Select your language

KOKURIKULUM PEMANGKIN KEMANDIRIAN PELAJAR

Penulis
KHAIRUNESA ISA, MOHAMAD SHATAR SABRAN, YUSLIZAR KAMARUDIN, HAZILA KADIR @ SHAHAR DAN AZITA ALI

Terbitan
UNIVERSITI TUN HUSSEIN ONN, 2020. 95 MUKA SURAT.

 Ulasan oleh Dr. Mahat Jamal, Thinker Vault Media, Kota Kinabalu

Buku berjudul Kokurikulum Pemangkin Kemandirian Pelajar disunting oleh Khairunesa Isa, Mohamad Shatar Sabran, Yuslizar Kamarudin, Hazila Kadir @ Shahar dan Azita Ali. Ia bertujuan memberi kefahaman peranan dan impak aktiviti kokurikulum di Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum (PPUK) dalam melahirkan pelajar berketerampilan dan mampu memenuhi permintaan pasaran.

Buku ini mempunyai 6 bab sumbangan beberapa pensyarah dan penyelidik antara lain membincangkan mengenai aktiviti kokurikulum dan kemahiran insaniah;  khidmat komuniti siswa (KKS); asas pengucapan awam;  program keusahawanan; Pusat Pengajian Umum dan kokurikulum (PPUK) di mata dunia dan maklum balas pelajar terhadap program University Community Engagement (UCE).

Bab pertama buku ini membincangkan program dan aktiviti kokurikulum dan Kemahiran Insaniah (KI). Tidak dapat dinafikan, penglibatan mahasiswa dalam aktiviti kokurikulum semasa menuntut di Insitut Pengajian Tinggi (IPT), menjadi pelengkap diri mahasiswa di samping pendidikan normal yang menjurus kepada domain kognitif, afektif dan psikomotor. Aspek kokurikulum juga merupakan wadah pembangunan jasmani, emosi dan rohani yang  menawarkan pelbagai pengalaman, pengetahuan, kemahiran dan latihan.

Kemahiran Insaniah (KI) atau soft skill merupakan kemahiran penting yang perlu dikuasai oleh seseorang mahasiswaIa merujuk kepada kemampuan melakukan tugas dan tanggungjawab melebihi apa yang diharapkan. Tujuh elemen utama telah digariskan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk KI dilaksanakan dan diterimaguna oleh IPT.  Antaranya ialah kemahiran berkomunikasi, kemahiran menyelesaikan masalah, kemahiran kerja berpasukan, kemahiran keusahawanan, kemahiran kepimpinan, pemikiran kritis, etika dan nilai profesional dan pembelajaran sepanjang hayat.

Khidmat komuniti dan mahasiswa berketerampilan dibincangkan dalam Bab 2 buku ini. Dalam menghadapi dunia global yang semakin kompetitif, pencapaian akademik sering dijadikan kayu pengukur membolehkan mahasiswa mendapatkan pekerjaan yang lebih baik. Namum demikian, keupayaan menguasai dunia teknologi di samping kemahiran insaniah seseorang mahasiswa dilihat lebih berdaya saing dan berketerampilan. Kelebihan ini boleh diperolehi dengan mengikuti kursus Khidmat Komuniti Siswa (KKS).

Perlaksanaan KKS secara umumnya mampu menjadi wadah dalam melahirkan mahasiswa yang berketerampilan dan berdaya saing.  Program dan aktiviti seperti UCE dan kemahiran insaniah mampu menjana kemandirian pelajar  dalam rangka memenuhi keperluan pasaran kerja global. Apatah lagi, jika aspek Revolusi Industri 4.0, kesukarelawanan dan khidmat komuniti diberikan penekanan.

Peranan Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum (PPUK) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang menawarkan lebih dari 140 kursus kokurikulum berkredit dibincangkan dalam Bab 5 buku ini. Selain berperanan membantu mengembangkan modal insan pelajar, PPUK juga berkolaborasi dengan universiti-universiti luar negara melalui program mobiliti pelajar. Untuk itu, satu program mobiliti berkredit antarabangsa ke Tokyo Jepun telah dirancang dan dilaksanakan oleh pelajar-pelajar UTHM yang mengambil Kursus Kokurikulum Berkredit 2 (KKB 2).

Program tersebut dijalankan bersama Majlis Daerah Chofu dan Tokyo University of Foreign Study (TUFS) selama 8 hari. Dengan tema ‘Jerayawara Melayu UTHM - TUTS - CHIFU’ program  ini menekankan konsep integrasi rentas budaya yang dipercayai dapat melebarkan jaringan kerjasama antara universiti. Ia juga dapat meluaskan lagi skop ilmu pengetahuan berkaitan budaya antara negara di samping dapat memantapkan sahsiah serta modal insan pelajar untuk kekal releven pada masa akan datang.

Terdapat dua lagi projek kemasyarakatan yang telah dilaksanakan oleh mahasiswa UTHM bertujuan meningkatkan kemandirian pelajar yang dibincangkan dalam Bab 3 dan Bab 4 buku ini.

Projek pertama dianjurkan oleh pelajar-pelajar Kursus Pengucapan Awam UTHM bersama pelatih-pelatih wanita di Pusat Perlindungan Wanita (DARWA) Batu Pahat Johor bertajuk ‘Untukmu DARWA’. Antara matlamat projek ini adalah untuk menyemarakkan rasa kasih sayang dalam diri setiap penghuni pusat perlindungan berkenaan agar tidak terasa terasing dan terabai oleh masyarakat luar.

Dua pendekatan digunakan dalam program ini, iaitu pengisian rohani dan juga jasmani. Pengisian rohani diisi dengan sesi ceramah agama dan motivasi oleh penceramah jemputan yang berpengalaman dan dibantu oleh pelajar-pelajar sebagai fasilitator. Pelajar-pelajar yang menganjurkan projek tersebut berpendapat ia merupakan langkah permulaan bagi meningkatkan kemahiran komunikasi dan keyakinan diri menghadapi audiens yang berbeza serta jauh dari ruang lingkup bilik kuliah.

Program ‘Untukmu DARWA’ atas inisiatif pelajar-pelajar ini telah dirancang lebih awal dengan pendekatan ‘SWOT Analysis’. Dengan demikian mereka tahu akan kekuatan (strength), kelemahan (weakness), peluang (opportunity) dan juga cabaran (threat) progam yang dijalankan. Program seumpama ini memberi banyak manafaat kepada pelajar hasil kesungguhan dan juga kerjasama pihak DARWA. Ini menjadi landasan terbaik pelajar untuk membentuk keyakinan diri dan rasa kebertanggungjawaban.

Projek kedua ialah program keusahawanan  yang dilaksanakan di Kampung Sungai Lurus, Senggarang Johor. Program ini berbentuk taklimat keusahawanan dan demonstrasi tanaman hydroponik. Antara matlamat dan objektif program ialah untuk memberi pengetahuan kepada pelajar kaedah penganjuran dan pelaksanaan sesuatu program; mengeratkan hubungan antara pelajar dengan penduduk setempat; mewujudkan semangat kerjasama antara pelajar dengan komuniti  terutamanya golongan belia dan menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan mahasiswa dan masyarakat.

Dapat dilihat program berbentuk kemasyarakatan seumpama ini memang sesuai dilaksanakan pelajar peringkat pengajian tinggi.  Selain dapat memupuk nilai-nilai murni dalam diri pelajar, ia juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim di antara masyarakat setempat dengan universiti. Selain itu, program ini dapat memenuhi keperluan kursus dalam memberikan pengalaman baharu kepada pelajar untuk menjadi  pemimpin cemerlang satu hari kelak.

Satu lagi program University Community Engagement (UCE)  dilaksanakan oleh PPUK bersama masyarakat. Ini dibincangkan dalam bab terakhir buku ini yang menekankan empat elemen iaitu perkongsian ilmu dan kemahiran, kos yang minima, impak yang tinggi dan survivalbility. Pendekatan ini bukan saja dapat membentuk kemahiran insaniah mahasiswa tetapi juga memberi faedah kepada pembangunan komuniti.

Antara maklum balas yang diterima daripada peserta-peserta kursus ialah program ini  memberi kesan positif keatas mereka;  melatih semangat bekerja berkumpulan; meningkatkan kemahiran berkomunikasi dan menyelesaikan masalah; menerapkan elemen kesukarelawan dan manfaat dari segi rohani dan jasmani. Walaupun terdapat segelintir mahasiswa liat pada peringkat awal menyertai program ini  namun atas dasar ‘paksa rela’, setelah melalui proses pembelajaran akhirnya mereka menjadi sukarela menyertai program UCE ini.

Buku ini sangat bermanfaat bagi mereka yang ingin mengetahui  peranan dan impak aktiviti kokurikulum di Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum (PPUK) bagi melahirkan pelajar yang berketerampilan dan mampu memenuhi permintaan pasaran. Oleh yang demikian, untuk mengetahui lebih lanjut lagi tentang buku ini dan isi kandungannya, sila lawati Laman Web Rasmi PNS atau hubungi talian 088-231623 untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut. Bagaimanapun buku-buku ini mungkin mengambil masa untuk dihantar ke perpustakaan di luar Kota Kinabalu, sila berhubung dengan perpustakaan terdekat untuk tempahan pinjaman.

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Kalau kamu hanya membaca buku yang dibaca semua orang, kamu hanya bisa berpikir sama seperti semua orang." - Haruki Murakami

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.