Select your language

TOKOH-TOKOH PENCIPTA INOVASI

Penulis
NOOR AZILAWATI MOHD. SABDA 

Terbitan
SELANGOR: PUSTAKA NURUL, 2010. 64 MUKA SURAT.

 Ulasan oleh Bettlieynna Wakilin, Perpustakaan Desa Kampung Perancangan, Ranau

Dalam era dunia dilingkari dengan kemajuan sains dan teknologi ini, hampir  setiap hari kita diperkenalkan dengan teknologi baharu. Selagi jam terus  berdetik selagi itulah sains dan teknologi akan terus berkembang dan pada masa  yang sama akan menghasilkan inovasi-inovasi baharu dalam pelbagai bidang.  Inovasi merupakan suatu cetusan idea atau kaedah baharu dalam menghasilkan  produk yang lebih canggih dari sebelumnya. Inovasi juga membawa maksud  sebagai kebolehan untuk mencipta kemahiran dalam menyelesaikan sesuatu  masalah dan peluang meningkatkan taraf hidup masyarakat.

Inovasi lahir daripada kreativiti manusia yang tidak pernah jemu dalam  mencipta penemuan baharu yang lebih inovatif serta bermanfaat kepada  kehidupan. Kebolehan dalam mencipta sesuatu yang baharu membawa kepada  inovasi masa kini. Ketika melihat kepada kemajuan hasil inovasi sudah pasti  ada penciptanya. Terdapat beberapa tokoh pencetus kepada ledakan  inovasi yang mana hasil inovasi ciptanya masih dinikmati malahan menjadi  keperluan penting dalam kehidupan pada masa ini.

Buku yang bertajuk “Tokoh-Tokoh Pencipta Inovasi” hasil karya Noor  Azilawati Binti Mohamad Sabda ini membincangkan tentang profil hidup tokoh-tokoh  pencetus inovasi yang terkenal di dunia. Buku ini merupakan siri Inovasi Memacu Gaya hidup berusaha melihat sejauh mana proses inovasi ini berjaya memanfaatkan kehidupan manusia. Buku ini memuatkan tujuh belas tokoh-tokoh terkenal pencetus inovasi.

Apa yang menarik tentang buku ini, selain membincangkan tokoh-tokoh  pencipta inovasi dari Barat mahupun Asia, turut membincangkan sumbangan  ilmuwan Islam dalam peradaban dan tamadun manusia yang telah melakukan  inovasi yang meningkatkan kemajuan dan peradaban kehidupan. Buku ini  menggunakan pengolahan bahasa yang mudah difahami, terdapat gambar  berkaitan, glosari dan latihan menguji kefahaman.

Buku ini sesuai dibaca oleh semua lapisan masyarakat terutamanya bagi  para pelajar bagi mengetahui dan mengenali tokoh-tokoh pencetus inovasi.  Sudah pasti ada di antaranya yang hanya menyebut hasil inovasi ciptaan sahaja sudah tahu siapa penciptanya tetapi tidak tahu secara mendalam profil  lengkapnya. Disamping itu juga, diharapkan agar dapat merangsang minat  melakukan reka cipta lebih inovatif terutamanya dalam kalangan pelajar dengan  mengambil tokoh-tokoh pencetus inovasi sebagai sumber inspirasi.

Inovasi memacu gaya hidup lebih bermakna, bersifat kontemporari serta  menepati cita rasa terkini. Dalam mengejar perubahan dan mengikuti peredaran  semasa untuk mencapai kemajuan dalam dunia yang tiada bersempadan ini,  haruslah bijak mengkaji dan mengaplikasikan segala kecanggihan untuk  memperkembang potensi insani. Sesungguhnya, sains, teknologi dan inovasi  mampu menjana ke arah melahirkan generasi berkualiti,  optimis serta memiliki pencapaian rohani dan jasmani yang seimbang  bagi memacu kecemerlangan negara ke peringkat yang lebih tinggi.

Buku ini ada di dalam koleksi Perpustakaan Desa Kampung Perancangan Ranau. Untuk tempahan dan pinjaman, sila berkunjung ke perpustakaan yang terdekat atau layari laman sesawang www.ssl.sabah.gov.my dan hubungi talian 088-231623, 214828, 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku ini.

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Orang yang tidak banyak membaca pasti tidak banyak tahu. Orang yang tidak banyak tahu sangat dekat dengan kebodohan. Dan kebodohan akan sangat dekat dengan kemiskinan." (Helmy Yahya).

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.