Select your language

PERUBATAN TRADISIONAL MENYEMBUHKAN COVID-19?

Penulis
AMIR AL FADHIL 

Terbitan
BUTTERWORTH, PULAU PINANG: GOLDEN BOOKS DISTRIBUTORS,2022. 74 MUKA SURAT.

 Ulasan oleh Fatmawati Lapida, Perpustakaan Desa Kampung Pasir Putih, Tawau

Sejak zaman dahulu lagi perubatan tradisional sudah terkenal dan sering digunakan untuk kesejahteraan masyarakat sejagat. Sebagai contoh, negara China menggunakan ubat tradisional sebagai rawatan Covid-19 di negaranya. Tiga ubat tradisional yang dipatenkan oleh negara China ialah Lianhuaqingwen, Jinhua qinggan, dan Xuebijing. Negara China juga menyatakan bahawa penggunaan ubat tradisional dapat meringankan beban para perawat. Selain itu, negara China mendakwa ketiga-tiga ubat itu berkesan untuk mengurangkan gejala Covid-19 seperti demam, batuk, keletihan dan membantu pesakit daripada mengalami keadaan yang lebih teruk.

Buku ini tidak mempunyai bab tetapi ia menceritakan bagaimana ubat-ubat tradisional dari pelbagai cara dan negara dapat meredakan gejala atau penyakit dari virus Covid-19. Kajian bertajuk “Penggunaan ubat herba untuk merawat Covid-19” menjelaskan bahawa tanpa melalui ujian klinikal, ubat-ubatan herba pada pesakit berpotensi untuk merawat pesakit yang dijangkiti virus Covid-19. Seterusnya, buku ini turut menghuraikan falsafah perubatan Melayu menurut Syeikh Ahmad Al-Fatani dan mengenai dasar perubatan tradisional dan komplementari kebangsaan.

Ramai pakar perubatan moden mengakui bahawa perubatan tradisional ini memang tidak dapat dipisahkan daripada perubatan moden kerana perubatan ini bersifat budaya setempat, diwarisi dari satu ke satu generasi dan mengikut peredaran zaman dan pembangunan sesebuah negara. Demikian juga, perubatan tradisional Melayu masih mengamalkan rawatan tersebut yang telah diturunkan dari zaman nenek moyang lagi.

Selain itu, falsafah perubatan Melayu menurut Syeikh Ahmad Al-Fatani menyatakan ilmu perubatan itu terbahagi kepada dua perkara penting iaitu untuk memelihara kesihatan yang sedia ada dan juga merawat tubuh yang sedang mengalami kesakitan agar keseimbangan badan dapat dikembalikan semula.

Dasar perubatan tradisional dan komplementari kebangsaan sedekad yang lalu telah memberi sumbangan penting dalam penjagaan kesihatan manusia. Badan pengamal perubatan tradisional dan komplementari yang diiktiraf harus menguatkuasakan kod etika dan amalan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta mematuhi standard dan kriteria amalan berdasarkan penilaian rakyat sejawat (peer evaluation). Walaupun perubatan tradisional dan komplementari amat bermanfaat namun tidak selalunya disokong oleh bukti saintifik. Oleh yang demikian, penyelidikan saintifik diperlukan untuk menyediakan bukti keselamatan dan keberkesanan produk.

Tuntasnya, objektif buku ini adalah sebagai panduan bagi semua golongan masyarakat untuk mengetahui dan mengenal perubatan tradisional dari negara lain. Buku ini juga sesuai untuk bacaan umum dan semoga dapat memberi manfaat khususnya kepada pelajar, ibu bapa, pendidik dan golongan profesional.

Buku ini adalah koleksi buku yang terdapat di Perpustakaan Desa Kampung Pasir Putih, Tawau. Untuk mengetahui lebih lanjut dan terperinci mengenai buku ini dan isi kandungannya, sila berkunjung ke Perpustakaan Negeri Sabah yang terdekat atau melayari laman sesawang www.ssl.sabah.gov.my atau hubungi talian 088-231623, 214828, 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku ini.

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Orang yang tidak banyak membaca pasti tidak banyak tahu. Orang yang tidak banyak tahu sangat dekat dengan kebodohan. Dan kebodohan akan sangat dekat dengan kemiskinan." (Helmy Yahya).

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.