Select your language

Sains Sosial Dan Kemanusiaan: PENYELIDIKAN KUALITATIF

Penulis
Shaiful Bahri Md Radzi

Terbitan
Kuala Lumpur: Global Mediastreet Sdn. Bhd., 2016.  292 Muka Surat.


 

Ulasan oleh Dr.  Harifah Mohd Noor & Dr.  Ubong Imang, Universiti Malaysia Sabah.

Pembaca yang mendambakan kelainan terhadap penerokaan ilmu penyelidikan, inilah buku yang anda cari selama ini.  Buku yang berjudul ‘Sains Sosial dan Kemanusiaan: Penyelidikan Kualitatif’, telah memberi kefahaman terhadap kaedah penyelidikan kualitatif  yang berbeza dengan buku kaedah penyelidikan yang lain. Buku ini memberi fokus terhadap cadangan  penyelidikan yang bertemakan dunia sastera.   Setiap kertas cadangan ini mengemukakan pelbagai tema sastera Melayu yang  memberi pemahaman lebih mendalam terhadap penyelidikan yang berorientasikan kaedah kualitatif.

Bahagian pendahuluan buku ini menerangkan latar belakang penyelidikan dalam bidang Sains Sosial dan Kemasyarakatan termasuklah penerokaan dunia sastera Melayu yang dikelompokkan di bawah ilmu kemanusiaan. Bahagian pendahuluan ini memberi penjelasan dengan jelas, serta bahasa yang mudah difahami terhadap tahap penyediaan kertas cadangan. Penyelidikan kualitatif adalah metodologi yang lazim digunakan yang berteraskan kepada pentafsiran yang menitikberatkan ke atas dunia sosial yang di tafsir, difahami, dialami dan dihasilkan. Penyelidikan menerusi pendekatan kualitatif ini diperkukuhkan lagi menerusi tujuh (7) contoh cadangan penyelidikan yang dimuatkan dalam buku ini.

Bab satu memaparkan cadangan penyelidikan mengenai unsur-unsur fiksyen Sains dalam cerita-cerita lipur lara.  Latar belakang kajian menghuraikan cerita-cerita lipur lara Melayu lama yang dianggap sebagai cerita dongengan.  namun pengkaji membuktikan terdapat beberapa ciri-ciri fiksyen sains Melayu yang terkandung dalam cerita-cerita berkenaan.  Kaedah kualitatif dilakukan dengan menghuraikan kandungan setiap teks bahan-bahan kepustakaan.

Cadangan penyelidikan sarjana sastera menerusi bab dua menghuraikan tajuk ‘Realisme Magis dan Kepincangan Masyarakat Melayu: Satu Analisis Kritis ke Atas Penciptaan Cerpen-Cerpen Zainal Rashid Ahmad. Kajian ini menumpukan  karya kesusasteraan Melayu moden yang bertunjangkan kepada aliran realisme magis. Kajian ini akan membuktikan bahawa realisme magis merupakan aliran kesusasteraan yang tepat dalam mengungkapkan pemikiran orang Melayu. Ianya dilakukan dengan meneliti dua aspek utama iaitu teknik-teknik penulisan aliran realisme magis dan pengisiannya memanfaatkan khazanah kesusasteraan Melayu tradisional. Kaedah penyelidikan kualitatif ini menggunakan data berupa cerpen-cerpen terpilih karya Zainal Rashid Ahmad sebagai bahan kajian, metodologi kepustakaan  serta kerja di lapangan.

Bab tiga meneroka hubungan Melayu-Jawa dalam sastera sejarah.  Objektif kajian memfokuskan penambahan dan perkembangan ke atas sastera sejarah Melayu dan Jawa serta memberi penjelasan kepengarangan dan memperkenalkan warisan sastera sejarah Jawa kepada khalayak Melayu.  Kajian ini berorientasikan kajian kepustakaan yang berteraskan kualitatif menerusi analisis kandungan. Dalam kaedah ini, bacaan disaring dan kemudian digunakan dalam analisis yang bersesuaian dengan pendekatan sosiologi sastera.

Cadangan penyelidikan seterusnya membincangkan ‘Pembangunan Akhlak: Satu Analisis Berdasarkan Cerita Kanak-Kanak dengan Tumpuan Khusus Terhadap Cerita Adaptasi Kisah Haiwan daripada al-Quran.  Kajian ini memfokuskan tentang cerita binatang yang diadaptasi daripada al-Quran sebagai buku cerita kanak-kanak.  Tujuan kajian mentafsir perbandingan antara akhlak manusia dan binatang yang diadaptasikan daripada al-Quran.  Penelitian ini menggunakan kaedah kajian perpustakaan sepenuhnya menerusi teknik bacaan rapi dan penganalisisan isi kandungan.

Cadangan penyelidikan pada bab lima memfokuskan terhadap seseorang individu bernama Azizi Haji Abdullah.  Beliau adalah watak utama dalam kajian penyelidikan Ijazah Doktor Falsafah ini.  Tujuan penerokaan untuk menganalisis hasil ke pengarangnya.  Latar belakang kehidupan beliau dikaitkan dengan hasil-hasil penulisan  yang membuktikan terdapatnya usaha pengarang menggunakan karya novel sebagai wadah menyampaikan gejolak jiwanya. Kajian ini berorientasikan kajian psikoanalisis dengan tumpuan khusus kepada personaliti mekanisme bela diri yang secara keseluruhannya bersifat kajian kualitatif.

Cadangan penyelidikan bab enam bertajuk ‘Pertuturan Brunei: Jati Diri dan Akar Budaya Kebruneian’. Kertas cadangan penyelidikan ijazah doktor falsafah ini memfokuskan kepada folklore Brunei sebagai asas kajian. Kajian dilakukan untuk melihat jati diri kebruneian dengan memberikan tumpuan ke atas entiti individu, keluarga dan masyarakat sedia ada.  Hasil kajian dapat mengetengahkan folklore Brunei dengan jelas mempunyai peranan dan berkepentingan sebagai satu entiti folklore Melayu dalam ruang lingkup yang disebutkan sebagai Tamadun Melayu.  Kajian ini menggunakan kaedah kerja lapangan dan disokong oleh kajian perpustakaan. Kaedah kerja lapangan bertujuan mengumpul data pertuturan yang masih berkisar dalam memori informan yang terpilih.

Bab akhir mengemukakan cadangan penyelidikan bertajuk ‘Ketokohan dan Pemikiran Munsyi Sulaiman: Satu Wacana Berdasarkan Kitab Gemala Hikmat. Kajian ini menerokai pemikiran tokoh pengarang dan sasterawan Munsyi Sulaiman berdasarkan latar belakang, dan keadaan sekeliling yang berlaku dalam kehidupan beliau menerusi teka-teki, pantun, syair, gurindam, seloka, prosa dan sajak hasil nukilannya.  Ianya menjurus kepada peringkat mengulas pemikiran dan mentafsir mesej yang ingin disampaikan oleh tokoh berkenaan. Kajian dilakukan menerusi kajian lapangan iaitu temu bual bersama keluarga terdekat serta kajian kepustakaan.

Buku ini sangat sesuai bagi ahli akademik dan pelajar sarjana sama ada dari Institut Pendidikan Tinggi Awam dan Swasta.  Buku ini  menyediakan beberapa kertas cadangan penyelidikan yang menjadi contoh yang baik untuk menghasilkan kajian berasaskan teknik penyelidikan kualitatif khususnya bagi calon pelajar sarjana dan ijazah doktor falsafah.

Oleh yang demikian,  untuk mengetahui lebih lanjut lagi tentang buku dan isi kandungannya,  sila lawati laman sesawang Perpustakaan Negeri Sabah di www.ssl.sabah.gov.my atau hubungi 088-231623/214828/256192 untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut.

Bagaimanapun, buku-buku ini mungkin mengambil masa untuk dihantar ke perpustakaan di luar Kota Kinabalu, sila berhubung dengan Perpustakaan terdekat untuk tempahan pinjaman.

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Membaca adalah alat paling dasar untuk meraih hidup yang baik." - Joseph Addison

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.