Select your language

Chicken Soup for the Soul: Tough Times, Tough people.  (Edisi Bahasa Melayu)

Penulis
Jack Confield, Mark Hansen & Amy Newmark

Terbitan
Batu Caves, Selangor: PTS Publishing House, 2017. 419 Muka surat.

 


 

Ulasan oleh Meroline Michael, Latihan Industri, UiTM Kampus Rembau, Cawangan Negeri Sembilan

Semestinya, setiap daripada kita pernah menghadapi masalah dan cabaran tidak kira daripada aspek apa pun. Hal ini membuatkan kita sering mengeluh dan kadang-kadang rasa berputus-asa dalam menempuhi kehidupan. Walaubagaimanapun, sekiranya kita tetap cekal, tabah dan berdoa memohon pertolongan Tuhan, pastinya kita akan dapat menghadapi semuanya

Maka itu, buku yang diulas pada kali ini iaitu ‘Chicken Soup for the Soul: Tough Times, Tough People'  pastinya terdapat ramai penggemar pembacanya di luar sana. Apa yang menariknya buku ini adalah buku yang telah diterjemahkan secara sah daripada buku asal. Menurut pemilih dan penyunting buku ini, disebabkan mereka menerima pelbagai cadangan daripada orang ramai yang mahu berkongsi kisah getir hidup mereka, maka terhasillah buku ini.

Secara terperincinya, sebenarnya buku ini menghimpunkan sebanyak 10 bab utama dan diikuti dengan pelbagai kisah-kisah yang berlainan. Bab-bab ini memaparkan kisah-kisah getir hidup yang dialami oleh Si Pencerita. Ia meliputi isu-isu yang melibatkan kegawatan ekonomi, derita penyakit, hilang upaya, isu keluarga, kehilangan ahli keluarga, bencana alam dan jenayah. Melalui kompilasi-kompilasi topik yang ada ini, para pembaca pastinya akan mendapati bahawa masalah yang mereka alami, juga menimpa orang lain yang membuatkan mereka sedar bahawa bukan hanya mereka seorang yang mengalami masalah sedemikian tetapi juga dialami orang lain di luar sana. Maka dengan itu, Si Pembaca juga akan beroleh pengajaran, sokongan, tangisan, senyuman ketika membaca lembaran demi lembaran di dalam buku ini. Tambahan pula, buku ini juga menyelitkan sedikit pepatah di dalam setiap kisah yang diceritakan yang boleh dijadikan sebagai kata-kata pemberangsang kepada Si Pembaca dalam menghadapi masalah-masalah mendepan.

Secara ringkas dan spesikasinya, bab 1 bertemakan ‘Bersyukur Seadanya’. Bab ini bermula daripada muka surat 3 sehingga 36 dan terdapat 10 lagi kompilasi kisah-kisah yang berlainan. Apa yang menarik di dalam bab ini ialah ia memberi teladan kepada pembaca supaya sentiasa bermuhasabah diri dan bersyukur. Misalnya, kisah yang pertama menceritakan sepasang suami isteri yang berhajat ingin melancong memilih untuk bercuti di tempat sendiri sahaja dek kerana keadaan ekonomi yang semakin meruncing, menahan hasrat mereka daripada mengembara ke Amerika Barat. Begitu juga bagi kisah ketiga, oleh kerana kegawatan ekonomi Si Pencerita memilih untuk membawa pelajarnya melawat ke destinasi yang berhampiran ekoran perlu berjimat-cermat. Hasil daripada tindakan Si Pencerita ini telah membuka mata mereka dan pembaca bahawa rasa kepuasan dan kegembiraan dapat diperoleh bukan hanya dengan pemilihan destinasi pelancongan yang jauh dan mahal tetapi apa yang penting adalah masa yang diluangkan bersama-sama orang yang sepatutnya dan juga pengalaman yang diperoleh.

Bab 2, bertemakan ‘Ikatan Kekeluargaan’. Bab ini mengandungi 11 kisah yang mengaitkan topik dengan kekeluargaan. Apa yang menarik hati saya  adalah kisah ke-19 iaitu ‘Syukur Seorang Anak’. Kisah ini menunjukkan bukan sahaja ibu bapa yang mampu memberikan contoh yang baik kepada anak-anaknya, tetapi seorang anak juga berupaya memberikan contoh yang baik kepada orang tuanya dan oleh yang demikian boleh dijadikan teladan para ibu bapa yang lain bahawa anak tidak semestinya salah pada sepanjang masa. Contohnya, petikan yang diambil dari muka surat 67 “Noah adalah keajaiban itu, kerana mengajar kami erti bersyukur pada saat ditimpa musibah”, cukup membuktikan bahawa anak mereka berjaya mengajar ibu bapanya satu nilai yang positif.

Di samping itu, bab 3 bertemakan ‘Garisan Kelabu’ yang menghimpunkan sebanyak 9 kisah yang lain. Bab 4, iaitu ‘Kuasa Berfikiran Positif’. Bagi diri saya, antara kisah yang menarik adalah kisah ke-32. Kisah ini memperlihatkan bagaimana suami Si Pencerita begitu positif, cekal dan tabah dalam menghadapi penyakit kansernya. Berdasarkan kisah ini, ia dapat mengajar kita untuk tidak terlalu ‘stress’ dalam menghadapi setiap masalah lebih-lebih lagi sekiranya kita dilanda penyakit yang kronik. Malah kita seharusnya belajar untuk menerima kenyataan dan berlapang dada agar kita tetap kuat dan bersemangat untuk menempuhinya.

Sementara itu, bab 5 adalah bertemakan ‘Menerima Keadaan Diri’. Terdapat 11 lagi kisah yang dihimpunkan di dalam bab ini . Antara yang menarik di dalam bab ini ialah kisah ke-43 iaitu ‘Dahulu, Saya Mampu Mengukir Senyum’ Ia mengisahkan bagaimana seorang yang dahulunya cantik dan sihat kini berubah. Semuanya bermula apabila Si Pencerita ini telah mengalami lumpuh kekal sehinggakan menjejaskan raut wajahnya. Lantaran itu, beliau telah menerima pelbagai reaksi daripada orang-orang yang melihat wajahnya. Apa yang membanggakan adalah, beliau tetap cekal untuk hidup walaupun fizikalnya telah berubah dan sikap ini seharusnya dicontohi oleh kita. Selain itu, bab 6 bertemakan ‘Dipecat’. Bab 7, bertemakan ‘Dengan Bantuan Rakan-rakan’. Bab 8, ‘Manusia Cekal’. Bab 9, ‘Kaya ataupun miskin’. Sementara bab 10 bertemakan, ‘Kesedihan dan Kesembuhan’. Bukan itu sahaja, penulis turut memuatkan bab bonus iaitu bab 11 dengan 10 kisah tentang kepercayaan semasa menghadapi tempoh-tempoh kesukaran.  Bab ini adalah hadiah yang diberikan penulis kepada pembaca setia buku ‘Chicken Soup for the Soul’.

Sehubungan dengan itu, bagi membaca lebih lanjut mengenai buku ini, adalah dialu-alukan untuk melayari laman web rasmi Perpustakaan Negeri Sabah di www.library.sabah.gov.my atau hubungi 088-231623, 214828 atau 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku ini. Disebabkan buku ini memakan masa untuk dihantar ke perpustakaan luar Kota Kinabalu, maka disarankan untuk berhubung terlebih dahulu dengan perpustakaan terdekat bagi membuat tempahan pinjaman.

 

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Membaca adalah alat paling dasar untuk meraih hidup yang baik." (Joseph Addison).

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.