Hajah Fatimah Abdillah,Director, |
"Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Salam sejahtera
Salam Sabah Maju Jaya
Bermula pada bulan Januari 2022, perkhidmatan perpustakaan di seluruh negeri telah dibuka semula kepada orang ramai setelah hampir dua tahun perkhidmatan terhenti disebabkan pandemik. Masa operasi telah diubah bersesuaian dengan pengumuman fasa endemik.
Sempena dengan sambutan ulang tahun ke 50 Perpustakaan Negeri Sabah, kami juga telah menganjurkan semula Bulan Perpustakaan yang sudah lama tidak diadakan. Pada tahun ini, berbagai-bagai aktiviti diadakan sama ada secara fizikal mahupun secara atas talian. Penganjuran Bulan Perpustakaan adalah untuk mendekati komuniti dan memberi peluang kepada orang ramai untuk terlibat sama dalam aktiviti yang diadakan.
Tahun ini juga melakar sejarah dengan pembukaan cawangan perpustakaan yang ke 25 iaitu PNS Cawangan Kinabatangan yang mula dibuka pada 10 Februari 2022 dan perkhidmatan tambahan Library@KKIA yang memulakan perkhidmatan pada 3 Mac 2022.
Saya menyeru kepada orang ramai agar berkunjung ke perpustakaan. Ambil peluang menikmati berbagai perkhidmatan yang disediakan di perpustakaan daripada bahan bacaan fizikal sehingga kepada perkhidmatan berasaskan teknologi digital. Majukan diri dengan pembacaan dan ilmu. Jadikan masyarakat kita masyarakat yang berbudaya literasi.
Sekian, terima kasih."