Select your language

TANAMAN TERUNG, BENDI & KANTAN

Penulis
WENDY WEE

Terbitan
PETALING JAYA, SELANGOR: PENERBIT CITRAWARNA SDN. BHD., 2015. 44 MUKA SURAT.

Ulasan oleh Zakky Afandi Bin Rasimin, Perpustakaan Negeri Sabah, Cawangan Ranau

Buku ini menerangkan kaedah penanaman terung, bendi, kantan, daun saderi, ubi kayu dan ubi keledek yang terdapat di seluruh dunia untuk tatapan dan rujukan umum kepada masyarakat yang berminat untuk menjalankan penanaman tanaman ini.

Terung merupakan sejenis sayur yang terdapat di negara tropika terutamanya di Asia. Bagi mendapatkan hasil terung yang baik, pokok terung haruslah terdedah kepada persekitaran yang panas di sepanjang masa. Kaedah penanaman terung adalah lebih kurang sama seperti tomato yang boleh ditanam di dalam bekas kecil sama ada sebagai sumber sayur untuk di makan ataupun sebagai hiasan. Perbezaan antara terung dan tomato, terung boleh di tanam dalam jumlah yang banyak untuk setiap kawasan yang disediakan manakala tomato perlu diasingkan pada suatu kawasan yang kecil. Penulis menerangkan terdapat beberapa jenis terung yang popular di tanam di Asia dan pengusaha tanaman terung harus waspada dengan serangan serangga perosak.

Bagi tanaman sayur bendi pula, menurut penulis kacang bendi atau sayur bendi adalah sejenis sayur yang popular di Malaysia. Kacang bendi seringkali digunakan dalam penyediaan masakan kari, ulam dan digoreng. Terdapat pelbagai jenis makanan yang menggunakan kacang bendi sebagai kandungan masakan masyarakat pelbagai lapisan. Selain digunakan dalam masakan, biji, akar dan bunga kacang bendi juga boleh digunakan didalam perubatan kerana mengandungi khasiat bagi rawatan sebagai pelawas, mengurangkan bengkak, radang, masalah susah bersalin, rawatan bisul dan kudis, sebagai ubat batuk, rawatan sakit kerongkong dan lender kacang bendi boleh digunakan sebagai ubat untuk menyejukkan dan melembutkan kulit. Antara lokasi penanaman yang sesuai untuk sayur bendi ini boleh di tanam di kawasan yang mempunyai tanah gembur berpasir, tanah liat, tanah gambut dan juga kawasan yang berdekatan dengan lembah sungai yang mempunyai sistem pengairan yang baik. Di dalam buku ini juga, penulis juga menerangkan kaedah penjagaan tanaman sayur bendi selepas penanaman supaya mendapatkan hasil yang berkualiti dan segar.

Pokok kantan atau nama saintifiknya Phaecomeria sepciosa yang biasanya digunakan sebagai ulam untuk menambah perasa dan pembuka selera. Asal usul pokok kantan dikatakan merupakan tumbuhan liar yang tumbuh di seluruh Malaysia. Tujuan pokok kantan ditanam adalah bertujuan untuk mendapatkan bunga yang biasanya digunakan sebagai perasa masakan yang dikatakan mempunyai khasiat seperti Vitamin A, B, C dan galian. Kajian pemakanan bunga kantan menunjukkan setiap 100g bunga kantan mengandungi kandungan air sebanyak 89.2%, protein 1.6%, lemak 1.3%, karbohidrat 5.5%, serat 1.4%, kalsium 0.54%, fosforus, ferum, sodium, kalium dan sebagainya.

Pokok kantan sejenis tumbuhan herba yang senang tumbuh dan membiak dalam satu rumpun. Selain menjadi bahan masakan untuk penyedap wangi, bau dan rasa, bahagian bunga kantan yang lain seperti batang boleh digunakan untuk merawat penyakit yang tengah bengkak dan buah kantan boleh merawat penyakit kurang selera makan. Ubi dan rizom bunga kantan boleh digunakan untuk menambah aroma dalam masakan.

Daun saderi atau lebih dikenali sebagai daun sup merupakan sejenis sayur yang kaya dengan khasiat seperti zat besi, fosforus, natrium, kalium, karotena, vitamin A, B, C dan magnesium. Nama saintifik bagi sayur yang berbatang lembut ini ialah Apium graveolens berasal dari keluarga tumbuhan Dulce umbelliferae. Daun saderi atau daun sup digunakan dalam masakan bersup bagi menambah aroma dalam masakan sup tersebut. Selain itu, daun saderi mempunyai khasiat perubatan dan telah digunakan dalam mengawal tekanan darah tinggi. Dalam penyediaan daun saderi untuk penyakit darah tinggi, daun saderi dihancurkan bersama dengan air dan gula atau asam untuk mengurangkan rasa mentah daun saderi tersebut. Air minuman daun saderi boleh diminum tiga kali sehari bagi tujuan menurunkan tekanan darah tinggi. Selain itu, ia juga boleh digunakan sebagai ubat untuk jangkitan penyakit yang disebabkan bakteria. Garam galian yang ada di daun saderi akan membantu untuk menghentikan pembiakan kuman. Daun saderi sejenis sayur yang mempunyai akar, akar daun saderi atau biji benih saderi boleh digunakan penanaman daun saderi yang berada di kawasan lembap dan redup. Akar saderi tidak digalakkan untuk direndam dalam air kerana air yang banyak akan menyebabkan akarnya mereput.

Ubi kayu atau Manihot esculenta sejenis tumbuhan tanaman jangka pendek dan terdapat lima jenis varieti yang ditanam di seluruh Negara. Antaranya, ubi kayu Medan, ubi kayu Black Twig, c5, Perintis dan Klon MM 92 merupakan ubi kayu yang ditanam secara komersil dengan rasanya yang agak pahit. Ubi kayu tersebut akan diproses dan dijadikan bahan mentah bagi pelbagai jenis perusahaan. Selain jenis ubi kayu yang disebut, terdapat juga pelbagai jenis ubi kayu yang ditanam di seluruh Negara seperti ubi kayu Batang Hijau, ubi kayu Putih, ubi kayu Kelabu, ubi kayu Berat, ubi kayu Betawi, ubi kayu Jurai, ubi kayu Pulut dan ubi kayu Batang Putih. Terdapat beberapa jenis ubi kayu ini yang mempunyai rasa yang manis.

Penanaman ubi kayu sangat mudah hanya menggunakan keratan batang pokok ubi kayu yang telah dituai dan tanah yang sesuai untuk penanaman ubi kayu ini adalah tanah lom berpasir. Walau bagaimanapun, petani yang mengusahakan tanaman ubi kayu ini harus bersedia menghadapi serangan penyakit seperti bintik daun, hawar daun bakteria dan penyakit akar putih. Terdapat beberapa petua dalam perusahaan tanaman ubi kayu yang dapat menjimatkan perbelanjaan operasi tanaman ubi kayu dan menambahkan pendapatan para petani dengan pemilihan benih ubi kayu yang baik dan jenis saiz yang besar.

Ubi keledek berasal dari Amerika Tengah dan Amerika Latin. Ubi keledek dikenali sebagai ubi stella dan ubi jalur adalah kaya dengan khasiat dan karbohidrat dan karotena yang baik untuk kesihatan. Selain itu, ubi keledek juga mempunyai pelbagai jenis khasiat yang lain seperti protein, lemak, serabut, kalsium, fosforus dan sebagainya. Ubi keledek dapat disediakan dalam pelbagai jenis hidangan seperti direbus, dibakar dan digoreng. Selain itu, terdapat juga pengusaha yang mengetinkan ubi keledek dalam sirap supaya tahan lebih lama. Bukan sahaja buah ubi keledek yang boleh dimakan, pucuk ubi keledek juga boleh dimakan sebagai ulam. Di dalam buku ini, penulis juga menerangkan penanaman ubi keledek boleh ditanam mengikut kawasan tanah, suhu dan pencahayaan matahari serta cara-cara penjagaan ubi keledek sebelum boleh dituai hasilnya.

Buku ini memberi banyak manfaat dan sesuai dibaca oleh semua lapisan masyarakat terutama sekali yang berminat untuk mengusahakan kebun atau ladang. Buku ini ada di dalam koleksi Perpustakaan Cawangan Ranau dan sila hubungi kakitangan yang bertugas untuk tempahan pinjaman. Walau bagaimanapun, buku ini akan mengambil masa untuk dihantar di luar kawasan Perpustakaan Cawangan Ranau atau Kota kinabalu. Sila berkunjung ke Perpustakaan Negeri Sabah yang terdekat atau melayari laman sesawang www.ssl.sabah.gov.my atau hubungi talian 088-231623, 214828, 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku ini.

 

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Kalau kamu hanya membaca buku yang dibaca semua orang, kamu hanya boleh berfikir sama seperti semua orang." (Haruki Murakami).

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.