Select your language

Kemahiran Berfikir Kritis Dan Kreatif

Penulis
Wan Hasmah Wan Mamat dan Nur Munirah Teoh Abdullah

Terbitan
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka, 2016. 118 Muka Surat.

 


 

Ulasan oleh Oslen Dinagge Mosiun, Latihan Industri, UiTM Kampus Rembau, Cawangan Negeri Sembilan

Kemahiran Berfikir Secara Kritis dan Kreatif (KBKK) tidak asing lagi dalam dunia pendidikan sama ada dalam kalangan pendidik pada peringkat tadika, sekolah rendah, sekolah menengah atau pengajian tinggi.  Kaedah KBKK ini sangat sesuai untuk diaplikasikan oleh guru dalam bilik darjah kerana bukan sahaja dapat membantu menjana idea pelajar secara sistematik tetapi motif kaedah ini ialah membantu pelajar untuk menggunakan minda dan otak supaya dapat berfikir secara kritis dan kreatif.

Buku bertajuk “Kemahiran Berfikir Secara Kritis dan Kreatif” ini merupakan salah satu judul dalam Siri Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran. Buku ini mengandungi 4 unit. Unit 1 mengandungi penerangan tentang proses berfikir, perbezaan antara berfikir secara kritis dan kreatif serta keperluan dan kepentingan menggunakan KBKK dalam pengajaran dan pembelajaran. Penulisan dan penerbitan buku ini sangat sesuai dengan perkembangan sektor pendidikan yang mendorong pelajar untuk mempunyai kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT).

Unit 2 dalam buku ini meneliti bagaimana pelbagai aktiviti dalam KBKK boleh digunakan oleh guru dalam bilik darjah. Setiap aktiviti diterangkan dengan terperinci beserta dengan contoh aktiviti. Penulis menekankan bahawa guru perlu memilih kaedah atau aktiviti yang berpusatkan pelajar. Aktivti yang dipilih bukan sahaja harus sesuai dengan tahap pencapaian pelajar malah haruslah aktiviti yang memberi kesan kepada minat dan perhatian pelajar. Antara aktiviti KBKK yang dijelaskan oleh penulis ialah aktiviti menyusun atur, membanding beza, membuat ramalan, membuat keputusan, menyelesaikan masalah, merumus, mengkategorikan dan akhir sekali menerangkan sebab serta punca sesuatu tindakan. Untuk memudahkan pemahaman para pembaca, penulis menerangkan setiap jenis aktiviti dengan memberikan contoh dan tip yang berguna beserta dengan gambar yang mudah difahami.

Unit 3 menyentuh tentang alat-alat berfikir yang boleh digunakan oleh guru semasa menggunakan kaedah KBKK. Dalam membina suasana pengajaran dan pembelajaran yang kondusif di bilik darjah, guru perlu menggunakan pelbagai alat atau bahan bagi meransang minda pelajar. Antara alat bantu mengajar ialah peta minda, soalan dan penyoalan, alat-alat Cognitive Research Thrust 1 (CoRT 1) dan lembaran penyusunan grafik. Menariknya, penulis menerangkan secara terperinci beserta dengan ilustrasi contoh 4 peta konsep iaitu peta konsep labah-labah, hierarki, carta alir dan juga peta konsep Buku ini juga ada menyelitkan ruangan contoh modul asas pengajaran dan pembelajaran bagi beberapa mata pelajaran seperti Sejarah, Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan, Pendidikan Moral, Bahasa Malaysia dan Geografi. Terdapat 8 modul yang dicadangkan oleh penulis dalam unit ini. Modul ini dibina untuk memberikan gambaran tentang cara melaksanakan kaedah KBKK.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang buku ini, sila lawati laman web Perpustakaan Negeri Sabah di www.library.sabah.gov.my atau hubungi 088-231623/ 214828/ 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut. Walaubagaimanapun, buku-buku ini berkemungkinan mengambil masa untuk dihantar ke perpustakaan di luar Kota Kinabalu, sila berhubung dengan perpustakaan terdekat untuk tempahan pinjaman.

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Membaca adalah alat paling dasar untuk meraih hidup yang baik." - Joseph Addison

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.