Select your language

KHASIAT HERBA JILID 3

Penulis
NORIZAN HAMID

Terbitan
PETALING JAYA: MINDA DIDIK MARKETING SDN.BHD. 44 MUKA SURAT.

 Ulasan oleh Zakky Afandi Bin Rasimin, Perpustakaan Negeri Sabah, Cawangan Ranau

Herba adalah tumbuh-tumbuhan yang mempunyai nilai dari segi perubatan, khasiat makanan dan baunya. Herba digunakan secara meluas dalam masakan, perubatan dan kecantikan. Ia juga dikaitkan dengan rawatan akibat gangguan makhluk halus. Bahagian hijau tumbuhan herba (daunnya) digunakan secara meluas dalam pelbagai bidang. Namun, perubatan herba lebih banyak menggunakan akar, bunga, kulit pokok dan bahagian lain tumbuhan herba. Pokok yang digunakan dalam perubatan herba boleh terdiri daripada herba-herba atau pokok renek. Mana-mana bahagian pokok herba, termasuk buah boleh digolongkan sebagai herba.

Di dalam buku ini, penulis menyenaraikan herba-herba yang bermanfaat dan berkhasiat untuk digunakan dalam kehidupan seharian dan digunakan untuk merawat penyakit. Antaranya ialah daun kari, daun senahun atau kesum, daun sup, gajus, halba, halia, inggu, jemuju, jerangau, jintan hitam dan juga jintan manis.

Daun kari atau nama saintifiknya Murraya Koenigil tumbuhan yang berbentuk kecil dan jenis renek serta ketinggiannya yang boleh mencapai 8 meter. Daunnya membiak secara berselang-seli dan pinat anak daun antara 5 hingga 10 pasang dalam satu daun yang terletak di hujung di antara 2cm hingga 4cm panjang. Buahnya adalah jenis beri kecil, berwarna hijau semasa kecil. Asal-usul daun kari tumbuh meliar dari Asia Selatan hingga China Selatan dan Asia Tenggara. Ia ditanam terutamanya di Asia tropika dan Subtropika. Khasiat utama daun kari boleh direbus dan diminum untuk merawat buasir, cirit, disenteri, demam panas, perit dan usus kembung angin, sakit perut, digunakan pada bengkak, lebam penyakit kulit tertentu dan digunakan sebagai astringen dan stimulant.

Daun senahun atau kesum, nama saintifiknya Persicaria Hydropiper spach  adalah tumbuhan jenis herba yang boleh mencapai ketinggiannya sehingga 80cm. Asal-usul daun senahun tidak diketahui secara tepat. Tetapi tanaman ini dikatakan banyak ditanam di Asia, Afrika, Australia, Eropah, dan Amerika Utara. Tumbuhan ini tumbuh sendiri dan membiak di tempat yang terbuka seperti tanah terbiar, padang dan juga di kawasan tanah yang lembap daripada tanah pamah hingga 1500 meter altitud. Antara khasiat utama daun senahun atau daun kesum ialah boleh digunakan di dalam masakan. Batang dan daunnya boleh direbus dan diminum untuk mengeluarkan angin dalam perut dan usus, merangsang dan melawaskan pembuangan air besar dan air kecil, membunuh atau menyingkirkan cacing dalam perut dan usus.

Daun sup atau nama saintifiknya Apium Graveolens yang mana mempunyai pelbagai jenis spesies yang ditanam dan dikumpulkan dalam tiga jenis iaitu Apium graveolens var, scalinum Alef, Apium graveolens var, Dulce (Miller) pers, dan Apium graveolens var, rapaceum miller. Asal-usul tumbuhan ini tumbuh secara liar, di serata Eropah dan Asia. khasiat utama daun sup, akarnya boleh direbus dan diminum untuk merawat busung dan mulas perut. Air rebusannya juga sangat baik untuk merawat penyakit gout, haid tidak teratur dan lain-lain lagi.

Gajus atau nama saintifiknya Anacardium Occidentale, dimana tumbuhan ini boleh tumbuh mencapai ketinggian 12 meter. Asal-usul Gajus berasal dari Amerika Selatan, dan kini, ia banyak ditanam di Negara-negara tropika. Antara kegunaan lain gajus adalah cecair pokok gajus sangat berguna untuk dibuat dakwat hitam atau pewarna hitam untuk kain kapas, memateri logam dan digunakan pada kayu sebagai pencegah anai-anai. Gam digunakan untuk menjilid buku. Kardol digunakan dalam ubat moden untuk merawat belulang , kemalu, ketuat dan kutil. Minyak daripada kulit buah digunakan sebagai pengawet dan untuk membuat bahan kalis air, asid dan minyak, membuat dakwat dan varnis. Khasiat utama buah gajus diambil dari isinya, biji atau minyak untuk dibuat ubat bagi melegakan sakit dan melembutkan kulit.

Buku ini dapat memberi banyak manfaat dan sesuai dibaca oleh semua lapisan masyarakat terutama sekali yang berminat untuk mengusahakan kebun ataupun ladang dalam pemilihan jenis penanaman herba-herba yang berkhasiat. Buku ini adalah koleksi Perpustakaan Negeri Sabah, Cawangan Ranau. Untuk mengetahui lebih lanjut dan berminat tentang buku ini boleh berhubung secara langsung dengan kakitangan yang bertugas. Walau bagaimanapun, buku ini akan mengambil masa untuk dihantar di luar kawasan Perpustakaan Negeri Sabah, Cawangan Ranau atau Kota kinabalu. Sila berkunjung ke Perpustakaan Negeri Sabah yang terdekat atau melayari laman sesawang www.ssl.sabah.gov.my atau hubungi talian 088-231623, 214828, 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku ini.

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Tidak ada teman yang setia seperti bersama sebuah buku."

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.