Select your language

Tautan Budaya Dalam Fiksyen Jong Chian Lai

Penulis
Hu Ann Leh

Terbitan
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka,  2017.  193 muka surat.

 


 

Ulasan oleh Turly Tony, Pelatih Industri, UiTM, Cawangan Negeri Sembilan

Buku yang bertajuk Tautan Budaya Dalam Fiksyen Jong Chian Lai ini membincangkan secara khusus kepelbagaian etnik berdasarkan novel dan cerpen karya fiksyen Jong Chian Lai. Buku ini memaparkan hubungan antara orang Cina dan orang Iban yang telah diceritakan dalam hasil nukilan Jong Chian Lai. Buku ini turut menyentuh budaya-budaya yang berlaku di kalangan orang Iban dan Cina.

Buku ini mengandungi tujuh bab dimana dalam bab pertama, penulis  telah menceritakan mengenai latar belakang Jong Chian Lai serta penglibatan beliau dalam dunia penulisan dan pengiktirafan yang telah diterima. Menurut penulis, sesetengah hasil penulisan Jong Chian Lai lebih mendedahkan kisah mengenai orang Iban dan orang Cina. Penulis turut menyenaraikan koleksi novel dan cerpen karya fiksyen Jong Chian Lai bagi memudahkan para pembaca mengenal pasti hasil penulisan beliau.

Menariknya  buku ini ialah, dibab kedua penulis menceritakan etnik Iban dan Cina di Sarawak.   Penulis turut menjelaskan bahawa etnik iban ialah etnik yang paling awal datang ke Sarawak malah turut diiktraf sebagai peribumi Sarawak. Dalam buku ini juga menyatakan etnik cina yang berhijrah ke Sarawak berasal dari bahagian tenggara China iaitu wilayah Kwangtung, Fukien dan Kwangsi. Penulis juga menjelaskan bagaimana etnik iban dan cina bertemu dan implikasi yang terhasil akibat pertemuan dua etnik ini.

Bab ketiga menjelaskan teori komunikasi antarbudaya. Penulis telah memberikan definisi bagi komunikasi antarbudaya iaitu komunikasi antarbudaya ialah perhubungan antara sekurang-kurangnya dua pihak yang melibatkan pertukaran mesej dan makna sesama mereka. Buku ini menerangkan bahawa teori komunikasi antarbudaya ini mungkin sekali wujud akibat kemasukkan pelbagai budaya dan kaum ke Amerika Syarikat terutama sejak abad ke-19.

Bukan itu sahaja, dalam bab yang keempat, menerangkan faktor terjadinya pertemuan dua budaya ini iaitu Iban dan Cina di mana terdapat lima faktor iaitu perkahwinan campur, perbalakan, peranan pemimpin, urusan jual beli dan petempatan. Akibat dari tercetusnya pertemuan dua budaya ini, maka terjadilah unsur-unsur pertemuan budaya iaitu dari segi pakaian, makanan, peralatan dan Bahasa.

Bab lima mengenai pengetahuan antarbudaya dalam karya kreatif Jong Chian Lai. Di dalam bab ini penulis menyatakan bahawa ambiguiti tidak dapat dielakkan dalam mana-mana perhubungan sosial, malah penulis juga menerangkan definisi ambiguiti yang bermaksud kesamaran akan sikap dan tingkah laku individu lain akibat tiadanya pengetahuan tentang individu tersebut dan budayanya. Penulis juga menerangkan bagi mengatasi ambiguiti, masyarakat perlulah keluar dari kokongan budaya sendiri untuk memasuki dunia lain. Buku ini juga menerangkan bahawa Jong Chian Lai paling banyak menerapkan kecekapan orientasi kepada pengetahuan dalam beberapa karya kreatifnya, orientasi kepada pengetahuan bermaksud merujuk kepada syarat-syarat yang digunakan oleh individu untuk menjelaskan diri mereka dan dunia sekeliling mereka. Penulis juga telah menjelaskan hasil karya dan cerpen Jong Chian Lai yang mempunyai kecekapan orientasi kepada pengetahuan dan yang tiada.

Bab 6 menjelaskan mengenai tingkah laku antarbudaya dalam karya kreatif Jong Chian Lai. Penulis telah mengkaji perhubungan dan tingkah laku yang terdapat dalam hasil karya dan cerpen Jong Chian Lai. Tingkah laku  peranaan hubungan tersangat penting bagi seseorang untuk membina dan mengekalkan perhubungan peribadi dengan orang lain. Buku ini juga menyentuh mengenai sikap peramah orang Iban yang dijelaskan oleh Morrison (1998) semasa kunjungannya ke rumah-rumah panjang. Penulis juga merungkai hasil-hasil karya Jong Chian Lai yang mempunyai kecekapan tingkah laku peranan hubungan seperti yang terdapat dalam karya kreatif Jong Chian Lai, yang bertajuk “Jalur Gemilang” memaparkan kejayan seorang watak dalam menjalin komunikasi antarbudaya. Bukan itu sahaja, penulis juga mengkaji ketidakcekapan tingkah laku peranan hubungan iaitu jalan cerita dalam cerpen “Semanjau Tapan” memperlihatkan watak protaganis yang cuba menghalang kegiatan pembalakan yang bakal dilakukan dengan membunuh tauke cina yang menyebabkan watak ini telah dipenjara. Justeru itu, setiap tingkah laku yang bakal dibuat bergantung kepada hubungan yang ada antara individu tersebut.

Bab ketujuh ialah penutup, di mana penulis menerangkan bahawa di dalam hasil karya Jong Chian Lai, beliau banyak menemukan etnik Iban dan Cina dalam kegiatan ekonomi kerana peniaga tergolong dalam kalangan etnik cina. Kehadiran etnik cina ini dianggap penting oleh etnik iban kerana peniaga cina membekalkan mereka barangan runcit serta barangan yang tidak didapati oleh etnik iban sama ada melalui hasil hutan dan pertanian. Malah, peniaga cina juga menjalinkan hubungan baik dengan etnik iban kerana tanpa mereka peniaga cina tidak akan mendapat sumber-sumber hutan dan pertanian.

Secara kesimpulannya, buku ini menyentuh hubungan antara etnik iban dan etnik cina yang terdapat dalam hasil karya kreatif Jong Chian Lai. Hasil karya kreatif Jong Chian Lai memaparkan kisah-kisah yang berlaku di antara dua etnik di mana etnik cina ingin menjalinkan hubungan yang baik dengan etnik iban bagi keuntungan mereka namun ada juga sesetengah yang menjalinkan hubungan dengan niat yang baik. Begitu juga dengan etnik iban, dengan mempunyai hubungan yang baik dengan etnik cina mereka dapat memperolehi barangan runcit seperti garam,gula dan kain.

Oleh yang demikian, untuk mengetahui lebih lanjut mengenai buku ini, sila layari laman web Perpustakaan Negeri Sabah di www.library.sabah.gov.my  atau hubungi kami di talian 088-231623 / 214828 / 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut.

Walau bagaimanapun, buku-buku ini mungkin mengambil masa untuk dihantar ke perpustakaan di luar Kota Kinabalu. Sila berhubung dengan perpustakaan terdekkat untuk tempahan pinjaman.

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Tidak ada teman yang setia seperti bersama sebuah buku."

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.