Select your language

Rumpai Laut Malaysia

Penulis
Ahmad Ismail

Terbitan
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2016.   277 Muka Surat.

Ulasan oleh Siti Alimah Binti Awang Saleh, Seksyen Perkhidmatan Pembaca, PNSC Sandakan

Dunia tumbuhan samudera terutamanya rumpai laut adalah satu bentuk hidupan yang penuh dengan keunikan dan keanehan. Kehadirannya kurang dirasai memandangkan flora ini mendiami dasar-dasar lautan atau hidup terlindung di celah batu-batu di dasar laut. Sekali imbas, tumbuhan ini tidak mempunyai sebarang fungsi. Malah kehadirannya menimbulkan masalah kepada manusia.

Flora lautan ini akan dihanyutkan ombak dan berkumpul di pantai. Kehadirannya yang banyak di gigi air memburukkan pemandangan. Tumbuhan ini kemudiannya mereput dan meninggalkan kesan busuk dipersekitaran. Kehadirannya yang banyak di tepi pantai menjadikan kawasan tersebut tidak sesuai untuk dijadikan kawasan rekreasi. Kegiatan penangkapan ikan dan pelayaran juga turut terjejas akibat daripada kelimpahannya yang tidak terkawal. Kegiatan menternak ikan dalam sangkar juga turut terganggu dengan kehadiran rumpai ini di sangkar.

Dilihat daripada masalah yang ditimbulkannya, maka tumbuhan ini sangat menepati pengertian rumpai yang diketahui umum. Pengertian rumpai secara negatif timbul apabila sesuatu tumbuhan itu wujud dengan banyak dan seterusnya menjejaskan kesejahteraan manusia sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Jika diteliti secara lebih mendalam, rumpai ini bukan sahaja mempunyai peranan penting dalam ekologi malah perlu untuk kemandirian sesuatu ekosistem sama seperti tumbuhan yang ada di daratan. Bersama-sama komuniti fitoplankton, rumpai laut merupakan penghasil primer di ekosistem samudera. Rumpai laut membentuk hutan belantara di dasar laut. Melalui proses fotosintesis, tumbuhan ini membentuk asas kepada jaringan makanan. Hidupan laut sangat bergantung pada bahan organik yang dihasilkan oleh tumbuhan ini. Oksigen yang dihasilkan bukan sahaja digunakan oleh organisma samudera itu sendiri, malah juga oleh organisma yang hidup jauh di daratan.    

Menurut penulis, tidak banyak maklumat dan bahan rujukan tentang rumpai laut yang telah diterbitkan. Memandangkan begitu sukar untuk memperoleh bahan rujukan yang sesuai, masyarakat umum sering kali menghadapi masalah untuk mengenal pasti spesimen rumpai laut yang ditemui. Buku ini memuatkan ilustrasi rumpai laut yang biasa dan mudah ditemui di perairan Malaysia untuk pengecaman. Setiap ilustrasi disertakan huraian dan gambar untuk memudahkan perbandingan.

Buku bertajuk ‘Rumpai Laut Malaysia’ ini sangat menarik kerana membincangkan biologi rumpai laut secara umum.  Sebenarnya, tumbuhan tak vaskular ini mempunyai nilai dagangan kepada manusia terutama dalam penghasilan fikoloid. Fikoloid ialah bahan kimia seperti kanji yang dihasilkan oleh rumpai laut dan bahan ini sangat berharga disebabkan kemampuannya membentuk ampaian lekit atau gel walaupun pada kepekatannya rendah. Masyarakat daripada pelbagai kebudayaan sejak berkurun-kurun telah menyedari bahawa beberapa jenis rumpai laut terutamanya alga perang dan alga merah boleh dimakan. Ada juga beberapa jenis spesies yang boleh digunakan sebagai makanan haiwan dan juga baja. Marikultur rumpai laut merupakan satu perniagaan menguntungkan terutama di China, Jepun, Korea dan beberapa negara lain.

Dengan buku ini, bukan sahaja para pembaca dapat mengetahui tentang kepentingan flora ini dari segi ekologi dan ekonomi, malah turut menyediakan rekod tetap flora rumpai laut di Malaysia agar dapat dimanfaatkan oleh pelajar fikologi dan ahli penyelidik, juga masyarakat umum yang berminat untuk mengecam dan mengenali tumbuhan tak vaskular ini yang mendiami ekosistem lautan kita. Buku ini sesuai dibaca oleh pelajar dan juga pelbagai lapisan masyarakat kerana penulisan yang ringkas dan padat serta menggunakan bahasa yang mudah difahami.

Untuk mengetahui lebih lanjut lagi tentang buku ini, sila berkunjung ke Perpustakaan Negeri Sabah yang terdekat dengan melayari laman sesawang www.library.sabah.gov.my atau hubungi 088-231623, 214828, 218726 atau 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut.

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Membaca adalah alat paling dasar untuk meraih hidup yang baik." - Joseph Addison

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.