Life Without Limits
|
Penulis Terbitan
|
Diulas oleh Flora, Ibu Pejabat Perpustakaan Negeri Sabah
Nick Vujicic merupakan seorang penulis buku, pakar motivasi dan Direktor kepada Organisasi yang dipanggil Life without Limbs. Beliau menghasilkan karya beliau yang bertajuk Life without Limits yang mana Nick menceritakan kisah hidup beliau yang lahir tanpa tangan dan kaki. Beliau turut berkongsi bagaimana beliau menghadapi tekanan yang terpaksa dilalui semasa kecil dan semasa meningkat remaja.
Lahir tanpa tangan dan kaki merupakan perkara yang sangat menakutkan bagi kita. Jika anda mengalami perkara seperti ini, apa yang anda lakukan? Bagaimana dan dapatkah anda menerimanya? Masih adakah keyakinan anda kepada Tuhan? Dapatkah anda membayangkan bagaimana masa hadapan anda? Setiap persoalan ini pernah terlintas dalam fikiran Nick sehinggakan beliau merasa keseorangan, tertekan, dan sering berfikiran negatif. Namun, beliau dapat menghadapi semua ini kerana keyakinannya terhadap Tuhan. Melalui keyakinan dan kepercayaannya ini, beliau berjaya mencari maksud dan hala tuju hidup beliau.
Berpegang kepada pernyataan ini, “Jika anda mempunyai keinginan dan minat dalam melakukan sesuatu, dan dengan izin Tuhan, maka anda akan mendapatkannya”, Nick memulakan perjalanan beliau dalam memberi motivasi, harapan dan inspirasi kepada mereka yang memerlukannya. Oleh itu, jika anda memerlukan motivasi diri atau mencari inspirasi, anda boleh membaca dan seterusnya menjadikan buku ini sebagai panduan dalam mencari hala tuju hidup anda.
Buku ini amat disarankan kerana kita sangat memerlukan motivasi diri agar kita terus berfikiran positif terutamanya semasa musim pandemik Covid-19 ini.