Select your language

NEVER GIVE UP, JACK MA IN HIS OWN WORDS

Penulis
SUK LEE AND BOB SONG

Terbitan
2017. PUBLISHING HOUSE SENDIRIAN BERHAD. 210 PAGES.

Reviewed by Dr. Mahat Jamal, Thinker Vault Media, Kota Kinabalu

"Buku bertajuk Never Give Up, Jack Ma in His Own Words yang disunting oleh Suk Lee dan Bob Song ini memuatkan himpunan petikan kata-kata dan pandangan Jack Ma yang dibuat dalam beberapa peristiwa, liputan akhbar, temu bual, dialog dan forum antarabangsa (1999 - 2015) terhadap dunia perniagaan, prinsip perniagaan, kejayaan dan kegagalan, persaingan, kepimpinan, pemasaran dan media, internet, e-dagang dan perdagangan global dan banyak lagi.

Jack Ma merupakan pengasas dan pengerusi eksekutif Kumpulan Alibaba, salah sebuah syarikat e-dagang paling kaya di dunia. Kekayaan beliau yang mempunyai nilai bersih USD 21.8 bilion mula mengenal internet melalui seorang kawan semasa bercuti di Seattle, Washington,  Amerika Syarikat pada tahun 1995. Pada bulan Mac 1999 Kumpulan Alibaba melancarkan laman web e-dagang dan menerima dana modal usaha niaga sebanyak USD 5 juta daripada Goldman Sachs dan pelbagai syarikat dari Amerika Syarikat, Asia dan Eropah.

Pada ketika itu, Jack Ma tidak mengetahui apa-apa tentang komputer atau pengekodan. Bahkan, ramai orang Cina belum faham mengenai internet, apa tah lagi  tentang potensinya yang besar dalam bidang pemasaran. Namun, yakin dengan masa depan bisnes atas talian, Jack Ma membuat keputusan memulakan syarikat internet dengan membawa jaringan World Wide Web ke China. Jack Ma yang mengelar dirinya sebagai manusia buta yang menunggang seekor harimau buta, berhadapan dengan pelbagai cabaran dan halangan, namun beliau tekad memulakan perniagaan tersebut (Majlis Asia Game Changer Awards, 2014).

Jack Ma mengaku tidak pandai dalam aspek teknologi, selain daripada hanya tahu cara menghantar dan menerima emel serta melayari internet, namun dengan tekad yang kental, beliau berjaya menjadi pengurus salah sebuah syarikat e-dagang paling terbesar di China.

Menurut Jack Ma, di dalam dunia perniagaan, perkara yang sangat penting dalam sesebuah syarikat atau organisasi ialah misi, nilai, dan matlamat bersama (Pertemuan Operator Rangkaian Ningbo, 11 Jun 2002). Tanpa tiga perkara ini, perniagaan tidak akan berjaya. Di samping itu, pelanggan hendaklah sentiasa diletakkan di tempat pertama, pekerja di tempat kedua dan seterusnya pemegang di tempat ketiga. Sistem syarikat jangan disandarkan atas satu atau dua individu utama sahaja kerana syarikat akan runtuh sekiranya infrastruktur yang kukuh tidak dibina (Majlis Anugerah Utama Juara e-Perniagaan APEC, 2 Ogos 2008).

Dari segi kepimpinan, Jack Ma melihat antara faktor penyumbang kepada kejayaan syarikat ialah keupayaan membina sebuah pasukan pengurusan yang mantap, menghargai pekerja, mengamal semangat berpasukan, membimbing kakitangan dan mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang positif. Di samping itu perlu mempunyai carta organisasi yang jelas, matlamat yang realistik, mempunyai keupayaan menghadapi krisis, usah takut pada kesilapan, belajar daripada pengalaman dan menganggap kegagalan sebagai kunci kejayaan (Pertemuan Operator Rangkain Ningbo, 11 Jun 2002).

Salah satu rahsia kejayaan Alibaba, mengikut Jack Ma ialah 33 % daripada ahli pengurusannya terdiri daripada kaum wanita. Mereka merupakan 24% daripada barisan pengurusan tertinggi yang menyandang pangkat CEO, CFO dan CPO. Menurut Jack Ma, sekiranya mahu menang dalam abad ke-21 ini, kuasa perlu juga diberikan kepada orang lain. Beliau mendapati golongan wanita di lihat lebih banyak memikirkan tentang orang lain berbanding diri mereka sendiri (Sesi temu bual dengan Charles Rose, Forum Ekonomi Dunia, 23 Julai 2015).

Dari segi pengalaman pengguna, Jack Ma berpendapat teknologi harus mesra pelanggan. Beliau meminta pasukan jurutera syarikatnya mewujudkan program yang boleh memenuhi keperluan orang ramai. Baginya, tidak kira betapa majunya sesuatu teknologi, ia tidak bermanfaat sekiranya orang ramai tidak tahu menggunakannya.  Matlamat beliau, 80% orang ramai yang buta IT sepertinya dapat menggunakan teknologi syarikat tanpa perlu membaca sebarang manual (Program Fortune Life, 29 Mac 2003).

Bagi Jack Ma, persaingan memang menyeronokkan kerana dalam perniagaan walaupun pihak lawan mati, beliau tidak semestinya menang. Beliau sentiasa  bersifat terbuka menerima persaingan dan bersedia mengatur pelbagai strategi menghadapinya. Persaingan memberi peluang untuk meningkatkan kualiti diri untuk menjadi lebih baik. Pada masa yang sama, ia boleh menyebabkan pesaing naik darah. Baginya pejuang yang marah bukanlah pejuang yang bagus (Pertemuan Operator Rangkaian Beijing, 17 Mac 2008).

Mengenai cabaran, Jack Ma tidak pernah berkata beliau adalah pemenang. Beliau lebih suka bercerita cara beliau menangani pelbagai kesukaran dan bukan dengan riak bercerita tentang kejayaan. Setiap hari cabaran dan masalah perlu diatasi dan itulah pencapaian utama beliau. Semua usahawan tahu, hari-hari mereka akan dipenuhi pelbagai kesukaran dan kegagalan dan bukan semestinya dengan kejayaan. Pengalaman hampir sedekad mengajarnya bahawa kesukaran itu tidak boleh dielak atau dipertanggungjawabkan kepada orang lain.  Usahawan mesti mampu menghadapi kegagalan dan tidak menyerah kalah (Sesi temubual di laman web CCTV, 2004).

Berhubung tanggungjawab korporat pada abad ke-21, Jack Ma berpendapat bahawa dunia mendambakan peradaban komersial baru.  Dalam tamadun komersial lama, syarikat sangat mementingkan diri sendiri dan hanya fokus kepada keuntungan. Pada abad ke-21, syarikat perlu mengkaji semula hubungan dengan masyarakat, alam sekitar, kemanusiaan dan para pelanggan. Selain itu, syarikat pada hari ini perlu sentiasa telus, bersikap terbuka, bertanggungjawab dan berpandangan global bagi mewujudkan kehidupan yang lebih baik (Sambutan Ulang Tahun Ke-10 Alibaba, 10 September 2000).

Buku ini sangat bermanfaat kepada mereka yang ingin mengetahui faktor-faktor kejayaan Jack Ma dalam perniagaan e-dagang di dunia. Oleh yang demikian, untuk mengetahui lebih lanjut lagi tentang buku dan isi kandungannya, sila lawati laman web Perpustakaan Negeri Sabah di www.ssl.sabah.gov.my atau hubungi talian 088-231623 214828, 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut. Bagaimanapun buku-buku ini mungkin mengambil masa untuk dihantar ke perpustakaan di luar Kota Kinabalu, sila berhubung dengan perpustakaan terdekat untuk tempahan pinjaman".

Archived

Our Local Authors

Quote of The Day

"Reading is an exercise in empathy; an exercise in walking in someone else’s shoes for a while." – Malorie Blackman

Headquarters Opening Hours

Closed on Public Holidays, Except for Tanjung Aru Library Branch

088-214828, 231623 Fax: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.