Select your language

Bagaimana Mengurus Harta Pusaka

Penulis
Mohd Fitri Abdul Rahman

Terbitan
Kuala Lumpur: PTS Professional Publishing, 2007. 136 Muka Surat.

Ulasan oleh Siti Rafiah Binti Rahban, Perpustakaan Wilayah Sandakan

Setiap yang hidup pasti akan mati. Semasa hidup inilah kita perlu bijak mengatur kehidupan dan merancang segala perkara dengan sempurna sehingga kita mampu mengumpul harta kekayaan serta hidup selesa dan bahagia. Kenikmatan ini  bukan hanya kita sendiri yang merasainya malah seluruh kaum keluarga juga turut menikmati kesenangan hidup.

Perancangan harta pusaka adalah bermaksud sebarang usaha dan persediaan yang wajar serta perlu dilakukan bagi membahagi atau mengagihkan harta-harta yang dimiliki kepada waris-waris atau bakal penerima harta yang lain sekiranya pemilik harta meninggal dunia. Perancangan ini perlu dilakukan semasa pemilik harta masih hidup.

Menurut penulis, pembahagian harta perlu mempertimbangkan unsur-unsur atau jenis harta yang perlu dibahagikan, kepada siapa harta itu diberikan dan penentuan pembahagian yang berteraskan undang-undang pembahagian sedia ada. Selain itu, perancangan pembahagian juga perlu menitikberatkan nilai-nilai keadilan yang boleh mengetepikan pertelingkahan dan persengketaan antara bakal penerima harta terutama sekali kepada waris-waris penerima.

Terdapat pelbagai kebaikan sekiranya dapat merancang membahagi harta pusaka awal kerana waris atau penerima harta dapat menerima dengan hati terbuka dan sekaligus boleh mengelakkan pergaduhan sesama waris.

Menurut buku bertajuk Bagaimana Mengurus Harta Pusaka ini, implikasi buruk jika tiada perancangan pembahagian harta pusaka adalah waris menjadi buntu dan tertanya-tanya bagaimana prosedur pengurusan harta.  Situasi ini boleh mengakibatkan pihak yang lebih memahami prosedur serta pentadbiran dan undang-undang cuba mengeksploitasi keadaan tersebut. Selain itu, akan wujud prasangka dan persengketaan antara waris yang menyebabkan proses pembahagian harta menjadi lambat dan tertangguh. Maka akhirnya, harta tersebut dipulangkan kepada Tabung Wang Tidak Dituntut.

Secara amnya, buku ini banyak menerangkan pelbagai kaedah dan juga persoalan dalam memahami panduan kepentingan pengurusan harta pusaka dalam kehidupan masa kini. Ini disebabkan kesedaran merancang harta pusaka dikalangan rakyat Malaysia masih lagi kurang. Sehubungan itu, dengan adanya buku ini sedikit sebanyak dapat membantu anda memahami akan kepentingan membuat pembahagian harta dengan cara yang lebih baik dan teratur.

Untuk mengetahui lebih lanjut lagi buku ini, sila dapatkan buku tersebut di Perpustakaan Negeri Sabah yang berdekatan dengan anda atau lawati laman sesawang www.library.sabah.gov.my atau hubungi 088-231623, 214828 atau 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut.

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Kalau kamu hanya membaca buku yang dibaca semua orang, kamu hanya boleh berfikir sama seperti semua orang." (Haruki Murakami).

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.