Select your language

Keselamatan dan Kesihatan Industri

Penulis
Azizi Ahmad

Terbitan
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. 148 Muka surat.

Ulasan oleh Sabri bin Madsahi, Pelatih Industri, Perpustakaan Negeri Sabah

Buku ini memfokuskan tentang keselamatan dan kesihatan industri bagi pekerja dan majikan di negara kita, Malaysia. Seperti yang kita sedia maklum bahawa keselamatan dan kesihatan merupakan aspek yang terpenting dalam sesebuah syarikat atau organisasi sama ada sektor kerajaan mahupun swasta. Buku ini juga banyak menekankan langkah-langkah keselamatan dan kesihatan industri yang harus dilakukan oleh pekerja dan majikan sekaligus tidak mengabaikan aspek alam sekitar, tetapi juga mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.

Dalam buku ini terbahagi kepada sebelas bab selain daripada prakata, bibliografi serta indeks. Secara umumnya, penulisan yang dilakukan oleh penulis mudah difahami, ringkas dan tersusun. Di samping itu, buku ini sesuai dibaca oleh semua lapisan masyarakat terutamanya golongan pelajar sekolah menengah yang mengambil mata pelajaran vokasional atau Sekolah Menengah Teknik. Pada bab pertama, penulis menjelaskan peranan dan tanggungjawab terhadap majikan dan kakitangan dalam sesebuah organisasi. Bukan itu sahaja, dalam bab ini juga menjelaskan bahawa peranan badan-badan berkanun seperti PERKESO dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam menguruskan keselamatan dan kesihatan pekerja secara teratur. Pada bab kedua pula, penulis membahaskan tentang kepentingan pengurusan dan tanggungjawab pentadbiran keselamatan dan kesihatan dalam sesebuah industri. Banyak yang dinyatakan dalam bab ini juga tentang kaedah yang efisien dalam menyusun atur pentadbiran organisasi tersebut.

Seterusnya, dalam bab ketiga penulis membahaskan strategi keselamatan dan kesihatan yang diamalkan semasa dalam organisasi. Dalam bab ini, penulis mendedahkan kaedah yang betul dalam mengendalikan mesin-mesin yang berisiko ketika berlaku kecemasan serta langkah yang dilakukan bagi mengurangkan impak ketika berlakunya kemalangan. Manakala dalam bab keempat pula, penulis membincangkan tentang siasatan kemalangan iaitu mengetahui prosedur-prosedur yang dilakukan ketika hal yang tidak diingini berlaku bermula daripada kaedah penyiasatan, kaedah pengumpulan data sehinggalah masalah tersebut diselesaikan secara adil dan bijaksana. Dalam bab kelima, bertajuk program orientasi keselamatan dan kesihatan, penulis membahaskan tanggungjawab seorang penyelia dalam memerhatikan, merekod aktiviti yang dilakukan oleh kakitangan dan memastikan pekerja memahami aspek keselamatan ketika melakukan tugasan mereka.

Selain itu, dalam bab keenam penulis membincangkan pertolongan cemas dan penggunaan peralatan keselamatan. Bab ini memberikan informasi tentang perkara yang dilakukan sekiranya terdapat hal-hal kecemasan yang berlaku di tempat kerja sekaligus dapat mengurangkan risiko bahaya yang berlaku lebih teruk. Dalam bab ketujuh pula, penulis membahaskan tentang pencemaran udara disebabkan oleh pengeluaran bahan kimia dan gas beracun yang boleh menjejaskan kesihatan kepada masyarakat dan alam sekitar. Kemudian, dalam bab kelapan penulis membincangkan garis panduan keselamatan dan kesihatan Malaysia di mana bab ini garis panduan dalam firma, organisasi atau syarikat yang harus dilakukan agar dapat mengurangkan risiko bahaya berlaku serta membincangkan latihan, arahan kerja dalam organisasi dan penjagaan kebersihan.

Di samping itu, dalam bab kesembilan penulis menjelaskan panduan pengawalan habuk dalam industri kayu dan kaedah mengurangkan pencemaran habuk, sistem pemisah, penyimpanan dan penyelenggaraan. Manakala dalam bab kesepuluh pula, penulis membahaskan tentang pencemaran bunyi dalam sektor industri kayu serta kaedah untuk mengurangkan bunyi bising termasuklah tindak balas bunyi terhadap manusia. Bab yang terakhir pula penulis menjelaskan kaedah untuk mengurus bahan buangan kayu serta pengawalan aktiviti pembalakan yang tidak terkawal.

Kesimpulannya, buku ini memfokuskan kepada keselamatan dan kesihatan industri. Selain itu, penulis dapat menyampaikan maklumat dan memberi panduan kepada masyarakat terutamanya kepada golongan pelajar, pelatih dan pekerja industri di Malaysia. Diharapkan buku ini dapat memberikan manfaat kepada semua pembaca agar peraturan, keselamatan dan kesihatan industri terus dipatuhi oleh semua pihak demi keselamatan dan kesihatan sejagat.

Untuk mengetahui lebih lanjut lagi tentang buku ini, sila dapatkan buku tersebut di Perpustakaan Negeri Sabah yang terdekat dengan melayari laman sesawang www.libary.sabah.gov.my atau hubungi 088-231623, 214828 atau 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut.

Bagaimanapun, buku-buku ini mungkin mengambil masa untuk dihantar ke perpustakaan di luar Kota Kinabalu, sila berhubung dengan perpustakaan terdekat untuk tempahan pinjaman.

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Membaca adalah alat paling dasar untuk meraih hidup yang baik." - Joseph Addison

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.