Select your language

KECERDASAN EMOSI

Penterjemah
EILEEN YAP ENG MOI

Terbitan
BANDAR SUNWAY, SELANGOR: SUNWAY UNIVERSITY PRESS, 2020. 206 MUKA SURAT.

Ulasan oleh Puan Rohani Tahir, PNS Cawangan Lahad Datu

Berabad-abad lamanya, manusia telah berdebat sama ada seseorang dilahirkan sebagai pemimpin atau diasuh untuk menjadi pemimpin. Begitu juga halnya dengan perdebatan tentang kecerdasan emosi, adakah seseorang dilahirkan dengan tahap empati yang tertentu atau memperoleh empati hasil daripada pengalaman hidup? Satu hal yang pasti, kecerdasan emosi meningkat seiring dengan umur iaitu kematangan. Walaupun dianggap matang namun sesetengah orang masih memerlukan latihan untuk mempertingkat kecerdasan emosi mereka.

Menurut penulis, pemimpin yang paling efektif adalah pemimpin yang memiliki sifat yang disebut kecerdasan emosi pada tahap yang tinggi. Hal ini tidak bermakna bahawa tahap IQ dan kemahiran teknikal tidak penting namun, kecerdasan emosi ialah syarat paling penting dalam kepimpinan.

Kesedaran diri merupakan salah satu komponen dalam kecerdasan emosi. Orang yang memiliki kesedaran diri yang kukuh, tidak bersikap terlalu mengkritik mahupun amat berharap sehingga tidak realistik. Sebaliknya, mereka amat jujur kepada diri sendiri dan orang lain.

Kebanyakan kelakuan pengurus melaksanakan pengamalan keadilan iaitu  proses yang perlu bermula dari atas. Apabila pengurus menjelaskan sebab mereka membuat sesuatu keputusan strategik, menjadikan mereka bersedia untuk berkomunikasi dua hala dengan semua pekerja. Walaupun EQ sama pentingnya dengan IQ dalam menentukan keberkesanaan individu, namun kecerdasan emosi pasukan mungkin lebih penting kerana kebanyakan kerja perlu dilaksanakan secara berpasukan. Kecerdasan emosi pasukan bukan hanya berdasarkan bilangan anggota pasukan, sebaliknya kecerdasan ini terdiri daripada norma yang menyokong kesedaran dan kawal selia emosi dalam dan di luar pasukan. Oleh itu, anggota pasukan berasa bahawa mereka akan dapat bekerja lebih baik secara berpasukan berbanding secara individu.

Pekerja kurang berdaya kreatif apabila mereka tidak dihormati malah akan bertindak dengan sengaja mengurangkan usaha atau menurunkan mutu kerja, ini akan menjejaskan hubungan dengan pelanggan. Atas sebab ini, adalah penting untuk meminta bantuan daripada rakan yang boleh dipercayai yang sudi mendengar, mendorong dan memberikan cadangan.

'Berani menjadi telus' patut diterapkan dalam sesuatu organisasi. Semua pekerja terutama pihak pengurusan diharapkan bersikap terbuka tentang kelemahan diri mereka, meminta bantuan dan memberikan maklum balas yang jujur serta membina kepada rakan setugas.

Selain itu, tindakan seperti menangguhkan kenaikan pangkat mungkin sukar kerana ia mengambil masa untuk membangunkan kompetensi emosi pekerja untuk melahirkan pemimpin yang efektif. Jika pengurus menurut kemahuan hati untuk menaikkan pangkat pekerja terhebat sebelum mereka bersedia, pengurus mungkin mendapat eksekutif yang mungkin berkembang seiring dengan perubahan dan menunjukkan kemahiran daya tindak dan kelangsungan yang cemerlang tetapi tidak mempunyai kesedaran diri, rasa empati dan kemahiran sosial yang diperlukan untuk mendorong dan memupuk kekuatan tersebut kepada pekerja lain. Sesungguhnya, tidak ada pengganti bagi pengalaman, renungan, maklum balas dan yang paling penting, latihan. Semoga buku ini bermanfaat dan memberi input yang baik kepada pembaca.

Buku ini ada di dalam koleksi Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Lahad Datu dan boleh dipinjam. No. kelas : MAN 152.4 KEC. Lokasi : Rak Buku Bukan Fiksyen (Bahasa Melayu), Ruang Bacaan Dewasa, Aras 1. Sebarang pertanyaan, sila berjumpa dengan petugas di Kaunter Seksyen Perkhidmatan Pembaca, PNS Cawangan Lahad Datu atau hubungi talian 089-880276. Bagaimanapun, buku ini mungkin mengambil masa untuk dihantar ke perpustakaan di luar cawangan Lahad Datu. Sila berhubung dengan perpustakaan terdekat untuk tempahan pinjaman atau sila lawati laman web Perpustakaan Negeri Sabah di www.ssl.sabah.gov.my atau hubungi talian 088-231623, 214828, 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut.

 

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Kalau kamu hanya membaca buku yang dibaca semua orang, kamu hanya boleh berfikir sama seperti semua orang." (Haruki Murakami).

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.