Select your language

PEMBENIHAN UDANG GALAH

Penulis
IDRIS AHMAD

Terbitan
KUALA LUMPUR: DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA, 2014. 267 MUKA SURAT.

 Ulasan oleh Zakky Afandi Bin Rasimin, Perpustakaan Negeri Sabah, Cawangan Ranau

Udang galah atau nama saintifiknya Macrobrachium rosenbergii adalah sejenis hidupan air tawar yang menjadi sebahagian daripada sumber makanan kepada manusia. Namun begitu masih ramai dalam kalangan kita yang belum mengenali udang galah ini secara khusus, apatah lagi untuk mendalami dan menceburi industri akuakultur. Keadaan ini disebabkan oleh kekurangan sumber bacaan, buku panduan, dan juga terbitan daripada pihak yang berwibawa. Hal ini akan menyukarkan mereka yang ingin menceburi bidang ternakan ini secara langsung, terutamanya dalam bidang pembenihan udang galah.

Dalam buku ini, penulis menerangkan tentang pentingnya peranan pengusaha akuakultur di Malaysia sebagai salah satu bidang yang boleh menjana ekonomi untuk masyarakat Malaysia. Pembenihan udang galah merupakan penternakan yang baik dalam bidang akuakultur. Namun begitu, untuk mendapatkan benih udang galah yang baik dan banyak, penulis menegaskan pengusaha perlu membangun tempat penetasan udang galah secara intensif supaya menghasilkan benih udang galah yang dapat memenuhi permintaan yang mencukupi. Oleh sebab terdapat permintaan yang tinggi di pasaran, kerajaan Malaysia telah memberi tumpuan untuk meningkatkan industri udang galah di negara ini. Antaranya, kerajaan Malaysia menubuhkan Jabatan Perikanan  untuk melaksanakan tugas utama dalam pengembangan pembenihan udang galah ini. Walau bagaimanapun, masyarakat Malaysia yang berminat di dalam bidang ini digalakkan untuk menceburkan diri ke bidang penternakan dan pembenihan udang galah.

Penulis juga menerangkan tentang asas yang diperlukan dalam pembenihan udang galah, seperti pemilihan spesies udang galah, pemahaman tentang kitaran hidup udang galah dan ciri-ciri fizikal udang galah. Seterusnya, penerangan mengenai penyediaan tapak dan peralatan yang sesuai untuk memudahkan pengusaha udang galah. Antaranya adalah penyediaan tapak tempat penetasan udang galah seperti penyediaan tangki mengikut saiz yang telah ditetapkan dengan pelbagai kegunaan. Peralatan yang digunakan semasa menjalankan  pengurusan dan pemantauan setiap hari adalah termometer, bikar, penumpu, penapis air, piring sechi, refraktometer dan juga mikroskop.

Penggunaan bahan kimia di tempat penetasan  juga amat penting untuk menjaga kebersihan, mencegah penyakit dan rawatan. Selain itu, penggunaan bahan kimia juga bertujuan meningkatkan kuantiti hasil yang berkualiti. Namun, penggunaannya memerlukan prosuder tertentu sebagai langkah keselamatan diri dan juga kesihatan. Bahan kimia ini mempunyai bahan aktif yang menyebabkan berlakunya kecederaan dan kecacatan pada anggota badan manusia. Oleh itu, pengusaha memainkan peranan penting untuk memastikan pekerja di bawah arahannya mengikut garis panduan yang ditetapkan dan mengutamakan ciri-ciri keselamatan.

Benih udang galah di tempat penetasan memerlukan pelbagai jenis makanan. Kaedah pemakanan yang tepat, berkhasiat, kaya dengan nutrien, mudah diserap mempercepatkan proses tumbesaran dan  memudahkan proses pembenihan udang galah. Di dalam buku ini terdapat pelbagai jenis makanan untuk pembenihan udang galah  dan dijadikan sebagai panduan untuk memudahkan pengusaha mengembangkan lagi usaha mereka. Selain pemakanan udang galah, penulis juga menerangkan proses-proses yang dilaksanakan ketika proses menuai hasil udang galah ini. Semoga buku ini memberi manfaat kepada pengusaha pembenihan udang galah dan sebagai garis panduan kepada individu yang sedang berjinak-jinak kepada industri akuakultur ini.

Buku ini adalah koleksi Perpustakaan Negeri Sabah, Cawangan Ranau. Untuk mengetahui lebih lanjut dan berminat tentang buku ini boleh berhubung secara langsung dengan kakitangan yang bertugas untuk tempahan pinjaman. Walau bagaimanapun, buku ini akan mengambil masa untuk dihantar di luar kawasan Perpustakaan Cawangan Ranau atau Kota kinabalu. Sila berkunjung ke Perpustakaan Negeri Sabah yang terdekat atau melayari laman sesawang www.ssl.sabah.gov.my atau hubungi talian 088-231623, 214828, 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku ini.

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Buku adalah teman yang berharga. Namun, sulit untuk menjelaskan hal itu kepada yang tak suka membaca."

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.