A- A A+

#Cantik - Wanita Seindah Mutiara

Penulis
Norhafizah Musa

Terbitan
Batu Caves, Selangor: PTS Publishing House Sdn. Bhd., 2017.   108 Muka Surat.

Ulasan oleh Salianah Sabrah, Perpustakaan Cawangan Sandakan

Cantik adalah satu perkataan yang sangat umum ataupun biasa bunyinya didengar, namun mempunyai makna yang sangat luas. Cantik tidak hanya dikaitkan dengan benda hidup, malah dikaitkan juga terhadap benda bukan hidup.  Hal ini kerana definisi cantik sentiasa berubah mengikut faktor tempat dan masa.  Dalam konteks cantik terhadap benda hidup, persoalan ini sangat dekat dengan wanita. Makna kecantikan dibahagikan kepada dua bahagian iaitu kecantikan lahiriah dan kecantikan rohaniah. Kecantikan lahiriah atau luaran adalah kecantikan fizikal yang dapat dilihat terus oleh mata kasar, yakni orang yang melihat akan menilai mengikut pandangan peribadinya seperti wajah yang cantik, kulit yang putih dan gebu serta badan yang langsing. Manakala, kecantikan rohaniah pula adalah kecantikan dalaman yang diukur dan dinilai dari hati. Walaupun tidak dapat dilihat oleh mata kasar, tetapi mampu menarik dan menawan hati seseorang atas kebaikan yang ditunjukkan oleh pemilik hati.

Oleh itu, kecantikan adalah naluri dan fitrah yang dikurniakan oleh Tuhan yang Mahakuasa terhadap manusia, khususnya kaum hawa ataupun golongan wanita. Bohonglah sekiranya ada antara manusia yang mengatakan kecantikan itu sesuatu yang tidak penting dan tidak perlu dititikberatkan.  Sebagai seorang wanita, persoalan kecantikan menjadi persoalan yang sangat besar kerana mereka sentiasa mahu dilihat dan dipandang cantik hingga sanggup memberikan komitmen yang tinggi bagi mencapai tahap kecantikan yang diingini. Hal ini tidak mustahil dan logik sekiranya kita melihat keadaan sekeliling, dimana persoalan kecantikan sentiasa menjadi fokus utama media massa dan juga usahawan-usahawan produk kecantikan.

Menurut penulis, ilmu pengetahuan adalah satu aset ataupun harta yang berharga buat seseorang kerana ilmu menjadi jambatan dan keperluan untuk menggapai kesenangan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.  Seseorang yang berilmu dapat berfikir, serta menyumbang idea dan pandangan yang lebih baik. Secara fitrah, wanita yang berilmu akan kelihatan cantik walaupun pada pandangan orang lain, paras wajahnya biasa-biasa sahaja. Hal ini kerana cahaya ilmu yang dimiliki menyinari wajahnya dan meningkatkan nilai keindahan dirinya. Mereka tidak mudah menonjolkan emosi dan sentiasa bertindak menggunakan akal waras. Ilmu membuatkan hati mereka tunduk, nafsu lebur dan perilaku yang teratur. Mereka bukan sahaja mampu berfikir dengan lebih baik, tetapi dapat memelihara diri daripada melakukan sesuatu yang boleh menjerumuskan diri ke lembah kehinaan.

Selain itu, setiap wanita juga perlu menjaga penampilan diri dengan sebaiknya, khususnya di rumah. Perkara asas dalam penampilan diri adalah kebersihan kerana kebersihan adalah sebahagian daripada iman. Agama Islam juga menetapkan garis panduan dalam berketerampilan dengan mengenalkan syariat tentang aurat, bersederhana atau tidak berlebihan, dan tabaruj. Bagi wanita yang sudah berkahwin dan bergelar isteri, mereka perlu menjaga penampilan khas untuk suami. Pamerkan penampilan yang cantik dan menyenangkan kepada suami kerana itu adalah antara tanggungjawab isteri. Justeru itu, golongan wanita jangan memandang enteng ataupun kecil tentang perkara berkaitan penampilan diri.

Buku bertajuk #Cantik – Wanita Seindah Mutiara ini sangat menarik dan bermanfaat kerana penulis bukan sahaja mengupas dan membincangkan topik-topik dengan menggunakan gaya bahasa yang mudah difahami seperti kecantikan luaran dan dalaman, fiqh dan kecantikan, cantik dan amalan sunnah, malah turut berkongsi pelbagai tip, petua dan doa-doa yang boleh diamalkan untuk kekal cantik.  Buku ini sangat sesuai untuk dibaca oleh semua wanita khususnya wanita beragama Islam. 

Untuk mengetahui lebih lanjut lagi tentang buku dan isi kandungannya,  sila kunjungi Perpustakaan Negeri Sabah yang terdekat dengan melawati laman sesawang www.library.sabah.gov.my atau hubungi 088-231623, 214828, 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut.

Ulasan Buku

Pendapat anda mengenai laman web baru?

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.