Select your language

NOTA KASIH SMART PARENTS

Penulis
IBU ROSE

Terbitan
BATU CAVE, SELANGOR: PTS PUBLISHING HOUSE SDN. BHD, 2019. 192 MUKA SURAT.

Ulasan oleh Salina binti Titi, Seksyen Perkhidmatan Pembaca, Perpustakaan Cawangan Sandakan

Buku ini ditulis bertujuan untuk berkongsi dengan para pembaca budiman berkenaan apa yang dilihat oleh penulis tentang perihal misi beliau sebagai seorang manusia di dunia ini. Seperti apa yang telah digambarkan oleh penulis bahawa kehidupan semakin meluas tanpa sempadan. Hari demi hari, seiring dengan perjalanan penulis di dalam kehidupan, telah melihat dengan teliti tentang diri sendiri. Penulis sedar tentang tujuan kewujudan diri kita di dunia adalah bertujuan menjadikan dunia ini suatu tempat yang indah, selamat dan menjadi harapan untuk anak-anak.

Kewujudan kita adalah bagi membantu anak-anak membesar dengan hebat, yang kemudiannya berjaya dan berjasa. Mereka dapat berfungsi secara penuh dan menyeluruh, bijak, tidak terbatas, serta menjadi manusia yang bersemangat kental.

Kasih sayang adalah tenaga yang paling berkuasa. Ia dapat menolong setiap anak-anak membesar dengan kuat dan berkeyakinan. Kasih sayang membantu manusia mengatasi semua cabaran dalam kehidupan. Suatu hadiah terindah yang dapat diberikan oleh ibu bapa kepada anak-anak adalah kasih sayang tanpa syarat. Ini menganugerahkan setiap anak kebolehan dalam mengharungi apa-apa cabaran yang datang dalam laluan kehidupan mereka.

Mesej kasih untuk ibu bapa pengasih ialah suatu emosi yang positif membawa kepada peningkatan kekuatan minda yang berterusan serta kejayaan dan keyakinan diri yang tinggi. Ini memberikan kekuatan kepada anak-anak dan membuatkan mereka lebih cenderung kepada kajayaan. Ibu bapa yang selalu memberikan penghargaan kepada pencapaian anak-anak walaupun masih kecil juga akan membawa kepada pencapaian yang lebih besar apabila anak-anak menjadi dewasa nanti. Ibu bapa cemerlang tidak menyalahkan orang lain ataupun keadaan apabila sesuatu yang tidak diingini berlaku dalam keluarga mereka.  Mereka pasti menyelidik serta melihat ke dalam diri dan memperbetul apa yang tidak wajar.

Sebagai ibu bapa cemerlang, menjelajah ke dalam dunia kanak-kanak menolong kita memahami banyak kebimbangan, ketakutan, serta cabaran hidup mereka.  Kita mungkin tinggal dalam dunia yang sama, tetapi tidak semestinya kita melihat, mendengar, ataupun memahami sesuatu perkara dengan cara yang sama.  Kita harus sentiasa ingat bahawa apa yang kita lihat ataupun apa yang terdapat di dalam fikiran kita bukanlah sesuatu yang paling tepat.  Kita melihat daripada kaca mata kita, anak kita juga akan melihat daripada kaca mata mereka.

Sebagai ibu bapa juga kita mungkin sering memikirkan kita selalu benar. Pepatah Melayu mengatakan, ‘Kami terlebih dahulu makan garam’.  Walau bagaimanapun, hakikatnya menghargai pandangan orang lain, lebih-lebih lagi pandangan daripada anak-anak sedikit pun tidak akan menjatuhkan kita. Sebaliknya, pendekatan ini mengangkat tahap ibu bapa ke tahap yang lebih tinggi pada pandangan anak-anak.

Anak yang mempunyai peluang menyuarakan pendapat sendiri akan memiliki keyakinan diri yang lebih tinggi berbanding dengan anak yang sering disuruh dengar dan lakukan seperti apa yang disuruh. Oleh itu, usahlah kita menjadi ibu bapa yang cenderung menyekat anak-anak daripada menyuarakan pendapat. Selain itu, kita sebagai ibu bapa janganlah mengutuk atau mentertawa apabila anak-anak menyuarakan pendapat mereka.

Dalam buku ini juga penulis telah berkongsi beberapa ilmu penting berkenaan bagaimana kita dapat menjadi ibu bapa yang lebih baik untuk anak-anak kita. Semoga pembaca buku ini memperoleh manfaat dan semoga perjalanan kita sebagai ibu bapa sentiasa dimudahkan. Walaupun kita mungkin bakal menghadapi cabaran dan kesusahan, namun kita perlu sentiasa berada dalam keadaan tenang. Malah, dalam apa juga situasi, pasti wujud ketenangan dan kesejahteraan dalam hati kita bagi menangani segala perkara itu dengan bijak.  

Buku ini terdapat dalam koleksi Perpustakaan Cawangan Sandakan  dan anda boleh berhubung dengan kakitangan bertugas untuk pinjaman atau tempahan pinjaman. Sila lawati laman web Perpustakaan Negeri Sabah di www.ssl.sabah.gov.my atau hubungi talian 088-231623, 214828, atau 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut. Bagaimanapun, buku ini mungkin mengambil masa untuk dihantar ke perpustakaan di luar Kota Kinabalu, sila berhubung dengan perpustakaan terdekat untuk tempahan pinjaman.

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Buku dan pintu adalah hal yang sama. Kamu membukanya dan kamu pergi ke dunia lain."

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.