Dr. Mahathir: Warkah Terpiih Kepada Pemimpin Dunia
Penulis Terbitan |
Ulasan oleh Fahmi Hj Mohd Tery, Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Sandakan
Dr. Mahathir Mohamad cukup petah bertutur dan menulis. Beliau petah bertutur dan jauh lebih mudah daripada merakamkan kata-kata dalam tulisan. Meskipun soal imej tidak pernah menjadi faktor penting dalam arena politik Malaysia, kedua-dua kebolehan ini memang suatu kelebihan, rupa paras yang baik ini menambahkan lagi daya tarikan Dr. Mahathir.
Dalam buku ini memaparkan sebanyak 71 koleksi pucuk surat hasil tulisan Dr. Mahathir, Bush, Chirac, Blair, Thatcher dan Putera Charles. Surat-surat ini unik kerana masing-masing menyuarakan pendirian yang berlainan seperti isu-isu keganasan, globalisasi, hubungan ekonomi dan diplomatik, serta perang dan konflik. Surat-menyurat ini memberikan gambaran tentang keadaan dunia sebenar yang diselubungi pelbagai permasalahan dan kerumitan untuk tatapan dan renungan pembaca. Surat-surat ini bersifat terbuka, padat dan penuh dengan informasi serta sesetengahnya mencabar. Kenangan mereka dan ungkapan kata-kata yang bernas merangsang dan mengusik jiwa pembaca.
Setiap pucuk surat didahului dengan pengenalan ringkas yang meletakkan surat berkenaan dalam konteks yang menepati masanya. Dr. Mahathir memang terpuji sebagai seorang yang berpegang kuat kepada prinsip-prinsipnya yang tidak mudah berubah fikiran.
Menurut Abdullah Ahmad yang juga merupakan seorang wartawan dan ahli politik, koleksi warkah ini memuatkan surat-surat yang ditulis sendiri oleh tokoh Perdana Menteri Malaysia yang bukan saja dikagumi, malahan disegani. Sebuah karya menarik yang boleh dihayati oleh pelbagai lapisan pembaca mereka yang gemar akan politik, mereka yang terlibat dalam hubungan diplomatik dan pakar hubungan antarabangsa. Tidak ada sepucuk surat pun dalam koleksi ini yang pernah terbit sebelum ini.
Salah satu ciri paling menonjol yang memberi manfaat kepada para pelajar bahasa Inggeris di Malaysia dan rantau Asia adalah penjelasan tentang pelbagai isu rumit diberi dalam gaya bahasa Inggeris yang mudah. Buku ini mendorong kita untuk terus menghayati politik dan terlibat sama dalam politik.
Buku bertajuk Dr. Mahathir: Warkah Terpilih kepada Pemimpin Dunia sesuai dibaca oleh semua lapisan masyarakat sama ada pelajar yang mengikuti pengajian politik dan hubungan antarabangsa, juga kepada pembaca biasa, guru dan pendidik, pelajar dan ahli politik. Buku ini mendorong kita untuk terus menghayati politik dan terlibat sama dalam politik.
Untuk mengetahui lebih lanjut lagi tentang buku dan isi kandungannya, sila kunjungi Perpustakaan Negeri Sabah yang terdekat dengan melawati laman sesawang www.library.sabah.gov.my atau hubungi 088-231623, 214828, 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut.