Select your language

101 Senarai Penting Bagi Penyelaras Keperluan Pendidikan Khas

Penulis
Kate Griffiths dan Jo Haines

Terbitan
Kuala Lumpur: Institut Terjemahan & Buku Malaysia, 2012. 168 Muka Surat.

Ulasan oleh Elizabeth Zaitol, Latihan Industri, UiTM Kampus Rembau, Cawangan Negeri Sembilan

Pendidikan khas merupakan elemen baru dalam sistem pendidikan yang merujuk kepada didikan khas untuk kanak-kanak yang mempunyai kelainan daripada kanak-kanak biasa dari segi ciri-ciri mentalnya, kebolehan deria, ciri-ciri fizikal, tingkah laku sosial dan emosi, dan keupayaan berkomunikasi. Hal ini membawa kepada keperluan kanak-kanak ini dalam memerlukan perkhidmatan khas bagi membolehkan mereka beroleh perkembangan dan kemampuan ke peringkat maksima.

Buku berjudul 101 Senarai Penting Bagi Penyelaras Keperluan Pendidikan Khas ini merupakan buku yang boleh membantu guru-guru atau para pendidik khusus untuk murid-murid pendidikan khas dalam langkah-langkah penting yang perlu diambil kira dan diberi perhatian penuh agar sesi pengajaran dan pendidikan murid-murid khas dapat berjalan secara efektif dan efisien. Buku ini merangkumi topik tentang ringkasan terperinci keseluruhan pendidikan khas, strategi menguruskan masa penyelaras, dan penjelasan tentang kaedah pemerhatian dan pentaksiran.

Buku ini mempunyai Sembilan bab kesemuanya, di mana setiap bab mempunyai format penulisan yang sama dan bab mempunyai beberapa senarai penting yang berkaitan dengan tema tertentu bab tersebut.

Bab pertama bertemakan peranan penyelaras keperluan pendidikan khas. Bab ini mempunyai empat senarai penting iaitu huraian tugas, kepelbagaian bakat penyelaras SEN, bakat lain yang diperlukan dan doa. Manakala dalam bab dua  bertemakan tentang persediaan mengurus. Terdapat lima belas senarai penting bagi penyelaras yang boleh dibaca mengenai persediaan yang harus dilakukan dalam mengurus pendidikan khas.

Seterusnya, dalam bab tiga membicarakan tentang pengurusan. Namun, ia lebih kepada tema dalam pengurusan bilik darjah seperti menguruskan persekitaran, pelajaran, tingkah laku, ganjaran dan hukuman serta pengurusan individu atau murid. Manakala, bab empat pula merupakan bab yang mempunyai jumlah senarai penting bagi penyelaras yang banyak iaitu dua puluh lima senarai yang boleh dibaca dan boleh diaplikasikan oleh pembaca. Bab empat dalam buku ini adalah bertemakan keperluan khas individu. Oleh itu, bab ini membincangkan segala keperluan khas murid dalam pembelajaran mereka yang melibatkan kemahiran-kemahiran yang perlu dikuasai oleh individu tersebut. Sebagai contoh, kemahiran komunikasi, membaca dan bersosial.

Bab lima pula membahaskan tentang pemerhatian dan pentaksiran yang turut menjadi suatu keperluan dalam pendidikan khas. Dalam bab ini, beberapa senarai penting diulas oleh penulis seperti jenis pentaksiran, pentaksiran formatif, pemerhatian tingkah laku, memeriksa kemahiran motor dan beberapa senarai penting yang wajib dibaca oleh penyelaras dan semua pembaca.

Tambahan pula, bab enam adalah bertemakan perundangan dan inisiatif kerajaan. Bab ini membincangkan tentang Akta yang digunakan dalam pendidikan khas. Dalam bab tujuh, terdapat sepuluh senarai penting di bawah tema intervensi khusus. Terdapat banyak aktiviti yang sesuai dalam pengajaran pendidikan khas diulas dalam bab ini. Seterusnya bab lapan adalah bertemakan mengurus pembantu guru dan bab terakhir iaitu bab sembilan adalah senarai maklumat berguna yang boleh dirujuk dengan lebih lanjut oleh pembaca.

Buku ini adalah sangat digalakkan kepada para pendidik dalam bidang pendidikan khas kerana terdapat seratus satu senarai penting yang dibincangkan dapat membantu dalam penyelarasan pendidikan khas di Malaysia. Diharapkan agar buku ini dapat menjadi panduan kepada para guru dalam membantu mengembangkan kemahiran kanak-kanak khas.

Oleh yang demikian, pembaca boleh lawati laman sesawang Perpustakaan Negeri Sabah di www.library.sabah.gov.my atau hubungi 088-213623, 214828 atau 256192 untuk mengetahui lebih lanjut tentang buku ini dan isi kandungannya.

Bagaimanapun, buku-buku ini mungkin mengambil masa untuk dihantar ke perpustakaan di luar Kota Kinabalu, sila berhubung dengan perpustakaan terdekat untuk tempahan pinjaman.

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Buku dan pintu adalah hal yang sama. Kamu membukanya dan kamu pergi ke dunia lain."

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.