dengan itu, buku ini sangat digalakkan kepada individu untuk menimba ilmu pengetahuan dalam persediaan mengenai proses yang formal, tersusun, serta usaha yang perlu dilakukan dalam pencarian pekerjaan.

Oleh yang demikian, pembaca boleh lawati laman sesawang Perpustakaan Negeri Sabah di www.library.sabah.gov.my atau hubungi 088-213623, 214828 atau 256192 untuk mengetahui lebih lanjut tentang buku ini dan isi kandungannya.

Bagaimanapun, buku-buku ini mungkin mengambil masa untuk dihantar ke perpustakaan di luar Kota Kinabalu, sila berhubung dengan perpustakaan terdekat untuk tempahan pinjaman.

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Membaca adalah alat paling dasar untuk meraih hidup yang baik." (Joseph Addison).

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.