Select your language

DI SEBALIK TABIR YOUTUBE

Penulis
YUDHI H

Terbitan
PTS PROFESSIONAL PUBLISHING SDN BHD. 2010. 109 MUKA SURAT.

Ulasan oleh Dr. Mahat Jamal, Thinker Vault Media, Kota Kinabalu

Buku yang bertajuk Di Sebalik Tabir YouTube oleh Yudhi H. ini secara umum mengenai sistem YouTube dan bagaimana YouTube dapat dijadikan sebagai bidang keusahawanan bagi mencapai kejayaaan. Tiga orang belia pengasas YouTube iaitu Chad Hurley, Steve Chen dan Jawed Karim telah berjaya menggunakan inovasi teknologi mutakhir bagi melahirkan laman web dan perkongsian video yang telah menjadikan sebahagian daripada keperluan harian pengguna internet. Buku ini mengandungi 9 bab yang membicarakan  konsep YouTube, perkhidmatan YouTube, bagaimana cara kerja YouTube, tip penggunaan YouTube dan banyak lagi topik yang menarik.

Bab pertama buku ini menceritakan titik permulaan kejayaan YouTube yang memulakan perniagaan dari garaj kerana berkos sederhana. Domin YouTube.com telah didaftarkan buat pertama kali pada 15 Februari 2005.  Ketiga-tiga pengasas YouTube iaitu Chad Hurley, Steve Chen dan Jawed Karim berjaya menggempar dunia maya dengan mencipta YouTube sebagai laman web perkongsian video yang popular dan menjadi pilihan ramai dari berbilang bangsa, agama, peringkat umur dan bahasa pertuturan.

Dalam usaha memikat dan menarik lebih ramai pengunjung internet ke laman web, ketiga-ketiga belia berkenaan cuba menarik perhatian golongan muda, pelajar, mahasiswa, peminat hobi, pembuat filem dan sebagainya dengan menawarkan hadiah Ipod Nano setiap hari.  Melalui kiraan undian secara rawak, proses undian ini dilaksanakan selama dua bulan  mengikut sistem poin.   

Dengan meningkatnya pengikut YouTube telah menarik minat beberapa syarikat untuk membuat pelaburan. Pada November 2005, syarikat Sequoia Capital melabur dana sekitar RM12.6 juta kepada YouTube.  Bukan itu sahaja, tokoh Roelof Botha, iaitu rakan kongsi syarikat Sequola Capital merangkap bekas CEO PayPal, turut menyertai lembaga pengarah YouTube. Pada bulan April 2006, Sequoia Capital sekali lagi melabur dana sebanyak RM28.7 juta.  Kemunculan YouTube telah menunjukkan pertumbuhan sangat luar biasa dan tahap popularitinya dapat dirasai di dunia maya.

Bab 4 buku ini membincangkan mengenai konsep YouTube. YouTube bukan saja popular tetapi telah mengubah tingkah laku pengguna internet. Reputasinya di alam siber tidak dapat ditandingi. YouTube hanya menambahkan ciri lain seperti Google Video yang telah mewujudkan fenomena luar biasa. Fenomena video online ini dapat dilaksanakan kerana ramai yang memiliki kapasiti jalur lebar (bandwidth) yang lebih besar dan akses internet yang semakin global dan dicipta tepat pada masanya.

Bermula daripada konsep yang sederhana dengan persembahan baru,  YouTube memperkenalkan inovasi maju dan terkini dalam proses usahawan menjalankan bisnes iaitu:

  • Memudahkan pengguna memuat naik (upload) video mereka dan dapat dinikmati oleh pengguna lain tanpa sempadan.
  • Mencipta lokasi setempat sebagai pusat mengumpul klip video dengan pelbagai proses carian mengakses video berkenaan.
  • Menyediakan pautan video di internet dan menjadi wadah bagi kewujudan klip televisyen di dunia

Semua video di YouTube menggunakan format Adobe Flash Video yang mempunyai sambungan fail.flv. Terdapat pelbagai pemain video dalam internet yang menyokong sambungan fail yang berbeza.  Antaranya adalah:

  • QuickTime daripada Apple yang mempunyai sambungan fail.mov
  • RealNetworks daripada RealMedia yang mempunyai sambungan fail.rm
  • Microsoft Windows Media Player yang memainkan beberapa jenis fail sekali gus seperti Windows Media Audio (.wmw), Windows Media Video (.wmv) and Advance Streaming Format (.asf) dan,
  • Adobe Flash player mempunyai sambungan fail.flv dan .swf

Bab 5 menyentuh mengenai perkhidmatan YouTube yang antara lainnya mudah memuat naik video.  Selepas menaip tajuk, deskripsi, label, kategori dan bahasa, pemuat naik dapat memilih format fail video yang diterima oleh YouTube. Disebabkan prosesnya mudah dan mesra pengguna, tidak hairanlah terdapat jutaan video tersimpan dalam pangkalan data YouTube.

Pengguna YouTube juga boleh menikmati jutaan klip video dengan menggunakan Menu Navigation seperti yang terdapat di bahagian atas setiap halamannya. Video yang ada di YouTube adalah lengkap dan mencakupi hampir semua kategori.  Kita dapat mencari video yang dikehendaki dengan menulis kata kunci di ruang Search. Ia juga memuatkan maklumat tentang pengguna, video yang dimuat naik, video kegemaran, cara menghubungi mereka, link bagi melanggan channel lain dan sebaliknya serta dapat membuat komen dan berkongsi buletin.

Mewujudkan playlist peribadi juga merupakan salah satu perkhidmatan YouTube. Ia membolehkan pengguna membuat senarai video yang ingin dimainkan. Mereka boleh menentukan koleksi kegemaran mereka, memasukkan pengguna lain ke dalam kumpulan yang bersesuaian dengan jenis video mereka atau minimumkan kumpulan berdasarkan segmen video mereka.

Pengguna juga diberi peluang menyertai peraduan yang dianjurkan oleh YouTube. Bahagian yang diminati di laman web ini adalah YouTube Underground Contest. Peraduan ini bertujuan mencari video amatur terbaik, video bebas terbaik dan pelbagai kategori lagi.  Komuniti netizen akan memberikan pandangan dan memilih video terbaik dan pemenangnya berpeluang menyertai industri filem sebenar.

Bab 6 pula membincangkan bagaimana kaedah kerja YouTube. Kunci kejayaan dan prestasi terbaik YouTube adalah transformasinya daripada laman web yang hanya menyediakan perkhidmatan hosting kepada laman web yang diperlukan ramai. Ia juga menjadi medan pertemuan yang diwarnai pelbagai pengalaman dan gaya pengunjung yang sebahagian besarnya terdiri daripada golongan muda yang mahir dengan teknologi. Namun, identiti seperti ini memiliki batasan, secara ilmiah dan tidak sesuai menjadi saluran maklumat kerajaan.

Sejak penubuhannya, YouTube tidak pernah terlepas daripada isu hak cipta.  Pelbagai masalah yang timbul, menjadikan YouTube lebih cekal apabila berdepan beberapa kes yang menimpa. Apabila pengguna mencipta video asli, mereka memain peranan penting dalam aspek kejayaan YouTube. Contohnya, video bertajuk, The Evolution of Dance, yang menampilkan muzik tahun 80-an, berjaya membuatkan seseorang itu menari dengan riang dan ini meningkatkan kesedaran YouTube sebagai tempat ideal mencari pelbagai video yang menggembirakan.

Bab terakhir buku ini membincangkan beberapa tip memuat turun YouTube. Cara mudah dan teratur bagi memuat turun video adalah dengan menggunakan browser. Ini adalah cara biasa dan cepat, kerana ia tidak memerlukan brower khusus bagi proses muat turun.  Pengunjung dapat menggunakan browser Firefox dan Opera bagi memuat turun video YouTube. 

keberanian dan kegigihan tiga belia pegasas YouTube wajar dijadikan inspirasi para usahawan dan bagi mereka yang bercita-cita mencipta sesuatu yang besar dari permulaan secara sederhana.  Inovasi mereka membangunkan laman perkongsian video yang mesra pengguna dan disokong oleh teknologi canggih wajar dijadikan contoh. Usaha dan kejayaan mereka ini sekurang-kurangnya dapat menidakkan tanggapan bahawa teknologi hebat selalunya rumit dan menyusahkan.

Buku ini sangat bermanfaat kepada  mereka yang berminat ingin mengetahui lebih mendalam mengenai YouTube seterusnya menjadikan YouTube sebagai medan untuk menjadi usahawan atas talian. Oleh yang demikian, untuk mengetahui lebih lanjut lagi tentang buku dan isi kandungannya, sila lawati laman web Perpustakaan Negeri Sabah di www.ssl.gov.my atau hubungi talian 088-231623, 214828, 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut. Bagaimanapun buku-buku ini mungkin mengambil masa untuk dihantar ke perpustakaan di luar Kota Kinabalu, sila berhubung dengan perpustakaan terdekat untuk tempahan pinjaman.

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Makin banyak membaca, makin aku banyak berpikir; makin aku banyak belajar; makin aku sadar bahwa aku tak mengetahui apa pun." (Voltaire).

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.