Select your language

Pembiakan Dan Penternakan Siakap

Penulis
Nik Daud Nik Sin

Terbitan
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2012.  95Muka Surat.

Ulasan oleh Maslianah Binti Musa, PD Kg Lubok Weston

Siakap ialah ikan yang menjadi makanan popular dan mempunyai nilai komersial yang tinggi di kawasan tropika dan sub-tropika Asia dan Pasifik.  Ikan ini diternak atau dikultur secara komersial di Malaysia, Thailand, Singapura, Indonesia, Hong Kong dan Taiwan, sama ada di dalam kolam atau sangkar di perairan air payau, air masin dan air tawar. Permintaan terhadap benih-benih ikan siakap semakin meningkat dari tahun ke tahun dengan perkembangan pesat sektor akuakultur dan harga pasarannya yang tinggi serta lebih stabil.

Kejayaan awal pembiakan ikan siakap bermula di Thailand pada tahun 1970. Ahli sains akuakultur Thailand telah mencapai kejayaan dalam pembiakan tersebut daripada induk-induk iaitu ikan jantan dan betina yang matang dan telah bersedia untuk mengawan serta menghasilkan telur yang dipelihara di dalam tangki.

Kitaran hidup yang lengkap bermula daripada telur-telur yang telah bersenyawa hingga ke peringkat larva dan benih ikan yang telah diperoleh dengan sempurna.  Bermula dari kejayaan itu, ahli sains telah berjaya mengeluarkan benih siakap lebih daripada satu juta setahun.  Sehubungan dengan itu, ramai pengusaha pusat pembiakan ikan tersebut wujud di sekitar Bangkok dan seterusnya merebak hingga ke selatan Thailand.

Di Malaysia pula, ternakan siakap ini bermula sekitar pertengahan tahun 1970 dengan menggunakan benih-benih liar yang ditangkap di muara-muara sungai dan juga yang diimport dari Thailand untuk dipelihara di dalam sangkar-sangkar terapung.  Penternakan ikan siakap bermula di sekitar Pulau Pinang dan berkembang ke beberapa negeri lain di semananjung Malaysia seperti Terengganu, Perak, Johor dan Kelantan.  Perkembangan aktiviti ternakan ini telah menyebabkan permintaan dan keperluan benih ikan siakap menjadi semakin meningkat dari tahun ke tahun.  Justeru itu, usaha penyelidikan bagi pembiakan dan pengeluaran benih siakap telah dipergiatkan pada awal tahun 80-an.

Buku ini mempunyai tujuh bab utama, Bab pertama merupakan pengenalan dan sejarah penternakan ikan siakap di Malaysia. Manakala, dalam bab kedua pula mengupas tentang kegiatan pembenihan siakap dengan terperinci seperti pemilihan,  pengelolaan induk,  pemakanan, peneluran, pembungkusan dan pengangkutan telur.

Maklumat tentang cara-cara penternakan siakap dalam tangki, sangkar dan juga kolam telah disentuh dalam bab 4, 5, dan 6.  Turut dibincangkan dalam bab ini adalah cara penyediaan tangki, pemilihan tapak sangkar dan kolam yang sesuai untuk pelepasan benih ikan siakap. Kaedah tentang pengredan siakap, pengawalan penyakit dan rawatan serta pungutan dan pengendalian siakap juga turut di sentuh oleh penulis.

Buku bertajuk 'Pembiakan Dan Penternakan Siakap' ini dihasilkan untuk menyediakan maklumat asas teknikal yang boleh dijadikan panduan kepada pengusaha untuk menceburi bidang akuakultur ikan siakap dan juga sebagai rujukan penuntut-penuntut institusi pengajian tinggi dalam bidang berkaitan. Buku ini ditulis dengan menggunakan bahasa yangt mudah difahami tetapi padat dengan informasi  agar pembaca dapat  mempelajari selok belok tentang pembiakan dan penternakan  ikan siakap ini secara lebih terperinci.

Untuk mengetahui lebih lanjut lagi tentang buku ini, sila dapatkan buku tersebut di Perpustakaan Negeri Sabah yang terdekat dengan melayari laman sesawang www.library.sabah.gov.my atau hubungi 088-231623, 214828 atau 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut.

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Kalau kamu hanya membaca buku yang dibaca semua orang, kamu hanya boleh berfikir sama seperti semua orang." (Haruki Murakami).

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.