Select your language

PEMBANGUNAN KOMUNITI KE ARAH KESEJAHTERAAN HIDUP

Penulis
NORIZAN ABDUL GHANI, SITI HAJAR RAUF DAN JABIL MAPJABIL

Terbitan
BATU PAHAT, JOHOR: UNIVERSITI TUN HUSSEIN ONN, 2021. 142 MUKA SURAT.

 Ulasan oleh Dr. Mahat Jamal, Persatuan Alumi Radio Sabah (RASA), Kota Kinabalu

Buku bertajuk Pembangunan Komuniti Ke arah Kesejahteraan Hidup yang disunting oleh Norizan Abdul Ghani, Siti Hajar Abdul Rauf dan Jabil Mapjabil ini mengutarakan isu-isu pembangunan dan kesejahteraan komuniti beberapa kes terpilih di Malaysia.

Buku ini mempunyai 8 bab, hasil perkongsian pengalaman dan kepakaran beberapa penyelidik dalam pelbagai displin masing-masing. Antara yang dibincangkan ialah proses pemasukan sosial terhadap komuniti terpinggir; sokongan dan fungsi keluarga dalam meningkatkan kesejahteraan hidup penagih opiat; status dan tahap kohesi sosial dalam kalangan komuniti bandar;  pola penggunaan mod pengangkutan komuniti warga asing di bandar dan aktiviti pembangunan ekonomi komuniti luar bandar melalui program Gerakan Desa Wawasan (GDW).

Bab pertama buku ini mengupas proses pemasukan kegiatan sosial dalam kehidupan komuniti terpinggir. Komuniti terpinggir, pada umumnya ialah masyarakat yang menerima program bantuan dan sokongan namun tidak sampai kepada mereka. Peminggiran sosial dilihat bukan saja disebabkan ekonomi semata-mata tetapi juga melibatkan pelbagai aspek sosial seperti kekurangan keperluan asas untuk hidup, halangan kemudahan awam dan penyertaan masyarakat dalam proses pembuatan keputusan berhubung kesejahteraan hidup mereka.

Pemasukan sosial pula ialah proses mengintegrasikan komuniti tersisih ke dalam arus perdana pembangunan negara. Ini memerlukan kesungguhan dan keikhlasan pihak berwajib dan agensi-agensi terlibat melihat komuniti berkenaan menikmati kemudahan-kemudahan asas dalam usaha mencapai kesejahteraan hidup untuk maju dan membangun bersama masyarakat lain.

Isu keterpinggiran komuniti pesisir pantai dan kesediaan mereka menerima pembangunan seterusnya terlibat dalam perniagaan pelancongan diutarakan dalam Bab 6, 7 dan 8 buku ini. Salah satu komuniti pesisir pantai yang ‘terpisah’ dari arus pembangunan ialah masyarakat nelayan di Pantai Senok, Kelantan. Mereka tidak mempunyai akses kepada kemudahan asas seperti bekalan air bersih, jalan raya yang sempurna dan sebagainya. Dalam satu kajian ke atas komuniti ini, hampir keseluruhan bersetuju pendidikan sangat penting dalam membangun individu dan komuniti. Sebanyak 77%  bersetuju bidang keusahawanan dapat memberikan peluang pekerjaan kepada ahli komuniti dan 89% mengakui aktiviti ekonomi dapat memberikan peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.

Satu lagi kajian dibuat terhadap masyarakat nelayan Pulau Pangkor Perak berhubung dengan penglibatan  mereka dalam perkembangan dan kejayaan sektor pelancongan di pulau berkenaan. Daripada 387 responden yang ditemubual, 44.2% terlibat dalam pembangunan pelancongan. Kebanyakan mereka menyokong ‘kebanjiran’ pelancong ke pulau tersebut. Keadaan ini telah memberi kesan positif terhadap kesejahteraan hidup mereka dengan bertambahnya kemudahan infrastruktur dibina di kawasan mereka. Ramai yang melibatkan diri dalam bidang pelancongan dan melihat bahawa perubahan cara hidup daripada sektor nelayan kepada sektor pelancongan adalah lebih menguntungkan.

Bagi masyarakat Daerah Marang dan Pulau Kapas Terengganu, penglibatan mereka dalam pembangunan dan perusahaan chalet dan resort mampu memberi impak positif terhadap kehidupan mereka. Antara faktor yang mendorong mereka terlibat dalam perusahaan ini ialah pengetahuan dan minat,  warisan perniagaan, dapat menjana pendapatan yang lumayan dan lokasi yang sesuai disebabkan kebanyakan tanah adalah milik pengusaha sendiri.

Satu lagi program yang boleh membawa perubahan kesejahteraan hidup komuniti luar bandar di samping menjana pembangunan di kawasan berkenaan ialah pelaksanaan Program Gerakan Desa Wawasan (GDW) di bawah Kementerian Luar Bandar (KPLB). Ini disentuh dalam Bab 5 dengan memaparkan kegiatan GDW Kampung Berundung Papar, Sabah yang berasaskan kuih lidah sebagai sumber ekonomi masyarakat tempatan.

Pembangunan komuniti juga boleh dilihat dari aspek pengangkutan. Bab 4 buku ini membicarakan mod pengangkutan komuniti warga asing di bandar Kota Kinabalu yang terdiri daripada warga Filipina dan Indonesia. Kehadiran mereka memberi sumbangan tenaga kerja dalam sektor ekonomi, perladangan dan pembinaan.

Impak penagihan opiat memberi kesan buruk terhadap penagih dan juga kesejahteraan komuniti sekitar. Isu ini dibincangkan dalam Bab 2 buku ini.  Lazimnya, seseorang penagih sering berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam kehidupan seharian terutama sekali stigma atau pandangan buruk terhadap mereka dengan memberi label negatif. Ini turut berlaku ketika menerima rawatan menyebabkan ramai penagih opiat atau dadah tidak mahu meneruskan rawatan susulan menjadikan keadaan mereka menjadi lebih buruk.

Oleh hal demikian, sokongan dan fungsi keluarga yang berterusan dapat membantu proses pemulihan yang boleh memberi impak ke atas kesejahteraan hidup penagih opiat dalam menjalani kehidupan seharian. Selain itu, kesedaran tinggi dan kesungguhan mengubah diri menjadi lebih baik dapat membantu penagih menggunakan potensi diri menjalani  kehidupan yang lebih bermakna.

Elemen kohesi sosial dilihat satu aspek yang sangat penting dalam sesuatu masyarakat khususnya dalam komuniti bandar seperti disentuh dalam Bab 3 buku ini. Kohesi atau perpaduan berlaku apabila sesuatu kumpulan mengamalkan nilai-nilai dan norma merangkumi kepercayaan, rasa kekitaan dan kesediaan seterusnya mengamalkan nilai-nilai berkenaan dalam tindakan harian masyarakat. Dalam beberapa kajian ke atas komuniti bandar di Malaysia, ternyata semangat dan sense of belonging berada pada tahap yang tinggi.

Buku ini sangat bermanfaat bagi mereka yang ingin mengetahui isu pembangunan dan kesejahteraan komuniti yang berlaku dalam beberapa kes terpilih di Malaysia. Oleh itu, untuk mengetahui lebih lanjut lagi tentang buku ini dan isi kandungannya, sila lawati Laman Web Rasmi PNS atau hubungi talian 088-231623, 214828, dan 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut. Bagaimanapun buku-buku ini mungkin mengambil masa untuk dihantar ke perpustakaan di luar Kota Kinabalu, sila berhubung dengan perpustakaan terdekat untuk tempahan pinjaman.

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Membaca adalah alat paling dasar untuk meraih hidup yang baik." - Joseph Addison

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.