Select your language

Komunikasi Asas Kemahiran Membaca dan Menulis Untuk Pelajar

Penulis
Ahmad Marzuki Ismail

Terbitan
Shah Alam, Selangor:  Karisma Publications,  2007.  138 Muka Surat.

Ulasan oleh Jokiah Gandili, Perpustakaan Desa Pekan Nabalu

Konsep membaca ditafsirkan dengan pelbagai pendapat umum. Membaca sememangnya berkaitan dengan hak individu. Hak individu dalam membaca berkaitan dengan usaha memperbaiki, mempertingkatkan, memperkasa dan memperbetulkan amalan membaca. Membaca dapat menanmbahkan pengetahuan dan membawa kesan yang besar dalam pembentukan sahsiah diri. Tetapi dalam membina diri, membaca memerlukan sikap proaktif yang tinggi. Membaca tidak boleh dipaksa.  Sebab itu, membaca memerlukan kesedaran yang dapat memberikan kepuasan kepada diri sendiri.

Kesedaran diri ini mendidik disiplin dalam mencapai tujuan dan matlamat. Disiplin yang tinggi merangkumi pematuhan terhadap masa, melakukan secara sistematik dan terancang. Perubahan sikap secara jujur diperlukan.  Disiplin yang berterusan meningkatkan kemahiran, mengelakkan kebosanan, mengatasi permasalahan semasa dan memberi pengajaran yang berguna. Fokus dan tumpuan adalah elemen terpenting. Fokus dan tumpuan berbeza antara seorang dengan yang lain mengikut perbezaan jadual membaca, minat, ketahanan diri dan bahan bacaan yang dibaca.

Kepentingan dan tujuan membaca mempunyai maksud yang tersirat dan tersurat.  Sama ada sedar atau tidak, ia bukan sahaja meningkatkan kemahiran membaca tetapi juga menyumbang dari segi penggunaan bahasa, pertuturan, penulisan dan pemikiran.  Berdasarkan kepada tujuan membaca yang ada dalam diri kita, tidak bermakna kita memperoleh segala sesuatu yang diperlukan. 

Menurut penulis, kita sering berpuas hati apabila kita dapat membaca sesuai dengan apa yang kita tetapkan dalam jadual atau ketika mengisi masa lapang.  Apabila kita telah yakin dengan apa yang kita baca, aspek penting tidak kita nilaikan kerana kita telah yakin dengan apa yang kita lakukan.  Ini menyebabkan ada maklumat penting yang terabai dan maklumat yang tidak penting tersimpan dalam pemikiran kita.  Jadi, apa yang kita perlu ketahui tentang kaedah membaca dengan berkesan?  Ini berkaitan dengan cara–cara membaca bagi mendapatkan maklumat dan ilmu pengetahuan, diikuti dengan sikap dan tindakan susulan.

Menulis pula merangkumi aspek menyalin, meniru, mencatat, mengarang, melakar, melukis dan menconteng.  Aspek ini meningkatkan potensi minda dari semasa ke semasa kerana ia menpunyai peranannya yang tersendiri. Apabila kita menulis, kita menulis menggunakan pendekatan apa yang kita pelajari,  ada yang mengikut kemahuan sendiri, ada yang mengikut idea sendiri dan sebagainya. Perkara yang ditulis pula mempunyai maksud yang tersendiri dan secara langsung melambangkan keistimewaan serta kelebihan yang terdapat dalam setiap penulisan. Tetapi, tidak semua di kalangan kita menganggap keistimewaan dan kelebihan itu mempengaruhi kehidupan seharian.  Pernahkah kita berfikr bagaimana cara atau teknik menulis dengan berkesan? Teknik menulis dipengaruhi oleh pemikiran, emosi, sikap dan tingkah laku. Kemahiran menulis memaparkan kebijaksanaan, kecerdikan dan kepintaran individu menyiapkan tulisannya. Kemahiran menulis merupakan salah satu daripada bakat dan potensi yang ada dalam diri setiap pelajar dan secara umumnya penulisan yang kemas, teratur dan sistematik memberi kelebihan dari segi memaparkan imej diri, mempengaruhi pendangan pembaca dan menunjukkan kualiti dalam tindak balas kerja yang diamanahkan.  Apabila menitikberatkan hal berkaitan kreatif dan kritis, kita akan sentiasa berfikir semasa menulis tanpa dipengaruhi oleh emosi.  Berfikir dari segi menyusun, menghayati dan memproses maklumat yang diperoleh. Ini bukan sahaja dapat mengelakkan kesilapan tetapi akan dapat memantapkan lagi pemikiran. Menulis bukan sahaja melibatkan penggunaan tangan tetapi juga membantu perkembangan pancaindera lain. Penulisan memberi gambaran tentang percantuman antara aspek perasaan dengan pelbagai fakta yang merangkumi pandangan, anggapan, cadangan dan kepercayaan. Dengan menulis kita dapat meningkatkan pengalaman, menyumbang kepada pembaikkan melaksanakan tugas dan sumber kepada maklum balas dan tindak balas.

Buku bertajuk 'Komunikasi Asas Kemahiran Membaca dan Menulis Untuk Pelajar' ini menghurai tentang kemahiran membaca dan menulis khas untuk pelajar.  Dalam buku ini, penulis telah membincangkan 3 bab penting tentang kemahiran membaca, kemahiran menulis dan cabaran dalam kemahiran membaca dan menulis.  Kandungan yang terdapat dalam buku ini membantu menyeimbangkan pelbagai kemahiran. Menurut buku ini, dalam era teknologi dan globalisasi, kita perlu berubah dari segi pemikiran, sikap dan hubungan komunikasi bagi mengurangkan jurang penguasaan dalam kedua–dua kemahiran.

Untuk mengetahui lebih lanjut lagi tentang buku dan isi kandungannya,  sila kunjungi Perpustakaan Negeri Sabah yang terdekat dengan melayari laman sesawang www.library.sabah.gov.my atau hubungi  088-231623, 214828 dan 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut.

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Cuma perlu satu buku untuk jatuh cinta pada membaca. Cari buku itu. Mari jatuh cinta."

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.