Select your language

Bahasa dan Kanak-Kanak Autisme

Penulis
Puteri Roslina Abdul Wahid dan Nurul Hasniza Samsudi

Terbitan
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka, 2016. 280 Muka Surat.

Ulasan oleh Ady Aldrick Yus Alisus, Latihan Industri, UiTM Kampus Rembau, Cawangan Negeri Sembilan

Buku bertajuk 'Bahasa dan Kanak-kanak Autisme' merupakan usaha penulis memaparkan sekelompok kanak-kanak istimewa yang memerlukan perhatian khusus dalam membentuk generasi anak muda demi pembangunan negara bangsa yang utuh.

Buku ini mengandungi lapan bab iaitu Autisme dan Psikolinguistik, Bahasa dalam Komunikasi Kanak-Kanak Autisme, Teori Pembelajaran Bahasa, Bahasa Ekpresif: Pembentukan Kata, Bahasa Ekspresif: Pembinaan Ayat, Bahasa Reseptif Kanak-Kanak Autisme, Penambahbaikan Perkembangan Bahasa Kanak-Kanak Autisme dan Sinar Harapan Kanak-Kanak Autisme. Selain itu, buku ini turut mempunyai rajah, jadual dan gambar-gambar yang akan membantu dalam memberi pemahaman tentang tajuk buku ini. Buku ini dihasilkan atas permintaan ibu bapa, penjaga dan pengasuh kanak-kanak autisme yang melahirkan keinginan untuk membaca buku tentang autisme dalam bahasa Melayu.

Sejarah mengenai autisme telah dijelaskan di dalam bab satu, seperti perkataan “autisme” ini dipinjam daripada bahasa Inggeris, iaitu autism yang berasal daripada perkataan Yunani, iaitu autos yang bermaksud diri sendiri yang merujuk individu yang hidup dalam dunianya sendiri. Manakala, ‘-isme’ bermaksud satu aliran. Dalam bab ini juga, penulis telah menerangkan mengenai cara kita mengesan autisme serta memahami apa itu autisme. Bab kedua memberikan penjelasan tentang bahasa dan komunikasi kepada ibu bapa atau penjaga kanak-kanak autisme agar dapat menjadi panduan bagi membantu anak-anak mereka. Kemahiran bahasa dan komunikasi dalam kalangan kanak-kanak melibatkan pengetahuaan tentang bunyi, perkataan, tatabahasa, dan cara menggunakan bahasa untuk tujuaan komunikasi.

Terdapat tiga teori yang dibincangkan di dalam bab ketiga, seperti Teori Behaviorisme, Teori Mentalisme, dan Teori Konstruktivisme. Para pengajar akan membuat pemilihan dan merancang dalam menentukan pendekatan, kaedah, teknik, dan aktiviti bergantung pada jenis-jenis matlamat yang ingin dicapai dalam pembelajaran. Penulis juga turut menegaskan bahawa tiada jalan pintas bagi pengajaran dan pembelajaran kanak-kanak autisme.

Seterusnya, bab keempat membincangkan pemerolehan bahasa ekspresif, iaitu bahasa yang boleh dituturkan oleh kanak-kanak autisme. Bahasa ekspresif didefinisikan sebagai output bahasa, iaitu cara seseorang meluahkan keinginan melalui bahasa lisan atau tulisan. Perbincangan dalam pemerolehan bahasa ekspresif melibatkan penggunaan sistem bunyi atau fonologi, kebolehan memilih kata (morfologi), kebolehan menyusun ayat (sintakis), pengetahuan tentang makna perkataan (semantik) dan kebolehan menggunakan bahasa untuk tujuan sosial (pragmatik). Bab ini turut memperlihatkan Purata Panjang Ujaran dalam Morfem (PPU) atau Mean Length Utterances in Morpeme (MLU) yang diperoleh daripada ujaran kanak-kanak autisme. Manakala bab kelima, membincangkan pemerolehan bahasa ekspresif dari segi pembinaan ayat. Proses pembinaan ayat dalam kalangan kanak-kanak bermula apabila mereka boleh menggabungkan dua atau lebih kata. 

Sementara itu, bab keenam membincangkan bahasa reseptif bermaksud input bahasa, iaitu kefahaman tentang sesuatu perkara yang diperkatakan oleh orang lain. Kefahaman dalam bahasa reseptif dikaitkan dengan dikaitkan dengan perkataan dan gerak isyarat. Penguasaan bahasa reseptif turut melibatkan keupayaan mentafsir soalan, konsep dan bentuk tatabahasa yang kompleks. Selain itu, keupayaan menulis juga dikaitkan dengan keupayaan bahasa reseptif

Akhir sekali, Bab ketujuh dan bab kelapan membincang tentang peranan ibu bapa, penjaga, guru dan agensi kerajaan dalam meningkatkan perkembangan bahasa kanak-kanak autisme. Masyarakat hari ini lebih terbuka menerima kehadiran kanak-kanak autisme, sebagai bukti banyak pertubuhan bukan kerajaan sendiri berusaha untuk membantu kanak-kanak autisme meniti masa depan dengan penuh keyakinan.

Buku ini amat sesuai dijadikan panduan terutamanya kepada ibu bapa atau penjaga kanak-kanak autisme, para guru, pengkaji bahasa dan pembaca umum yang ingin mengetahui tentang perkembangan bahasa dalam kalangan kanak-kanak autisme.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang buku ini, sila lawati laman sesawang Perpustakaan Negeri Sabah di www.library.sabah.gov.my atau hubungi 088-231623, 214828 atau 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku-buku tersebut. Walau bagaimanapun, buku-buku ini berkemungkinan mengambil masa untuk dihantar ke perpustakaan di luar Kota Kinabalu, sila berhubung dengan perpustakaan terdekat untuk tempahan pinjaman.

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Membaca adalah alat paling dasar untuk meraih hidup yang baik." (Joseph Addison).

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.