Select your language

KETERAMPILAN WANITA ALAF BAHARU

Penulis
ABD. RAHIM ABD. RASHID

Terbitan
UTUSAN PUBLICATION AND DISTRIBUTORS SDN BHD.  250 MUKA SURAT.

Ulasan oleh Dr. Mahat Jamal, Thinker Vault Media, Kota Kinabalu

Buku bertajuk Keterampilan Wanita Alaf Baharu yang disunting oleh Dr. Abd. Rahim Abd. Rashid membincangkan pelbagai aspek penting dan kritikal bagi memperkasakan wanita dalam konteks kesaksamaan gender dan persaingan global. Fokus utama buku ini adalah pembinaan imej dan kredibiliti wanita alaf baharu yang bersifat progresif, dinamik dan berdaya saing.

Buku ini mempunyai 17 bab yang disumbangkan oleh pensyarah-pensyarah universiti yang membincangkan konsep dan ciri-ciri wanita berketerampilan, wanita berkerjaya, keterampilan intelektual wanita, sifat-sifat wanita idaman lelaki, peranan wanita terhadap penampilan akhlak anak-anak, keterampilan berbahasa dalam mencorakkan wanita alaf baharu dan banyak lagi yang menarik.

Bab pertama buku ini membincangkan konsep dan ciri-ciri wanita berketerampilan ditulis oleh Dr. Abd. Rahim Abd. Rashid dari Universiti Malaya (UM). Keterampilan ialah satu kualiti mempamerkan kebolehan, kecekapan, kebijaksanaan dan kemahiran yang mendorong kepada kejayaan dan kecemerlangan. Antara faktor dan pengaruh membina keterampilan wanita ialah keluarga, pendidikan, persamaan gender, faktor seksualiti, gaya hidup, kerjaya, dan dasar terhadap wanita. Ia bukanlah satu sifat semula jadi, tetapi terbentuk hasil proses pembelajaran dan kesediaan seseorang memperbaiki kelemahan yang dihadapi. 

Dalam Bab 2 bertajuk personaliti keterampilan wanita, pengarangnya Dr. Suradi Salim (UM), memetik buku bertajuk The Seasons of a Woman’s Life oleh Levinson, menggambarkan kehidupan wanita lebih sukar daripada lelaki.  Keadaan ini berlaku sebahagian besarnya disebabkan pembahagian yang rigid antara peranan lelaki dan wanita. Terutama sekali perbezaan bidang atau lapangan pekerjaan dan rumah tangga. Dalam rumah tangga peranan wanita dilihat sebagai suri rumah tangga dan lelaki sebagai pemberi nafkah.

Namun, bilangan dan peratusan suri rumah tangga dan ibu yang bekerja kian bertambah di Malaysia. Bagi ramai wanita, bekerja telah memberikan mereka lebih kebebasan dan keyakinan diri. Untuk menjadi seorang pekerja yang baik, terutama sekali dalam bidang pengurusan, seorang wanita perlu mempunyai cita-cita dan matlamat, kemahiran mentadbir, kebolehan merancang, pertimbangan yang baik, kebolehan berkomunikasi, pengetahuan mengenai kerja, keberanian dan integriti.

Bab 4 pula menyentuh keterampilan wanita dalam pengurusan rumah tangga dan pendidikan anak-anak yang ditulis oleh Hamidah Sulaiman (UM). Penulis mentakrifkan keterampilan seseorang wanita bukan saja dilihat pada dirinya sahaja, tetapi juga anak-anak dan keluarga yang turut menyumbang kepada perubahan keterampilan wanita berkenaan. Oleh itu, wanita harus berkeupayaan mempamerkan keterampilannya sebagai isteri, ibu dan pengurus rumah tangga. Dalam masyarakat pula, wanita tampil sebagai role model bagi melahirkan dan membentuk generasi.  

Matlamat utama memberi pendidikan kepada anak-anak adalah untuk mencapai kebahagian dunia dan akhirat. Justeru, perkara yang perlu diberi penekanan ialah pendidikan rohani, mental, fizikal dan intelek semaksimum yang mungkin. Tugas seorang ibu memang tiada penghujungnya dan untuk menjadi ibu yang baik, wanita memerlukan ilmu secukupnya dan berusaha menjadi yang lebih baik.

Imej keterampilan wanita mengikut pandangan syariah yang tulis oleh Yasmin Hanani Mohd. Safian dari Kolej Universiti Islam dibincangkan dalam Bab 9. Wanita dilihat sebagai makluk ciptaan Tuhan yang di anugerahkan dengan kecantikan dan sifat-sifat tersendiri berbeza daripada kaum lelaki. Tuhan menciptakan lelaki dan perempuan dengan peranan yang berbeza namun tidak menyatakan bahawa lelaki itu lebih baik daripada perempuan. Wanita pada umumnya mempunyai hak dan tanggungjawab yang sama seperti lelaki untuk memakmurkan dunia dan memperbaiki masyarakat. Namun wanita Islam perlu mematuhi garis panduan Al-Quraan dan Al-Hadis, khususnya yang berkaitan dengan aurat dan pergaulan antara lelaki dan perempuan.

Bab 10 membincangkan wanita dan keterampilan intelektual di Negara Brunei Darussalam yang ditulis oleh Dr. Saadiah Dow Tamit dari Universiti Brunei Darussalam. Dijelaskan bahawa wanita Brunei juga mengalami proses transfomasi. Ramai yang berkerjaya dalam sektor awam dan swasta seperti pembuat undang-undang, pegawai pentadbir dan pengurus, ahli profesional, ahli profesional bersekutu, juruteknik dan lain-lain. Perkembangan pendidikan dalam kalangan wanita juga  terus meningkat dan berkembang mengikut arus permodenan.

Untuk mencapai matlamat keterampilan intelektual, wanita Melayu Brunei harus meningkatkan mutu pendidikan dan mempelbagaikan bidang pemusatan. Oleh itu, dengan memperkembang bidang yang dipilih akan dapat mengekalkan identiti wanita Melayu Brunei yang berasaskan falsafah Melayu Islam Beraja sebagai cara hidup berbangsa dan bernegara.

Dari segi keterampilan wanita sebagai idola keluarga yang ditulis oleh Dr. Azizah Lebai Nordin (UM) dapat dilihat bahawa  keluarga dianggap sebagai institusi asas dalam sesebuah masyarakat. Wanita yang beriman kepada Tuhan dipercayai boleh menanamkan nilai-nilai murni dalam diri anak-anak sehingga mereka sentiasa berpegang teguh kepada ajaran agama bagi menghindari pengaruh gejala sosial. Pelajar yang dididik dengan ajaran agama semenjak kecil kurang melakukan masalah displin.

Wanita berketerampilan bukan saja harus berilmu, malah memiliki sifat-sifat unggul seperti sabar, pengasih, lembut dan sentiasa menghormati orang lain. Dengan sifat yang sedemikian akan menjadikan anak-anak merasa selamat dan dilindungi lalu menjadikan ibu mereka sebagai contoh, teladan dan idola dalam kehidupan mereka.

Bab 15  membincangkan sifat-sifat wanita idaman lelaki yang ditulis oleh Siti Nurbaya Abd. Karim (UiTM). Lelaki dikatakan menyukai wanita yang bijak menjaga penampilan dan kesihatan tubuh agar sentiasa kelihatan ayu, muda, anggun, bersih, kemas dan menarik walaupun sudah berumah tangga dan beranak-pinak. Penampilan wanita yang sentiasa menghargai dirinya akan murah dengan senyuman, pandai merawat tubuhnya dan berusaha memberi yang terbaik untuk dirinya.

Lelaki juga mudah tertarik dengan wanita yang pandai beradab dan tertib berkomunikasi di samping boleh diajak berbual. Mereka bukan saja teman berbual, tetapi dapat memberikan respon dan pendapat yang baik dan kreatif.  Lelaki juga suka wanita yang pandai bergurau senda dan berjenaka serta boleh menerima lawak jenaka lelaki dengan fikiran yang terbuka.

Peranan wanita terhadap penampilan akhlak anak-anak dibincangkan dalam Bab 16 yang ditulis oleh Zahrah Hussin (UM). Para wanita yang menjadi ibu dan pendidik perlu menguasai konsep akhlak, moral dan etika. Ini bertujuan mengelakkan kekeliruan sepanjang proses mendidik akhlak anak. Justeru, wanita perlu menyedari bahawa melahirkan dan membesarkan anak bukan sekadar memenuhi keperluan tumbesaran jasmaninya sahaja, tetapi juga melibatkan penyuburan intelek (IQ), emosi (EQ) serta aspek-aspek kerohanian (SQ) di samping penyuburan akidah (AQ) yang melibatkan soal dosa dan pahala, betul atau salah serta soal-soal keagamaan yang lain.

Dalam bab terakhir, buku ini membincangkan keterampilan berbahasa yang mencorakkan wanita alaf baharu yang ditulis oleh Dr. Mahzan Arshad (UM).  Berbudi bahasa merupakan satu keistimewaan yang dikatakan dimiliki oleh wanita timur sejak zaman-berzaman. Sehingga pada masa ini, adalah menjadi pantang bagi kaum wanita secara fizikal melakukan perbuatan yang kasar atau yang sama seperti kaum lelaki seperti memanjat pokok, melompat parit atau longkang dan melonjak atau melenting secara berlebihan.

Hal ini demikian, wanita wajar mengamalkan keterampilan berbahasa dalam perhubungan interpersonal. Kategori pertama penggunaan bahasa perhubungan dapat disenaraikan sebagai bahasa istana yang digunakan oleh golongan bangsawan.  Kategori kedua ialah penggunaan bahasa  dalam suasana yang formal. Ketiga ialah bahasa dalam suasana seharian dan seterusnya keterampilan berbahasa dalam suasana yang tidak formal, iaitu bahasa pasar.  Dapat disimpulkan bahawa keterampilan berbudi bahasa amat perlu dan penting menentukan kejayaan dalam bidang kerjaya yang diceburi. Ketinggian budi bahasa seseorang wanita, tidak  menghilang kedudukan dan pangkatnya pada pandangan masyarakat.

Buku ini sangat bermanfaat bagi mereka yang ingin mengetahui ciri-ciri utama keterampilan wanita alaf baharu. Oleh yang demikian, untuk mengetahui lebih lanjut lagi tentang buku ini dan isi kandungannya, sila lawati laman web Perpustakaan Negeri Sabah di www.ssl.sabah.gov.my atau hubungi talian 088-231623, 214828, 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut.

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Tidak ada teman yang setia seperti bersama sebuah buku."

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.