Select your language

SMASH: Kuasa Minda Usahawan

Penulis
Mejar Mohammad Qayyum Bin A. Badaruddin

Terbitan
Nilai,  Negeri Sembilan: Casamas Resources Sdn. Bhd., 2017. 257 Muka Surat.

Ulasan oleh Leung Mei Yee, Perpustakaan Cawangan Sandakan

Ramai orang berimpian atau berangan-angan untuk menjadi orang kaya tetapi tidak tahu bagaimana boleh menjadi kaya.... Berniaga adalah jawapannya.  Boleh dikatakan bahawa majoriti orang-orang yang kaya adalah daripada golongan usahawan. Sebenarnya, setiap orang adalah berpotensi untuk menjadi usahawan. Namun, risiko yang perlu dihadapi semasa berniaga, faktor kewangan, pengalaman dan pengetahuan dalam bidang keusahawanan telah menyekat ramai orang untuk membina perniagaan. Sememangnya untuk berjaya dalam perniagaan, banyak dipengaruhi oleh pelbagai faktor.  Namun juga, ia akan menjadi mudah jika usahawan itu mempunyai kuasa minda yang kuat.

Memang ada sebilangan besar usahawan gagal dalam perniagaan tetapi pada masa yang sama juga ramai yang telah berjaya. Oleh itu, adalah penting untuk seseorang mengetahui lebih mendalam sebelum menceburi bidang keusahawanan. Buku berjudul ''Smash:  kuasa minda usahawan'' ini adalah sebuah buku yang boleh membantu anda mengetahui lebih banyak mengenai keusahawanan termasuk mindset dan ciri-ciri usahawan, risiko jenis perniagaan, cabaran-cabaran serta faktor-faktor kegagalan perniagaan, cara menyelesaikan masalah kewangan yang sering dihadapi oleh usahawan dan juga tips untuk berjaya dalam perniagaan.

Menurut penulis, apa yang membezakan antara individu terhadap keusahawanan adalah motivasi diri.  Cara pemikiran, teknik dan strategi perniagaan adalah elemen yang amat penting untuk menjadi usahawan yang berjaya.  Usahawan perlu mempunyai minda yang cekap melihat peluang, berani mengambil risiko serta sentiasa peka dan kreatif terhadap pasaran di hadapan mereka. Untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya bukanlah suatu perkara yang mudah, kerana ia memerlukan usaha yang kuat dan juga mindset yang betul. Dalam usaha memajukan pernigaan, sikap yang baik, tekun dan gigih merupakan asas kepada rahsia kejayaan usahawan. Sikap dan mindset yang betul menentukan tahap kejayaan usahawan kerana hanya mereka yang mempunyai daya usaha berlipat ganda dan memiliki mindset yang kuat sahaja yang akan melepasi halangan dan cabaran.

Semua usahawan tidak akan lari daripada persaingan dalam dunia perniagaan. Oleh itu, kenali pesaing sebenar dalam perniagaan adalah penting. Selain dari berkongsi strategi bersaing dan teknik-teknik bersaing dengan pesaing gergasi, penulis juga memberitahu pembaca apa yang boleh seorang usahawan belajar daripada pesaing mereka untuk menjadikan mereka lebih berdaya saing dalam persekitaran perniagaan yang mencabar.

Tahukah anda bagaimana minda orang kaya berfikir? Adakah gaya fikiran jutawan dan usahawan yang berjaya berbeza berbanding dengan orang biasa?  Penulis turut berkongsi “17 Mindset seorang jutawan” dan “25 ciri usahawan berjaya” yang menerangkan gaya fikiran jutawan dan usahawan berjaya yang boleh dijadikan contoh dan rujukan dalam usaha mengubah cara berfikir dan membina minda keusahawanan yang lebih hebat dan positif.

Buku ini turut menyenaraikan 10 faktor mengapa perniagaan gagal dan punca-punca utama ramai orang gagal dalam perniagaan. Selain belajar daripada usahawan yang berjaya, adalah baik juga bagi sesiapa yang ingin menceburi bidang keusahawanan untuk belajar daripada usahawan yang gagal kerana dengan mengetahui pengalaman usahawan yang gagal, maka kita akan dapat mengelakkan diri daripada mengulangi kesilapan dan  kerugian yang telah dialami oleh mereka. Ini akan menjimat masa dan tenaga kita dalam perjalanan ke dunia keusahawaan yang berjaya.

Buku ini juga telah berkongsi 21 rahsia gaya dan pemikiran jutawan yang telah membuatkan para jutawan terus mengekalkan kejayaan dan menambahkan lagi kekayaan yang sedia ada. Antaranya ialah teknik F.O.C.U.S  yang digunakan oleh Robert Kiyosaki; seorang pakar dalam bidang kewangan dan pelaburan. Teknik FOCUS ialah teknik  ''Follow One Course Until Success'' yang membawa maksud 'Mengikut Satu Jalan Sehingga Berjaya'. Teknik ini mengamalkan proses yang berpegang kepada satu matlamat dan menyalurkan kesemua tenaga, tumpuan dan usaha sehingga ia berjaya. Setelah mencapai kejayaan, barulah beralih ke matlamat yang lain.

Buku ini amat bermanfaat dan sesuai dibaca oleh semua lapisan masyarakat untuk menimba ilmu usahawan khasnya mereka yang berminat menjadi seorang usahawan. Cara penulisan buku ini mudah difahami, isi kandungan ringkas tetapi padat dan disertakan dengan banyak tip bagaimana untuk berjaya dalam perniagaan.

Untuk mengetahui lebih lanjut lagi tentang buku ini, sila dapatkan buku tersebut di Perpustakaan Negeri Sabah yang terdekat dengan melayari laman sesawang www.library.sabah.gov.my atau hubungi 088-231623, 214828 atau 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut.

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Tidak ada teman yang setia seperti bersama sebuah buku."

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.