PROJEK LAVENDER: 22 KISAH PEJUANG KANSER YANG CEKAL MELAWAN
|
Penulis Terbitan |
Ulasan oleh Maimin Binti Napi, Perpustakaan Negeri Sabah, Cawangan Sipitang
Kanser antara penyakit yang digeruni bukan sahaja di Malaysia malah seluruh dunia. Pelbagai jenis kanser yang wujud pada masa ini dan ia menyerang tanpa mengira usia dan merupakan punca kepada kematian. Apabila disahkan menghidap kanser seperti dijatuhkan hukuman mati sedangkan hakikatnya kanser boleh dirawat jika dikesan lebih awal. Gentar untuk menerima rawatan seperti radioterapi atau kemoterapi dan kesan sampingan yang akan dialami adalah stigma terhadap penyakit ini menyebabkan pesakit kanser khuatir untuk menjalani pemeriksaan dan rawatan lanjutan.
Buku yang menghimpunkan kisah kanser yang dikeluarkan oleh dua penulis ini adalah sangat dialu-alukan untuk memberi pendedahan tentang kanser kepada masyarakat di luar sana. Tuhan tidak akan memberi dugaan yang hambanya tidak mampu tangani. Ya, lebih mudah berkata-kata namun hakikatnya mereka yang mengalami sahaja yang tahu. Pejuang kanser berjuang hidup dengan kanser, berjuang untuk hidup satu hari lagi dan berjuang untuk terus hidup.
Mengapa Projek Lavender? Lavender atau warna ungu cerah ialah warna reben kesedaran kanser secara umum. Buku ini menggabungkan kisah pesakit kanser yang pelbagai seperti kanser payudara, pankreas, hati, paru-paru, usus, limfoma dan leukemia. Di dalam buku ini, 16 kisah diceritakan oleh doktor dan insan yang rapat dengan pesakit kanser, lima kisah diceritakan oleh pesakit kanser dan satu kisah unik tentang kanser yang menyerang haiwan kesayangan. Projek ini adalah satu usaha penulis berkongsi pengalaman yang penting dan memberi pendedahan tentang penyakit kanser. Sememangnya kanser wujud di sekeliling kita. Apa yang cuba disampaikan oleh penulis adalah kisah pejuang kanser yang cekal melawan setiap hari, setiap langkah dan setiap detik. Semoga pembaca mendapat nilai yang bermanfaat daripada buku ini. Tiga perkara yang penulis ingin sampaikan juga adalah harapan, inspirasi dan perjuangan daripada pesakit kanser.
Buku ini merupakan salah satu koleksi Perpustakaan Cawangan Sipitang dan anda boleh berhubung dengan kakitangan bertugas untuk pinjaman atau tempahan pinjaman. Sila lawati laman sesawang Perpustakaan Negeri Sabah di www.ssl.sabah.gov.my atau hubungi di talian 087-821003 (Perpustakaan Cawangan Sipitang), 088-231623, 214828, atau 256192 (Ibu Pejabat, Perpustakaan Negeri Sabah) untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut. Bagaimanapun, buku ini mungkin mengambil masa untuk dihantar ke perpustakaan di luar Kota Kinabalu, sila berhubung dengan perpustakaan terdekat untuk tempahan pinjaman.