Select your language

Murut Sabah

Penulis
Chong Sui Kim, Doretty Sikuat

Terbitan
Kota Kinabalu: Perpustakaan Negeri Sabah. 207 Muka Surat.

Ulasan oleh Chong Sui Kim, Ibu Pejabat, Perpustakaan Negeri Sabah, Kota Kinabalu

Buku Murut Sabah adalah pendokumentasian 12 sub etnik Murut di dalam negeri Sabah. Selain daripada asal usul sub-sub etnik Murut, buku ini juga memaparkan pakaian tradisi, adat perkahwinan, adat tradisi, pantang larang kematian, sejarah, kisah benar, cerita dongeng, lagenda dan juga masakan tradisi sub-sub etnik Murut Serudong, Tangala, Nabaai, Paluan, Tahol, Bookan, Tanggara, dan Kalabakan. Bagi mengenang jasa sebahagian individu dari suku kaum Murut yang telah menyumbang tenaga dalam pembangunan dan urus tadbir negeri Sabah, sedikit sebanyak telah dipaparkan dalam bab tokoh-tokoh Murut.

Murut Binta berasal dari Beaufort yang juga dikenali sebagai Sandewad atau Sambukid. Asal usul Murut Binta adalah dari daerah Tenom dan untuk mengelak daripada dijangkiti wabak penyakit udil(sejenis penyakit kulit) yang telah melanda perkampungan di Tenom,  mereka telah berhijrah dan membina penempatan di sepanjang persisiran sungai Padas. Peperangan Rundum di Tenom juga merupakan fasa kedua penghijrahan Murut Binta. Pengikut-pengikut Antanom telah melarikan diri dari buruan setelah kalah dalam peperangan dan membuka penempatan kampung Karangan dan Bukau.

Menurut penceritaan Murut Bookan, nenek moyang mereka gemar memulakan sesuatu pertuturan dengan perkataan ‘Bo’ka’. Perkuburan bagi Murut Bookan adalah berbentuk pyramid dan segi empat rata di atas. Tujuannya adalah memudahkan saudara-mara si mati meletakkan barang-barang untuk si mati di atas puncak kuburan. Adat ritual kematian bagi semua sub etnik Murut adalah sama yang membezakannya adalah cara dan amalan mengikut budaya dan tradisi masing-masing.

Asal Murut Kolor pula adalah dari keturunan suku kaum Alumbis di Kalimantan Utara. Mereka berhijrah ke negeri Sabah bertujuan mencari pekerjaan di ladang-ladang sekitar daerah Tenom.

Sub etnik Murut Ambual, Binaong dan Nabaai menggelarkan diri mereka Murut Keningau atas sebab populasi ketiga-tiga sub etnik ini tertumpu di daerah Keningau. ‘Biag’ bermaksud ‘hidup’, ‘Saikong Biag’ adalah penyembuhan melalui upacara bacaan mantera dan perayaan Mansilad adalah bertujuan menghormati dan memuja roh nenek moyang serta sebagai tanda kesyukuran kepada sang pencipta terhadap limpahan rezeki, keamanan serta kesejahteraan terhadap masyarakat Murut Ambual. Adat pantang larang Lintuui pula dipercayai sebagai ‘utusan’ daripada orang halus atau petanda bahawa seseorang itu akan berhadapan dengan situasi yang tidak baik (sawai) atau keselamatannya akan terancam semasa dalam memulakan suatu perjalanan. Manakala wujudnya Murut Nabaai adalah daripada pengisahan seorang nenek dari kayangan yang bernama Adu Nabaai, nenek ini telah menyelamatkan sekumpulan anak-anak Murut yang ditinggalkan oleh ibu bapa mereka untuk mencari nafkah di tempat lain. Sejarah Murut Serudong pula bermula dari penempatan di kampung Luov yang terletak di ulu sungai Serudong bernama Timbalunan. Manakala Murut Tangala adalah berasal dari perkataan ‘alad’ yang bermaksud benteng.

Amalan Adat Majlis Inasi dalam masyarakat Murut Paluan adalah berdasarkan beberapa objektif yang menjadi fokus utama iaitu pengenalan amalan adat Inasi, mengetahui bentuk pelaksanaan adat Inasi, tujuan pelaksanaan adat Inasi dan menjelaskan rasional pelaksanaan dalam menjayakan adat tersebut. Amalan Adat Majlis Inasi adalah majlis penyerahan berian terakhir dari pihak pengantin lelaki kepada pihak keluarga pengantin perempuan. Majlis ini diadakan secara besar-besaran di rumah besar keluarga.

Asal usul Pesta Napangaan Nongotom bagi suku kaum Murut adalah bermula dengan kisah adik perempuan bongsu mereka yang bernama Aru Kauli telah dikorbankan oleh abangnya untuk dijadikan benih tanaman. Dengan benih tersebut, maka ladang mereka ditumbuhi dengan pelbagai jenis tumbuhan yang dijadikan makanan. Untuk memperingati ‘Semangat Ri Aru Kauli’, abang-abangnya telah mengadakan pesta selepas musim menuai yang diberi nama ‘Angansuk Ri Aru Kauli’.

Nama Kalabakan berasal dari perkataan ‘Pangalapakan’ yang membawa maksud ‘tempat mencari rezeki’ disebabkan loghat bahasa dan sebutan Murut Tanggara Kalabakan kurang jelas, penulis tertulis kepada ‘Kalabakan’ dan telah digunapakai sehingga hari ini. Sejarah pembunuhan beramai-ramai Murut Tanggara Kalabakan di Kuala Tiagau bermula dengan kehadiran Charles Walter Flint yang berasal dari Eropah telah berkahwin dengan seorang wanita Murut Tanggara Kalabakan. Beliau membawa banyak perubahan kepada suku kaum Murut Tanggara kerana beliau telah memberi tunjuk ajar dan cara-cara yang betul menanam padi, tanaman dan sebagainya. Oleh sebab rasa dengki dan iri hati segelintir orang luar, sehingga mereka bertindak membunuh Charles Walter Flint.

Bab tokoh-tokoh Murut pula, antara individu yang dicatatkan adalah terdiri daripada Tuan Yang Terutama ke-5 dan ke-6, tokoh kemerdekaan, ahli politik, seni hiburan, artis, guru dan sebagainya yang telah menyumbang jasa bakti mereka kepada negeri Sabah.

Selain daripada bahan bacaan, buku ini juga disertakan 4 cakera video yang memaparkan perkahwinan tradisi, sub-sub etnik, pakaian, tajau, berian,  corak motif, adat kematian, rumah tradisi, cerita rakyat, muzik dan tarian dengan mengimbas kod QR yang terdapat di dalam buku ini. Diharapkan agar terbitnya buku ini dapat memberi manfaat dan rujukan kepada semua lapisan masyarakat. Semoga lebih banyak perintis untuk terus mengumpul dan menghasilkan dokumentasi yang berkaitan dengan suku kaum mereka dan terpeliharalah adat budaya dan tradisi yang diperturunkan oleh nenek moyang. Siapa lagi kalau bukan kita untuk mencatat dan terus memelihara khazanah kita.

Untuk mengetahui lebih lanjut lagi tentang buku ini, sila berkunjung ke Perpustakaan Negeri Sabah yang terdekat atau melayari laman sesawang www.ssl.sabah.gov.my atau hubungi talian 088-231623, 214828, 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku ini.

 

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Membaca adalah alat paling dasar untuk meraih hidup yang baik." - Joseph Addison

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.