Select your language

Gaya Hidup Sihat Di Usia Menopaus

Penulis
Dini Kasdu

Adaptasi
Noraida Hj. Ilias

Terbitan
Kuala Lumpur: Synergy Media books.  154 Muka Surat.

Ulasan oleh Jokiah Gandili, Perpustakaan Desa Pekan Nabalu

Meniti usia tua seringkali menjadi ketakutan bagi sebilangan besar wanita. Namun, kebimbangan ini disebabkan persepsi yang terbentuk secara semula jadi dimana akan berlaku penurunan ciri-ciri kewanitaan dan peningkatan risiko penyakit lain. Individu tersebut akan merasakan kesihatan dirinya terganggu, tidak secergas dan tidak secantik dahulu. Oleh itu, fenomena menopaus ada tanda tersendiri dan mirip kepada gangguan mental, kemurungan atau kepiluan. Tetapi, tahukah anda bahawa menopaus adalah satu proses semula jadi yang pasti akan dialami oleh setiap wanita? Mahu atau tidak, tiada wanita yang dapat menolak kehadirannya. Fasa menopaus merupakan salah satu fasa kehidupan yang perlu dilalui oleh setiap wanita, sama seperti fasa-fasa kehidupan yang lain iaitu masa kanak-kanak, remaja dan kali pertama mengalami haid. Meskipun fenomena ini berlaku secara semula jadi, namun, disebabkan kebimbangan dan ketakutan yang sering kali menguasai diri mengakibatkan perubahan ini akan menjadi proses yang menyukarkan.

Menurut penulis, sukar atau mudahnya menghadapi fasa menopaus bergantung kepada individu itu sendiri. Wanita yang menghadapi fasa menopaus akan mengalami pelbagai perubahan, bukan sahaja perubahan secara fizikal, malah, melibatkan emosi wanita tersebut. Fungsi tubuh yang semakin menurun memperlihatkan kesan ketidakselesaan terhadap wanita tersebut dalam menjalani kehidupannya. Namun, perasaan tidak selesa ini boleh ditangani dengan mudah dan lebih baik sekiranya, wanita tersebut dapat berfikir secara terbuka dan positif, Jika sebaliknya, mereka akan mengalami pelbagai kesulitan dan tekanan perasaan semasa menghadapinya.

Oleh itu, setiap wanita perlu sentiasa berfikiran positif dan menghadapinya dengan hati yang terbuka. Sikap positif dan menganggap menopaus merupakan fasa semula jadi dalam kehidupan sama seperti fasa-fasa lain di dalam kehidupan akan menjadikan kita lebih bersedia untuk menghadapi sebarang perubahan yang bakal berlaku. Sikap perlu diimbangi  dengan pelbagai informasi atau pengetahuan yang cukup bagi melengkapkan diri sebagai persediaan secara fizikal, mental dan rohani.  Turut dibincangkan dalam buku ini adalah cara penjagaan kesihatan diri, tatacara pemakanan yang sesuai dan pengambilan vitamin bagi mencegah osteoporosis atau pereputan tulang.

Buku yang bertajuk ‘Gaya Hidup Sihat di Usia Menopaus’ ini dapat memberikan pelbagai informasi dan panduan yang berguna khususnya wanita bagi memastikan kehidupan selepas menopaus akan dapat dilalui dengan lebih bermakna. Cara penulisan santai tetapi jelas dengan menggunakan bahasa yang mudah difahami agar pembaca dapat memahaminya. Buku ini sangat sesuai dibaca oleh semua lapisan masyarakat khususnya para wanita.

Untuk mengetahui lebih lanjut lagi tentang buku dan isi kandungannya,  sila berkunjung ke Perpustakaan Negeri Sabah yang terdekat dengan melawati laman sesawang www.library.sabah.gov.my atau hubungi 088-231623, 214828, 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut.

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Makin banyak membaca, makin aku banyak berpikir; makin aku banyak belajar; makin aku sadar bahwa aku tak mengetahui apa pun." (Voltaire).

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.