Select your language

Perusahaan Ternakan Puyuh

Penulis
Redaksi AgroMedia

Terbitan
Kuala Lumpur: Synergy Media, 67 muka surat.

Ulasan oleh Nor Janna Hasnani binti Joseph, Pelatih Industri, Ibu pejabat Perpustakaan Negeri Sabah

Buku Perusahaan Ternakan Puyuh ini merupakan hasil karya Redaksi AgroMedia. Penerbitan buku ini sedikit sebanyak akan memberikan tentang ilmu pengetahuan dalam cara-cara dan juga teknik dalam ternakan burung puyuh. Seperti umum mengetahui, puyuh merupakan unggas liar yang memberikan manfaat kepada sawah, hutan dan kebun sebagai habitatnya kerana burung ini jarang terbang. Tetapi tidak ramai masyarakat yang tahu betapa mudahnya menternak burung puyuh ini. Justeru, buku ini akan merungkaikan dan memberi gambaran kepada masyarakat yang mempunyai minat dalam penternakan puyuh.

Terdapat sepuluh bab utama dalam buku ini selain daripada prakata. Boleh dikatakan setiap bab akan menerangkan perkara-perkara yang penting dalam perusahaan burung puyuh. Perbincangan serta penulisan daripada penulis juga sangat ringkas tetapi padat dan penggunaan ayat-ayat juga mudah difahami oleh para pembaca. Secara umumnya, penghasilan buku ini sangat menarik untuk mereka yang mempunyai jiwa ataupun minat dalam perusahaan kecil-kecilan tetapi boleh mendatangkan hasil yang agak lumayan. Oleh itu, buku ini sangat sesuai dibaca oleh semua lapisan masyarakat khususnya orang awam.

Dalam bab pertama buku ini bertajuk Potensi Burung Puyuh yang akan menerangkan dua perkara utama iaitu puyuh sebagai sumber gizi dan puyuh sebagai sumber pengeluaran. Umum mengetahui penggunaan telur puyuh dalam jamu dan makanan telah memberi tanggapan kepada orang ramai bahawa telur dan daging puyuh mempunyai khasiat dan gizi makanan yang baik. Di samping kadar lemak yang rendah dibandingkan unggas lain. Tambahan pula, sistem pemeliharaan puyuh adalah mudah dan sederhana dan mempunyai banyak kebaikan untuk diternak. Oleh itu, penternakan puyuh sangat disarankan untuk menambahkan sedikit sebanyak pendapatan.

Bab kedua bertajuk Puyuh, Unggas Kecil yang Menghasilkan Banyak Telur di mana akan merangkumi penyebaran dan klasifikasi puyuh. Dalam bab ini akan membahaskan tentang kelas dan susunan taksonomi burung puyuh yang dikelompokkan serta jenis-jenis burung puyuh. Tambahan pula, bab ini juga akan menjelaskan tentang kemampuan puyuh dalam memproduksi telur dalam setahun. Selain itu, bab ketiga bertajuk Membina Bangsal/Reban Puyuh yang akan merangkumi ciri-ciri bangsal/reban puyuh, penggunaan alas bangsal/reban (litter) serta jenis dan ukuran. Oleh itu, dalam bab ini akan menjelaskan dengan lebih terperinci tentang pembinaan tempat tinggal burung puyuh.

Seterusnya, bab keempat pula bertajuk Menyediakan Anak Puyuh yang akan membahaskan tentang keperluan anak puyuh dan ciri-ciri anak puyuh. Anak puyuh untuk ternakan boleh diperolehi dengan cara menetaskan sendiri, membeli anak puyuh yang baru menetas atau membeli puyuh yang sudah sedia untuk bertelur. Bab ini juga akan membincangkan tentang ciri-ciri anak puyuh yang baik, contohnya bulu badan anak puyuh berwarna cerah, tidak kusam dan tidak ada tanda-tanda keguguran. Selain itu, bab lima bertajuk Makanan Puyuh yang akan membahaskan tentang bahan makanan dan cara memberi makanan. Agar dapat memproduksi dengan baik, beberapa zat makanan yang puyuh perlukan ialah hidrat arang, lemak, protein, mineral, pelbagai vitamin dan air. Akhir sekali, cara pemberian makanan kepada puyuh adalah dengan menempatkan makanan di bekas khas untuk puyuh.

Di samping itu, pada bab enam buku ini bertajuk Penjagaan Puyuh Secara Rutin iaitu akan membahaskan tentang pemeliharaan pada tempoh pembesaran dan tempoh produksi. Hal ini kerana telur puyuh dieram selama 17-18 hari untuk menetas dan puyuh betina memerlukan tempoh minimum 40 hari (sekitar 6 minggu) dari saat ia ditetaskan hingga sedia bertelur semula. Manakala dalam pemeliharaan pada tempoh produksi, kepadatan yang sesuai dalam sesebuah ruang reban dengan ukuran 0.80 x 1.00 m dengan ketinggian 1.5 m adalah 50 ekor puyuh dewasa. Justeru, bab ini memberi gambaran kepada pembaca tentang cara pemeliharaan dalam tempoh pembesaran dan tempoh produksi.

Lebih-lebih lagi, bab tujuh bertajuk Mengatasi Penyakit di mana seperti haiwan ternakan ataupun unggas yang lain, burung puyuh juga tidak akan terlepas daripada terkena jangkitan penyakit. Dalam bab ini, penulis akan menerangkan cara-cara untuk mengatasi beberapa penyakit burung puyuh. Antara contoh penyakit burung puyuh ialah tekanan, New Castle Desease, Coccidiosis, radang usus, berak kapur atau berak putih, cacar unggas, bronkitis dan cacing. Untuk megatasi penyakit cacing, puyuh akan diberi ubat cacing ketika dipindahkan dari kotak ke reban. Tambahan pula, bab lapan bertajuk Penetasan Telur Puyuh yang akan menceritakan tentang ciri-ciri telur untuk ditetas, penetasan telur puyuh dan pemilihan telur puyuh berdasarkan jantina. Tuntasnya, dalam kedua-dua bab ini akan menerangkan dengan lebih terperinci cara mengatasi penyakit puyuh dan proses penetasan telur puyuh.

Tambahan pula, bab sembilan bertajuk Penuaian Hasil Produksi di mana produk utama dari penternakan puyuh adalah telur, daging dan anak puyuh. Hal ini boleh dikatakan dalam satu ternakan, anak puyuh, daging puyuh yang sudah di potong, puyuh “pencen” untuk pendaging dan telur puyuh. Di samping itu, najis puyuh juga boleh dijadikan baja. Akhir sekali, bab kesepuluh bertajuk Analisis Kos Ternakan Puyuh yang akan membahaskan tujuh perkara dalam bab ini. Dalam bab ini akan membincangkan tentang anggaran kos, model sarana dan kos operasi (pelbagai), kos tetap, jumlah kos produksi, hasil produksi, keuntungan dan analisis R/C dan BEP. Oleh itu, anggaran kos sehingga keuntungan dalam ternakan puyuh akan dibincangkan dalam bab ini.

Buku ini pada hakikatnya memberikan sumbangan yang besar kepada para pengusaha ataupun orang awam yang mempunyai minat dalam penternakan burung puyuh. Hal ini dilihat jelas dengan terhasilnya sebuah buku tentang perusahaan ternakan puyuh ini. Penulis telah merungkaikan dan menjelaskan pelbagai sebab, factor dan kebaikan dalam ternakan puyuh. Justeru, penulisan ini sangat bermanfaat kepada semua orang awam dan generasi masa hadapan agar pengusahaan ternakan puyuh ini tetap dijalankan.

Untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan buku serta isi kandungannya, sila lewati laman sesawang Perpustakaan Negeri Sabah di www.library.sabah.gov.my atau hubungi 088-231623, 214828 atau 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut.

Bagaimanapun, buku-buku ini mungkin mengambil masa untuk dihantar ke perpustakaan di luar Kota Kinabalu, sila berhubung dengan perpustakaan terdekat untuk tempahan pinjaman.

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Buku adalah teman yang berharga. Namun, sulit untuk menjelaskan hal itu kepada yang tak suka membaca."

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.