Select your language

COVID 19 DARI PERSPEKTIF SAINS SOSIAL: IMPLIKASI DAN SOLUSI

Penulis
ABDUL RASHID ABDUL AZIZ, MUHAMMAD NUBLI ABDUL WAHAB, SITI NUBAILAH MOHD YUSOF DAN ANITA ABDUL RANI.

Terbitan
UNIVERSITI MALAYSIA PAHANG, KUANTAN, 2021. 291 MUKA SURAT.

 Ulasan oleh Dr. Mahat Jamal, Persatuan Alumi Radio Sabah (RASA), Kota Kinabalu

Buku bertajuk COVID-19 Dari Perspektif Sains Sosial : Implikasi dan Solusi yang disunting oleh Abdul Rashid Abdul Aziz, Muhammad Nubli Abdul Wahab, Siti Nubailah Mohd Yusof dan Anita Abdul Rani mengupas permasalahan yang wujud akibat pandemik COVID-19 yang melanda negara kita. Ia juga menjelaskan penyelesaian dan penyesuaian di peringkat individu, keluarga, organisasi dan masyarakat dalam menghadapi cabaran pandemik berkenaan. Buku yang ditulis oleh ahli-ahli akademik ini mengandungi lima bahagian iaitu Bahagian I tentang kesejahteraan psikologi, Bahagian II, pendidikan anak dan kekeluargaan, Bahagian III, khidmat sokongan dan pencegahan, Bahagian IV, pengurusan organisasi dan negara dan bahagian terakhir mengenai kerohanian dan keagamaan.

Bahagian I mengupas aspek kesejahteraan psikologi yang perlu ditangani ketika belakunya wabak COVID-19. Dapat dilihat impaknya yang besar telah menjejaskan kehidupan  masyarakat pada keseluruhannya dari segi sosial, ekonomi, budaya, gaya hidup dan amalan seharian. Salah satu isu yang diberi perhatian oleh kerajaan ialah aspek kesihatan mental dan emosi individu. Di antara masalah mental yang berlaku dalam kalangan masyarakat ketika penularan COVID-19 ialah kemurungan, resah, gangguan panik dan tekanan pasca trauma. Petugas di bahagian hadapan, warga tua dan pesakit kronik juga tidak terkecuali sebagai golongan yang berisiko tinggi berdepan masalah kesihatan mental dan emosi.

Ketidakseimbangan emosi yang dialami oleh masyarakat berikutan wujudnya  pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah membataskan aktiviti sosial semasa menjalani tempoh kuarantin. Untuk itu, pemupukan kecerdasan emosi dengan bijak dilihat sebagai salah satu kaedah penyelesaian dalam mengurus dan mengawal emosi yang tidak menentu. Selain soal mental dan emosi, penekanan terhadap aspek kerohanian dan keagamaan juga merupakan salah satu kaedah yang dapat membantu individu mencapai kesejahteraan psikologi dan keseimbangan diri. Ini dikupas dalam Bab V dengan menyifatkan berlakunya fenomena pandemik COVID-19 jika difikirkan secara positif, seolah-olah mendorong manusia berfikir untuk  menyorot kembali kehidupan yang dialami. Ini boleh dilakukan secara beruzlah (mengasing diri),  bertafakur dan memikirkan hal agama dan akhirat.

Perbincangan juga mengupas aspek emosi menggunakan teknologi biofeedback. Ini dilakukan dengan memasang sensor menggunakan perisian khas komputer  di badan seseorang individu untuk merekod data perubahan fisiologi yang berlaku. Melalui teknologi biofeedback ini, individu akan menerima maklumat status perubahan fisiologinya (perasaan, pemikiran, hati). Berdasarkan maklumat tersebut boleh digunakan oleh seseorang untuk belajar mengawal diri ataupun respon kepada maklumat fisiologi lain yang umumnya tidak disedari. Kaedah ini digunakan dalam sesi runding cara konflik individu dan rumah tangga dan juga ke atas  individu yang menghadapi masalah tekanan emosi akibat pandemik COVID-19.

Bahagian II buku ini membincangkan aspek pendidikan anak dan kekeluargaan. Dalam tempoh pandemik COVID-19, pengajaran dan pembelajaran (PdP) menggunakan kaedah pembelajaran norma baharu. Ini merupakan cabaran besar kepada anak-anak kerana situasi ini belum pernah berlaku sebelum ini. Ibu bapa pula berhadapan dengan kekangan penggunaan platform pendidikan dalam talian (online). Ini termasuklah isu capaian internet yang lemah, mengimbangi urusan kerja rumah dan pembelajaran anak, menangani ketahanan emosi dan sebagainya.

Beberapa solusi turut disentuh bagi mengatasi cabaran yang dihadapi semasa pandemik COVID-19 berlaku. Ini termasuklah pengurusan masa yang baik, penguasaan kemahiran digital oleh ibu bapa, pengurusan emosi  keluarga dan bijak mengambil bentuk tindakan yang perlu dalam menghadapi keadaan yang tidak menentu. Selain aspek pengurusan pendidikan, pengurusan organisasi dan negara juga tidak kurang pentingnya kerana ia berkait secara langsung dengan isu keselamatan dan kesihatan rakyat keseluruhannya. Ini disentuh  dalam Bahagian IV, buku ini.

Adalah menjadi kewajipan pihak majikan menjaga keselamatan, kesihatan dan kebajikan para pekerja. Mereka perlu memastikan pekerja mematuhi prosedur keselamatan dan kesihatan di samping menekankan aspek pencegahan dan kawalan pandemik berkenaan. Pada waktu yang sama kesedaran pekerja terhadap elemen nilai, identiti dan sikap positif perlu ditingkatkan terutama sekali semasa tempoh PKP. Pelaksanakan tindakan PKP yang bermula 18 Mac 2020 adalah akibat jangkitan corona virus ke atas seramai empat ribu orang dan juga melibatkan 89 kematian. Ketika itu, kebanyakan rakyat Malaysia menjadi panik dan keliru, namun tetap yakin terhadap kemampuan kerajaan mengurus dan menangani pandemik COVID-19 ini dengan kerjasama rakyat sendiri.

Justeru, masyarakat dituntut agar tidak hanya membendung musibah ini melalui tindakan fizikal tetapi juga menerusi kesedaran semangat patriotisme dan nasionalisme. Semangat solidariti ini terbentuk apabila melihat pengorbanan dan kesusahan barisan hadapan seperti pihak kesihatan, keselamatan dan lain-lain yang bertungkus lumus mengekang penularan wabak ini.  Rakyat juga sering diingatkan agar sentiasa bersiap siaga dan patuh kepada arahan dari Kementerian Kesihatan Malaysia dan juga kerajaan.

Namun demikian, terdapat juga peningkatan pengambilan bahan terlarang, meskipun negara sedang berhadapan dengan pandemik COVID-19, pengedar dan penagih menjalankan kegiatan mereka secara tersembunyi (AADK, 2020). Mereka mengambil  dadah, alkohol dan bahan-bahan terlarang lain sebagai langkah mudah mengatasi masalah tekanan psikologi yang dihadapi seperti kegelisahan, ketegangan, kemurungan, insomia dan sebagainya.

Untuk itu, talian sokongan disediakan sebagai medium menyalurkan kes -kes trauma dan pelbagai kes psikologi dan ini disentuh dalam Bahagian III buku ini. Antara strategi khidmat sokongan yang digunapakai ialah seperti Talian Kasih, telefon hotline, bantuan psikososial COVID-19, Mercy Malaysia, Byfrinders dan lain-lain. Platform aplikasi media sosial juga digunakan seperti e-mel, WhatsAppsSkype, panggilan video oleh kaunselor dan  pakar psikitari yang terlatih.

Mengenai penyalahgunaan media sosial dan aplikasi atas talian, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melaporkan sebanyak 11,235 aduan berkaitan dengan media baharu sepanjang bulan Januari sehingga Jun 2020. Kes meliputi penipuan atas talian, buli siber serta berita palsu yang berbaur hasutan. Beberapa tindakan telah diambil terhadap mereka yang melakukan kesalahan berkenaan, melalui peruntukan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Buku ini sangat bermanfaat bagi mereka yang ingin mengetahui lebih mendalam mengenai permasalahan COVID-19 dari perspektif sains sosial : implikasi dan solusi. Oleh yang demikian, untuk mengetahui lebih lanjut lagi tentang buku dan isi kandungannya, sila lawati laman web Perpustakaan Negeri Sabah di www.ssl.sabah.gov.my atau hubungi talian 088-231623 untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut. Bagaimanapun buku-buku ini mungkin mengambil masa untuk dihantar ke perpustakaan di luar Kota Kinabalu, sila berhubung dengan perpustakaan terdekat untuk tempahan pinjaman.

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Kalau kamu hanya membaca buku yang dibaca semua orang, kamu hanya boleh berfikir sama seperti semua orang." (Haruki Murakami).

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.