Select your language

55 Petua Orang Berjaya

Penulis: Dato Dr. Fadzilah Kamsah dan Fazli Yusof

Penerbit: Kuala Lumpur: PTS Millennia, 2006.  190 Muka Surat.

 

 

Ulasan oleh Ag Salim Ag Ahmad, Ibu Pejabat Perpustakaan Negeri Sabah.

Buku yang bertajuk '55 Petua Orang Berjaya' ini adalah himpunan 55 idea atau petua untuk berjaya. Penulis telah memberikan idea bagaimana untuk mencapai kecemerlangan dalam kehidupan. Menurut penulis, tiada jalan singkat untuk mencapai kecemerlangan dalam kehidupan, tetapi bermula daripada keinginan, angan-angan, cita-cita serta usaha untuk merealisasikan matlamat dalam hidup.

Petua-petua dalam buku ini pastinya akan membantu individu-individu yang ingin berjaya sekali gus meningkatkan motivasi diri dalam usaha untuk mengecapi kejayaan dalam kehidupan. Penulis bukan sahaja memberi semangat baharu kepada pembaca, tetapi juga memberi idea-idea dalam pengurusan hidup seperti pengurusan masa, semangat untuk bekerja, bekerja dalam pasukan, berkomunikasi serta cara meningkatkan daya tumpuan dalam menjalankan tugas harian.

Apa yang menarik dalam buku ini, penulis menggunakan mereka yang telah berjaya dalam hidup untuk dijadikan contoh dan teladan kerana mereka bermula daripada keinginan yang tinggi sehingga mencapai kejayaan dan menjadi bintang yang bersinar. Benar tiada jalan singkat dan ilham genius itu hanya menyumbangkan 1% kepada kejayaan manakala 99% lagi adalah usaha yang gigih. Mereka yang berjaya sebenarnya pernah menerima banyak halangan dan sentiasa mencuba tanpa rasa putus asa dalam usaha untuk mencapai apa yang diimpikan.

Menurut penulis, untuk mencapai kejayaan dalam hidup, pengurusan masa adalah sangat penting. Penulis menekankan bahawa penguasaan masa yang efektif mampu memberikan impak yang positif kepada seseorang individu. Kita perlu menguasai masa bukannya dikuasai oleh masa. Masa berjalan tanpa rehat dan mereka yang bijak akan menggunakan masa sebagai peluang untuk mencapai kejayaan dalam hidup.

Dengan membaca buku ini, pembaca dapat meningkatkan motivasi intrinsik kerana banyak kata-kata motivasi yang dikongsi oleh penulis. Seseorang individu tidak sepatutnya bersikap negatif dan bersangka buruk, malas berfikir, malas berusaha serta mudah berputus asa kerana faktor-faktor inilah yang menyebabkan kegagalan seseorang dalam kehidupan. Selepas membaca buku ini, perspektif pembaca akan berbeza dan melihat tiada kegagalan dalam kehidupan tetapi menganggap dirinya masih belum berjaya dan masih memerlukan usaha yang gigih untuk mencapainya dalam usaha mencipta masa depan.

Buku ini ditulis dengan bahasa yang menarik, santai namun padat. Untuk  mengetahui lebih lanjut lagi tentang buku dan isi kandungannya,  sila lawati laman sesawang Perpustakaan Negeri Sabah di www.ssl.sabah.gov.my atau hubungi 088-231623/214828/256192 untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut.

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Kalau kamu hanya membaca buku yang dibaca semua orang, kamu hanya boleh berfikir sama seperti semua orang." (Haruki Murakami).

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.