BERJALAN UNTUK SIHAT DAN CERGAS
|
Penulis Terbitan |
Ulasan oleh Pailis Atin, Perpustakaan Negeri Sabah, Cawangan Ranau
Setiap dari kita menginginkan kesihatan yang baik agar dapat menjalankan rutin harian tanpa halangan dari segi kesihatan fizikal dan juga mental. Seseorang yang sihat sudah pasti dapat melakukan tugas harian dengan produktiviti kerja yang bertambah baik dan kesihatan yang baik merupakan satu nikmat besar yang dikurniakan kepada setiap manusia. Ia adalah sesuatu yang sangat berharga dan membahagiakan hidup seorang manusia. Kehilangan nikmat ini akan terasa apabila seseorang itu telah jatuh sakit atau terlantar sakit di katil hospital.
Mengimpikan kesihatan yang baik? Untuk mendapatkan kesihatan yang baik kita perlu menjaga pemakanan agar seimbang dan sentiasa melakukan senaman bagi menyihatkan badan. Sekiranya kita mempunyai kesihatan yang baik terdapat pelbagai faedah yang kita akan perolehi daripadanya. Pepatah ada mengatakan bahawa kesihatan itu lebih baik daripada harta benda. Jika kita mengalami masalah kesihatan, kita tidak dapat melakukan aktiviti harian dengan selesa malah kekayaan yang kita miliki juga tidak dapat kita nikmati sepenuhnya. Sebagai contoh, jika kita menghidap penyakit kencing manis, makanan yang sedap seperti kuih muih, kek, coklat, aiskrim dan makanan ringan tidak dapat kita nikmati lagi walaupun kita mampu membelinya. Orang yang sihat juga mempunyai badan yang lebih cergas dan bertenaga. Jika seseorang itu mempunyai tubuh badan sihat yang sedang bekerja, dia akandapat melakukan kerja yang diberi dengan baik dan berkualiti.
Di negara kita banyak kempen telah dijalankan bagi mendidik masyarakat untuk menjaga kesihatan diri seperti menjalankan “Kempen gaya hidup Sihat” supaya rakyat kekal sihat dan dapat bekerja dengan gigih. Keupayaan rakyat bekerja dengan gigih akan dapat menjadikan negara maju dalam pelbagai aspek.
Akhir-akhir ini, banyak rakyat Malaysia menghidapi pelbagai jenis penyakit seperti darah tinggi, diabetes, sakit sendi dan sebagainya. Di samping pengambilan ubat, jalan terbaik untuk meningkatkan tahap kesihatan adalah melakukan aktiviti fizikal atau bersenam. Aktiviti berjalan merupakan satu aktiviti yang baik dan mampu untuk meningkatkan kecergasan kardiovaskular melalui pengaliran darah yang membawa oksigen ke seluruh tubuh serta memastikan saluran darah sentiasa bebas daripada pembentukan plak ataupun kolesterol. Memiliki kesihatan yang baik membuahkan kecerdasan otak yang membolehkan kita berfikir dengan rasional apabila menghadapi sesuatu perkara, seterusnya kita akan menjadi lebih kreatif dan inovatif.
Aktiviti berjalan adalah salah satu sukan pilihan orang ramai dan dapat memastikan tubuh sentiasa berada dalam keadaan sihat. Buku ini juga menerangkan konsep yang mudah difahami serta teknik dan cara berjalan yang betul. Aspek keselamatan dan pencegahan kecederaan turut disentuh. Selain itu, buku ini juga sesuai bagi mereka yang gemarkan sukan kerana banyak pengetahuan yang releven, terkini dan unggul untuk melahirkan generasi yang sihat, cergas dan cerdas.
Buku ini adalah koleksi buku yang terdapat di Perpustakaan Negeri Sabah, Cawangan Ranau. Jika berminat untuk mendapatkan maklumat mengenai buku ini, sila lawati laman sesawang Perpustakaan Negeri Sabah di www.ssl.sabah.gov.my atau hubungi 088-231623, 214828, atau 256192 ( Ibu Pejabat, Perpustakaan Negeri Sabah ) untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut. Bagaimanapun, buku ini mungkin mengambil masa untuk dihantar ke perpustakaan di luar Kota Kinabalu, sila berhubung dengan perpustakaan terdekat untuk tempahan pinjaman.